MEREKA pernah bergelar juara dalam Kejohanan Kebangsaan Toyota Eco Youth (TEY) pada 2007 melalui projek 'Pengurusan Alam Sekitar-Perangkap Gris Pintar' dan tahun ini sekali lagi diberi kepercayaan apabila semua pemenang TEY sejak kejohanan itu dianjurkan pada 2002 dihimpunkan.
CUBA NASIB...pelajar SMK Seri Muda mempertaruhkan Perangkap Gris Pintar untuk program ‘Battle Of The Eco Champions’ TEY 2010.
Selain SMK Seri Muda, antara sekolah yang juga juara tahunan untuk kejohanan TEY ialah SMK Labuan (2002); SMK Sanzac, Sabah (2003); SMK Datuk Panglima Abdullah, Sabah (2004); SMK Abi, Perlis (2005); SMK Iskandar Shah, Melaka (2006); SMK Seri Kenangan, Johor (2008) dan SMK Datuk Onn, Pulau Pinang (2009).
Setiap sekolah diwakili dua guru dan lapan pelajar, dan mereka dikehendaki mengenal pasti isu alam sekitar di dalam kawasan sekolah dan menyelesaikan masalah berkenaan menggunakan pendekatan masing-masing.
Pada tahun ini, semua sekolah berkenaan akan bertanding dalam program 'Battle Of The Eco Champions' yang menghimpunkan lapan pemenang utama atau sekolah seluruh negara.
Ketua Pasukan SMK Seri Muda, Norhadi Mohamad, 16, berkata bersaing dengan tujuh sekolah lain yang juga juara TEY sejak 2002 menghadirkan cabaran tersendiri kepada sekolahnya.
Dia mengakui tugas berat menanti pasukannya namun pada masa sama yakin kepercayaan dan bantuan diberikan guru selain semangat setiap ahli kumpulan mampu mencerahkan peluang mereka mencatat kejayaan.
"Begitupun, yang penting, kami mahu mewujudkan kesedaran mengenai betapa pentingnya menjaga alam sekitar, terutama di persekitaran kita.
"Bagi tujuan itu, kami membuat pelbagai kajian sebelum memutuskan untuk mengetengahkan projek Perangkap Gris Pintar," katanya.
Norhadi berkata, pelbagai masalah wujud pada awal pembabitan dalam pertandingan itu, namun kerjasama berpasukan selain bantuan guru dan pengetua sekolah membantu mereka menanganinya dengan baik.
Rakannya, Nur Hazwani Mohd Nadzir, 16, berkata melalui projek berkenaan, mereka menjadikan kantin sekolah sebagai tempat memasang alat perangkap minyak, sekali gus membersihkan air daripada kotoran serta tidak berbau.
Katanya, perangkap minyak dihasilkan mereka juga mampu menuras sisa buangan, oleh itu sisa yang terhasil boleh digunakan semula apabila mencampurkannya dengan tanah, sekali gus membantu pertumbuhan tanaman.
"Memang geli melihat sisa makanan dibuang ke dalam tong sampah, namun melalui projek ini sisa berkenaan boleh dilupuskan dengan baik tanpa perlu mencemarkan alam sekitar.
"Alangkah baik jika kaedah ini boleh dipraktikkan bersama rakan, keluarga dan masyarakat, sekali gus menjaga alam sekitar daripada dicemari," katanya ketika ditemui di sekolahnya, SMK Sri Muda, pada 20 September lalu sempena kunjungan penganjur TEY 2010.
Sementara itu, Aziah Yahya, guru SMK Sri Muda yang mengawasi projek pasukan itu mengakui projek dijalankan adalah kaedah berkesan bagi memperluaskan ilmu pengetahuan mengenai sains dan kaedah kitar semula selain daripada teori yang dipelajari di kelas.
Aziah yang mengajar mata pelajaran Fizik turut mengucapkan terima kasih kepada penaja, Biogt Group (M) Sdn Bhd, pengeluar perangkap minyak dan lemak serta syarikat perunding pengurusan sampah, Muda Segar, yang berkongsi kepakaran teknikal bersama dengan pasukan itu.
Pasukan itu turut dibantu Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) bagi meningkatkan persiapan dalam pusingan akhir yang akan berlangsung di Subang Jaya, Selangor bulan ini.
TEY adalah program tahunan peringkat kebangsaan anjuran UMW Toyota Motor Sdn Bhd dan Kementerian Pelajaran.
Ia dilancarkan pada 2001 membabitkan pelajar sekolah menengah yang mewakili negeri masing-masing. Sejak dilancarkan, 145 sekolah menengah seluruh negara menyertainya membabitkan 1,160 pelajar dan 290 guru.
Antara masalah berkaitan alam sekitar yang diutarakan ialah pengurusan air, pembakaran sampah dan pembuangan sampah secara terbuka, menangani pembuangan minyak atau sisa pepejal serta mengurangkan penggunaan elektrik di sekolah.
Untuk pertandingan tahun ini, semua pemenang dikumpulkan dan mereka bertanding mengikut projek masing-masing dengan pemenang bakal memenangi hadiah bernilai RM7,000.
PROFIL
NAMA: Norhadi Mohamad
USIA: 16 tahun
SEKOLAH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muda, Penaga, Pulau Pinang
IDOLA: Pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah
CITA-CITA: Pensyarah Biotek
HOBI: Membaca dan mengumpul bahan ilmiah serta motivasi
PENCAPAIAN: Johan Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket Peringkat Negeri Pulau Pinang 2010 dan johan Toyota Eco Youth (TEY) 2007
PROFIL
NAMA: Nur Hazwani Mohd Nadzir
USIA: 16 tahun
SEKOLAH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muda, Penaga, Pulau Pinang
IDOLA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
CITA-CITA: Ahli Geologi
HOBI: Membaca dan merentas hutan
PENCAPAIAN: Johan Tilawah Peringkat Sekolah, mewakili sekolah ke Pertandingan Debat Peringkat Negeri Pulau Pinang dan johan Toyota Eco Youth (TEY) 2007
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: