Sunday, October 3, 2010

Celik wasiat sasaran Adry

KERJAYANYA sebagai perunding wasiat bertitik tolak daripada kejadian perebutan harta yang berlaku dalam keluarganya selepas kematian moyangnya. Keluarga yang satu ketika dulu harmoni dan bahagia kini berantakan hanya kerana simati gagal menulis wasiat.

pix_middle


Anak muda kelahiran Bandar Baru Bangi ini berkata, kesedaran menulis wasiat di kalangan orang Islam di negara ini masih rendah.

"Mereka selalu beranggapan penulisan wasiat hanya dilakukan apabila usia menginjak tua tetapi tidak menyedari ajal akan tiba pada bila-bila masa tanpa mengira usia.


"Malah mereka hanya mengetahui harta simati akan dibahagikan mengikut hukum faraid yang termaktub dalam al-Quran, sedangkan harta itu memerlukan seseorang untuk menguruskannya," katanya.

Menurutnya, wasiat bukan hanya membabitkan harta dimiliki tetapi juga mencatatkan segala hutang yang ditanggung seseorang bagi memudahkan waris melangsaikannya selepas kematiannya.

Katanya, kegagalan seseorang menulis wasiat adakalanya menimbulkan kesukaran kepada institusi yang menguruskannya disebabkan kekurangan maklumat waris yang layak.

Akibatnya, harta tidak dituntut itu terpaksa dibekukan hinggalah menerima tuntutan daripada waris simati.

"Isu penulisan wasiat ini tidak berlaku di kalangan masyarakat Cina dan India kerana mereka lebih peka mengenainya.

"Berbeza dengan masyarakat Melayu, hanya kira-kira lima peratus mempunyai kesedaran untuk melakukan penulisan wasiat manakala selebihnya masih kabur," katanya.

Mohammad Adry berkata, bagi meningkat kesedaran di kalangan umat Islam, dia sering mengadakan seminar di beberapa masjid sekitar Lembah Klang.

Katanya, rata-rata masyarakat yang mengikuti seminarnya masih tidak memahami fungsi wasiat sebenarnya.

Menurutnya, apabila berlaku kematian, waris terpaksa turun naik mahkamah, pejabat peguam dan pejabat tanah hanya semata-mata untuk me­nguruskan harta peninggalan arwah dan keadaan menjadi lebih rumit jika tiada wasiat ditinggalkan.

Pasti ada ahli keluarga yang tidak berpuas hati dengan pembahagian harta dan akhirnya tercetus persengketaan sehingga meruntuhkan institusi kekeluargaan.

"Wasiat yang ditulis sedikit sebanyak dapat mengelak pertelingkahan di antara keluarga dan secara tidak langsung memudahkan harta berkenaan disalurkan kepada waris yang layak.

"Mungkin wujud sedikit bantahan terhadap wasiat yang ditulis, namun ia tidak akan berlarutan kerana mereka pasti menghormati permintaan simati," katanya.

Malah, kata Mohammad Adry, penulisan wasiat secara tidak langsung dapat menjimatkan kos perbicaraan di mahkamah hanya untuk melakukan proses pembahagian harta.

PROFIL
NAMA: Mohammad Adry Radzali
UMUR: 28 tahun
ASAL: Bandar Baru Bangi, Selangor
KELUARGA: Sulung daripada tiga beradik
PEKERJAAN: Ketua Pegawai Eksekutif ED Al-Kausar Resources
PENDIDIKAN: Diploma Analisis Pelaburan dan Ijazah Perakaunan, Universiti Putra Malaysia (UPM)
PENCAPAIAN: Menjadi Pengurus Agensi Kumpulan termuda di sebuah syarikat pengurusan unit amanah terkemuka dan muncul sebagai perunding wasiat yang mempunyai paling ramai pelanggan

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: