PERKATAAN payudara itu sendiri secara tidak langsung sudah merujuk kepada wanita. Lalu tidak hairanlah jika membicarakan mengenai penyakit kanser payudara, pasti ia disasar kepada golongan itu.
Disebabkan fahaman tersebut, ramai lelaki mengambil jalan mudah memandang remeh tentangnya. Bagi mereka, penyakit itu ‘eksklusif’ untuk wanita dan jika ada pun di kalangan lelaki, peratusannya sangat rendah.
“Lelaki juga sebenarnya berisiko diserang penyakit yang sama,” kata Penyelaras Pusat Sumber Kanser Payudara Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr. Nik Munirah Nik Mahdi.
Malah katanya, kebanyakan kanser payudara yang menyerang lelaki kesannya jauh lebih buruk. Ini kerana ia akan menular kepada organ lain dengan cepat sehingga membawa kematian.
Jelas beliau lagi, walaupun jarang berlaku, kanser payudara yang menyerang golongan lelaki adalah lebih berbahaya kerana sel kanser itu lebih agresif berbanding sel kanser yang menyerang golongan wanita.
Merujuk kepada kajian Majlis Kanser Nasional, dari 1999 hingga 2006 bagi negeri Kelantan, seramai enam lelaki telah meninggal dunia akibat penyakit itu.
Pada tahun lalu sahaja kata beliau, sebanyak tiga kes dikesan dengan satu daripadanya meninggal dunia (kanser tahap 4) manakala dua lagi kembali berkerja setelah menjalani rawatan dan pembedahan.
Menurut Dr. Nik Munirah, daripada semua kes kanser di dunia, 0.1 peratus melibatkan kaum lelaki. Ini bermakna satu daripada 1,000 lelaki akan mendapat penyakit itu.
Mengikut perangkaan katanya, 0.22 peratus kematian lelaki di dunia disebabkan kanser jenis itu. Di Amerika Syarikat sepanjang tahun ini (setakat Oktober) sahaja, sebanyak 1,907 kes dikesan dan 390 daripadanya meninggal dunia.
Seperti juga kanser payudara wanita, keturunan merupakan faktor utama lelaki mendapat kanser payudara terutama andai melibatkan keluarga terdekat,” kata Dr. Nik Munirah.
Menurutnya, sama seperti kanser jenis lain, risiko seseorang lelaki untuk mendapat kanser menjadi tinggi berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai keluarga menghidap kanser.
Selain itu, risiko lain seperti pengambilan alkohol, tempat tinggal seseorang di kawasan radiasi tinggi (kuari dan kilang uranium) juga turut menyumbang. Penyakit Sindrom Klinefelter (47 XXY) di mana menyebabkan hormon estrogen tinggi dalam darah bagi lelaki juga menyumbang kepada kanser jenis itu.
“Saya percaya pengambilan makanan seperti makanan segera turut tidak terkecuali walaupun tiada kajian khusus dibuat bagi mengesahkannya,” kata beliau.
Jelas beliau lagi, kebanyakan pesakit lelaki yang menghidap kanser paydara berumur melebihi 40 tahun, bagaimanapun ia boleh berlaku pada sebarang usia.
Pengesanan
Pemeriksaan saringan mamografi hanya dilakukan untuk wanita sahaja. Ia merupakan kaedah unggul untuk mengesan kanser payudara di peringkat awal, di mana kanser itu belum disedari oleh wanita tersebut. Mamografi boleh mengesan kanser payudara satu tahun lebih awal sebelum wanita tersebut mendapat sebarang sindrom atau tanda-tanda.
Bagaimana pula dengan lelaki?
Menurut Dr. Nik Munirah, kanser payudara lelaki berlaku pada bahagian tisu payudara.
Sebarang keganjilan pada payudara lelaki merupakan simptom utama mereka menghidap kanser.
“Biasanya mereka akan merasa benjolan atau ketulan di belakang puting susu (nipple) dan payudara akan membesar sebelah (gynaecomastia).
‘‘Lelaki tersebut juga akan mengalami pengeluaran cecair dari puting, perubahan warna kulit di payudara atau puting susu tertarik ke dalam, katanya.
Jelas beliau, mungkin lelaki tersebut tidak sedar dengan perubahan payudara mereka. Namun, isteri atau keluarga terdekat boleh membantu kerana perubahannya sangat ketara.
“Kekadang isteri yang merasakan payudara suaminya kelihatan besar sebelah,” katanya.
Dr. Nik Munirah tidak menolak kemungkinan pengambilan steroid boleh menyebabkan payudara lelaki membesar namun ia berlaku di kedua-dua belah.
Seandainya seseorang lelaki itu disyaki menghidap kanser payudara, kata Dr. Nik Munirah, pemeriksaan ultrasound akan dilakukan. Biasanya ketulan (sekiranya ada) akan kelihatan dengan jelas.
Bagi kanser payu dara lelaki, biasanya pemeriksaan mamografi tidak akan dilakukan melainkan ia benar-benar diperlukan untuk diagnosis sekiranya tidak yakin dengan keputusan ultrasound.
“Ujian tisu biopsi akan dilakukan untuk pengesahan tisu barah di makmal patologi. Sel kanser payudara lelaki adalah lebih agresif daripada sel payudara wanita, cepat merebak ke organ lain dan menyebabkan kematian,” kata Dr. Nik Munirah.
Puncanya kata beliau, sehingga kini masih tidak diketahui. Kanser payudara lelaki merebak melalui salur limfa dan salur darah. Sama seperti kanser payudara wanita, sekiranya penyakit dapat dikesan di peringkat awal, harapan untuk sembuh adalah tinggi.
“Lebih 90 peratus harapan untuk sembuh sekiranya penyakit kanser dikesan pada tahap 1,” kata beliau lagi.
Rawatan
Bagi penentuan jenis rawatan yang diperlukan, doktor akan mengesan peringkat mana pesakit menghidapi kanser, keadaan kesihatan keseluruhan dan kesediaan pesakit sendiri.
“Seperti juga kanser payudara wanita, pembedahan mastektomi dijalankan bagi membuang keseluruhan payudara yang dijangkiti dengan cara membuang tisu termasuk lobul, liang, tisu lemak dan bahagian kulit termasuk puting serta aerola,” kata Dr. Nik Munirah.
Manakala pembedahan lumpectomy dijalankan bagi membuang bahagian yang dijangkiti sahaja.
Selepas pembedahan, pesakit perlu melalui rawatan radioterapi dan/ atau kemoterapi.
Radioterapi katanya menggunakan pancaran tenaga tinggi seperti sinar-X untuk membunuh sel kanser.
Bagi kanser payudara lelaki, terapi jenis itu digunakan untuk menyingkirkan sel-sel yang tertinggal di dada, otot dada dan ketiak selepas pembedahan.
Manakala kemoterapi pula kata Dr. Nik Munirah adalah sejenis dadah yang digunakan untuk membunuh sel kanser.
Rawatan kemoterapi melibatkan dua atau tiga ubat berlainan berbentuk pil atau suntikan melalui vena di bahagian lengan (intravena).
Kesedaran
“Secara amnya, tiada kesedaran di kalangan lelaki walaupun tahu mereka juga berisiko (walaupun kecil, 0.1 peratus) untuk mendapat kanser payudara,” kata Dr. Nik Madihah.
Biasanya kata beliau, mereka lebih memikirkan golongan wanita yang akan menghidap penyakit itu dan bagaimana mereka perlu bertindak sekiranya isteri, adik perempuan atau ibu mereka mendapat penyakit tersebut.
Buat masa ini katanya, tiada pemeriksaan saringan dijalankan untuk kaum lelaki tetapi mereka boleh datang ke hospital untuk pemeriksaan doktor dan seterusnya melakukan pemeriksaan ultrasound jika perlu.
Kata beliau sehingga kini tiada kumpulan sokongan yang khas untuk lelaki di Malaysia. Bagaimanapun kumpulan NGO seperti
BCWA (di Selangor) dan KAWAN (Kelantan) diwujudkan untuk semua pesakit kanser payudara tidak kira wanita atau lelaki.
“Kesedaran paling penting dalam menangani sebarang jenis penyakit. Kepada golongan lelaki, sila beri perhatian terhadap kesihatan anda kerana anda adalah ketua keluarga yang menjadi tunjang kepada isteri dan anak-anak,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: