LAZIMNYA malam raya selepas berbuka pada hari terakhir, kaki melangkah ke masjid atau bertakbir dari rumah ke rumah, manakala golongan ibu pula tidak menang tangan di dapur menyediakan pelbagai juadah enak.
Raya kali ini benar-benar 1Malaysia kerana menyambut bersama tiga rakan baru berbangsa Cina yang turut serta dalam rombongan. Penerba-ngan ke Kansai mengambil masa enam jam 20 minit.
Lumrah di pagi raya kita bermaaf-maafan bersama keluarga selepas solat sunat Syawal, tetapi sebaliknya Aidilfitri kali ini terpaksa terpacak di pintu masuk imigresen Jepun melalui proses pemeriksaan ketat sebelum dibenarkan masuk.
Kami terus ke terminal penerbangan domestik dan selesai pendaftaran, bermulalah sambutan Hari Raya 1Malaysia di Jepun bersama tiga rakan senegara yang baru dikenali. Walaupun nampak pelik, ia tetap pengalaman menarik.
Kebiasaan selepas solat sunat, umat Islam berziarah ke rumah sanak saudara, tetapi kali ini satu kelainan apabila meninjau sekitar Lapangan Terbang Kansai, termasuk berlegar-legar di hampir 10 restoran di situ.
Walaupun baru mengenali rakan baru, mereka prihatin mengenai makanan halal dan akhirnya kami memilih premis makanan laut bagi memastikan sambutan raya tetap meriah walaupun jauh daripada keluarga.
Ketika mengisi perut kami mengambil kesempatan untuk saling mengenali dengan lebih rapat. Hasrat makan nasi bagi menggantikan ketupat di pagi raya juga tercapai, cuma rendang yang dibawa disimpan
di dalam beg di kargo.
Lebih tiga jam kemudian, kami meneruskan penerba-ngan selama dua jam sebelum sampai di Lapangan Terbang New Chitose.
Di sana dua wanita dari United Kingdom iaitu wakil dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) menunggu sambil memegang kad tertera nama jam tangan buatan Switzerland jenama Edox. Kami berempat menaiki van ke penginapan di Hotel Sapporo Tokyu Inn di Hokkaido yang mengambil masa kira-kira 45 minit.
Sapporo yang dalam bahasa Ainu bermaksud ‘sungai penting yang mengalir di dataran’, adalah ibu kota Hokkaido dan bandar kelima terbesar di Jepun.
Selain terkenal antara kawasan tercantik di negara itu, Sapporo juga kota muda bangsa besar kerana pada 1857 ia ha-nya mempunyai tujuh penduduk tetapi kini kepadatan penduduknya seramai 2 juta.
Pada awal pemerintahan Meiji, Sapporo adalah pusat pentadbiran pulau, dan pembangunannya mendapat nasihat daripada pakar asing.
Ia dapat dilihat melalui struktur bangunan tradisional dan laluannya yang mengikut sistem Amerika Utara, malah bandar itu terletak di latitud hampir sama dengan bandar raya terkemuka seperti Milan, Itali; Toronto, Kanada dan Marseille, Perancis. Patutlah kota itu turut mendapat jolokan ‘bandar raya Barat
di benua Asia’.
Pada musim sejuk, kawasan itu diselaputi sajli tebal. Sapporo pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk pada 1972 tetapi kini kota itu lebih terkenal dengan makanannya ramen dan festival salji tahunan yang diadakan setiap Februari.
Hotel tempat tinggal kami terletak di Susukino yang terkenal sebagai pusat hiburan terbesar di utara Tokyo dengan lebih 4,000 pusat beli-belah, kedai, restoran, karaoke, pusat permainan video beroperasi, malah sentiasa hidup sepanjang malam jika dibandingkan di tempat lain.
Jadual kerja yang padat me-nyebabkan kami tidak berkesempatan meninjau kawasan itu pada waktu siang tetapi tidak lepaskan peluang berjalan kaki di sekitar Susukino selepas makan malam.
Lokasi itu hidup sepanjang malam dengan setiap premis perniagaan penuh dengan pelanggan, termasuk lelaki yang lengkap memakai sut dan membawa beg kerja.
Rupa-rupanya daripada maklumat yang tidak pasti kesahihannya, lelaki Jepun tidak akan pulang ke rumah apabila tamat kerja kecuali selepas jam 10 malam kerana tindakan balik awal boleh menjejaskan imej isteri kononnya suami mereka bukan orang penting di pejabat.
Jika rakan kerja memaklumkan wanita Jepun sentiasa menjaga penampilan, tidak kurang juga lelaki mereka, terutama di kalangan generasi muda. Sepanjang di situ, mata asyik memandang bahagian kening mereka yang sentiasa kemas terbentuk cantik.
Pada hari keempat, saya bertanya seorang jurujual lelaki di pusat beli-belah mengenai keningnya yang kemas dan dia mengakui membelanjakan 7,000 yen (RM266) setiap dua bulan di salun bagi menata rias bahagian itu saja serta sanggup berbelanja besar untuk kelihatan segak.
Saya juga sempat ke arked Tanukikoji yang berbumbung di laluan sepanjang lapan blok bangunan dan menjual pelbagai makanan, buah-buahan, pakaian, kedai haiwan peliharaan, barangan runcit, hadiah seperti kipas kertas dan kimono. Namun pastikan datang awal kerana kebanyakan premis ditutup jam 8 hingga 9 malam.
Bagaimanapun, sejurus premis perniagaan ditutup, beberapa lokasi menjadi tempat berkumpul artis jalanan bagi mengembangkan bakat dengan membuat persembahan tanpa mengira usia bagi menghiburkan orang ramai.
Sebelum itu, pada hari kedua di Jepun rombongan media Malaysia dan 10 wartawan majalah dari Tokyo dibawa ke pusat operasi perlumbaan WRC Jepun.
Kami diberi penerangan mengenai operasi pengendalian rakaman televisyen dan catatan masa perlumbaan yang dilakukan di seluruh dunia.
Kunjungan kami ke situ ditaja pasukan BP Ford Abu Dhabi. Kami turut berpeluang menyaksikan demonstrasi persediaan penyelenggaraan kenderaan pasukan sebelum kejohanan sebenar berlangsung keesokannya.
Hasrat bertemu pelumba Formula One yang kini berubah angin berlumba di WRC, Kimi Raikkonen yang mewakili pasukan Red Bull tidak kesampaian, sebaliknya memadai menyaksikannya dalam demonstrasi perlumbaan itu pada sebelah petang di Stadium Tertutup Sapporo yang terletak di Toyohira-ku.
Yang mengagumkan, ketika di stadium itu semua masyarakat diberi peluang sama rata me-nyaksikan perlumbaan dengan tenang kerana bukan hanya tempat khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU) disediakan, malah ibu bapa yang ada anak kecil membawa kereta sorong kanak-kanak boleh menyimpan di tempat meletak khas lengkap berkunci tanpa perlu risau hilang atau mengganggu orang lain.
Bagaimanapun, kunjungan ke Sapporo tidak lengkap jika tidak singgah ke menara jam atau Sapporo Tokeidai, bangunan tertua dibina pada 1870-an.
Bangunan kayu dengan seni bina gaya Amerika itu antara beberapa bangunan gaya Barat yang masih wujud di kota itu.
Manakala Taman Odori sepanjang 1.5 kilometer terletak di tengah kota Sapporo (dalam bahasa Jepun odori bermaksud ‘jalan besar’), membahagikan bandar itu kepada utara dan selatan.
Fungsi awalnya sebagai jalan utama tetapi kini menjadi taman dan saban tahun pelbagai pelbagai aktiviti diadakan di situ, tambahan pula ia berdekatan Sapporo TV Tower dan Muzium Arkib Sapporo antara lokasi dikunjungi pelancong.
Kami juga sempat berkunjung ke Universiti Hokkaido yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Pertanian Sapporo yang dibuka pada 1876.
Pada hari keempat, saya bersendirian menaiki teksi menjejaki komuniti Islam di kota itu. Sebuah masjid yang dibina dan dikendalikan Pertubuhan Islam Hokkaido (HIS) terletak di Bangunan Isoda, North 12, West 1, Kita-ku, Sapporo.
Pintu masjid biasanya hanya dibuka untuk solat Maghrib tetapi saya bertuah kerana sebaik menjejak kaki ke situ, dua penuntut Universiti Hokkaido dari Bangladesh kebetulan datang awal untuk memasak bagi majlis fakulti mereka.
Ibrahim Khalil yang tinggal di Sapporo lebih setahun memaklumkan, masjid hanya dibuka selepas komuniti HIS tamat tugasan masing-masing. Jelasnya, komuniti Islam berkumpul di situ untuk solat Jumaat dan ada juga aktiviti keagamaan dan kelas belajar al-Quran pada hujung minggu.
Ada kira-kira 300 komuniti Islam daripada pelbagai negara, terutama pelajar dan peniaga tinggal di Sapporo, termasuk 50 penduduk Jepun. Menurut Ibrahim, sambutan Aidilfitri kali ini ada kelainan apabila kali pertama solat sunat Aidilfitri diadakan di kawasan lapang yang disewa.
Sekitar 200 jemaah hadir dan mendengar khutbah sebelum diikuti jamuan. Penduduk Islam di situ tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan makanan halal kerana ada sebuah restoran halal Indonesia selain kedai menjual barangan keperluan dibuka orang Islam berdekatan masjid. Malah bekalan daging halal pula kadangkala ditempah sama ada dari Kobe atau Tokyo.
Saya kembali ke hotel sebelum meneruskan jelajah bersama tiga rakan ke Pasar Ikan Nijo (Nijo Ichiba), lokasi pasaran ikan yang popular di kalangan pelancong dan chef terkemuka. Makanan laut satu industri terbesar di Hokkaido, pasar itu terletak berdekatan arked Tanukikoji dibuka setiap hari kecuali Ahad.
Lebih 50 pengusaha berniaga di situ menjual pelbagai makanan segar seperti ikan, ketam, landak laut dan telur salmon.
Destinasi seterusnya ke Otaru, sebuah bandar pelabuhan yang mengambil masa setengah jam menaiki kereta api dari Jr Stesen dengan tambang lebih RM40 untuk pergi dan balik. Walaupun ada masalah bahasa, usah bimbang kerana pusat maklumat pelancong sedia membantu.
Perjalanan ke Otaru satu pengalaman menarik kerana dapat melihat keindahan alam semula jadi, menempuh hutan dan lautan, tiba di sana rasanya sepanjang berada di Sapporo di situ paling ramai pelancong asing kelihatan. Bandarnya kecil dan cukup sehari untuk meninjau seluruh kawasan berkenaan.
Di tengah bandar ada terusan, pada abad ke-20 ia menjadi laluan bagi sampan kecil memunggah barang dari kapal ke gudang walaupun arus pembangunan moden keunikan yang ada di Otaru terus dikekalkan.
Sejak 1980, gudang lama ditinggalkan dan diubah suai menjadi kedai menjual pelbagai cendera hati, kafe, muzium dan restoran akhirnya kini menjadi destinasi menarik untuk dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.
Walaupun musim panas, cuacanya dingin dan berangin, kaki terus melangkah menyusuri lokasi menarik yang ada di Otaru, namun bagi yang tidak larat boleh menaiki perkhidmatan beca dengan bayaran berpatutan.
Uniknya perkhidmatan itu, penarik beca menariknya sambil berlari yang semestinya memerlukan tenaga kuat, dan semua penarik beca adalah anak muda Jepun dengan wajah ala pelakon drama Jepun yang digemari wanita di Malaysia. Mereka sesekali berhenti di destinasi tertentu untuk memberi penerangan lokasi dituju, tetapi kena fasih berbahasa Jepun.
Pada malam terakhir, kami menikmati juadah di restoran menyajikan ketam besar gergasi seperti dilihat di Nijo Ichiba. Rangkaian restoran itu memiliki kira-kira 10 premis tahap kelas A di sekitar Sapporo.
Jika di tanah air, ketam rebus disejukkan seketika sebelum disajikan. Sepanjang di Sapporo, sajian makanan laut mentah dengan nasi serta sushi hidangan dinikmati yang dicuba setiap hari.
Kami pulang ke tanah air bertiga kerana seorang lagi menyambung percutian ke destinasi sekitar Hokkaido. Penerbangan ke Narita pada jam 7.45 pagi dan bagi mengelak ketinggalan, kami mengambil teksi dan kadar bayaran dikenakan hampir RM500 namun dari Sapporo ke lapangan terbang boleh menggunakan pengangkutan lain, iaitu kereta api dan bas yang mengenakan kadar tambang kurang daripada RM50.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: