INISIATIF diambil institusi kewangan bagi membantu orang ramai melalui tawaran pembiayaan peribadi bukanlah sesuatu yang janggal, malah ia dapat meringankan beban hutang ditanggung individu.
Bank Simpanan Nasional (BSN) juga tidak ketinggalan memperkenalkan pelbagai produk dan kemudahan perbankan untuk ditawarkan kepada orang ramai secara konsisten serta menyeluruh.Ikuti temu bual wartawan Bisnes Harian Metro, Sri Ayu Kartikawati Amri, bersama Naib Presiden Kanan Ketua Perbankan Konsumer BSN, Akhsan Zaini mengenai produk pembiayaan peribadi terbaru yang dilancarkan pihaknya untuk membantu orang ramai.
APAKAH produk dan kemudahan yang ditawarkan BSN kepada orang ramai setakat ini dan jenis dianggap paling popular?
BSN adalah bank yang berperanan menyediakan akses kepada kemudahan kewangan dan perbankan. Oleh itu kami menawarkan pelbagai perkhidmatan dan produk menarik sama ada secara konvensional mahupun Islamik.
Bagi memenuhi keperluan semasa konsumer, BSN menawarkan produk seperti pinjaman perumahan, peribadi, kenderaan, kad kredit, mikro kewangan dan pelbagai lagi.Manakala perkhidmatan lain yang ditawarkan BSN adalah pindahan wang melalui Western Union, BRI, perbankan melalui SMS dan banyak lagi.
Bagi produk simpanan paling popular di kalangan pelanggan adalah Sijil Simpanan Premium (SSP) berikutan insentif dan pulangan yang menarik berjumlah lebih RM12 juta.Apakah kempen terbaru pembiayaan peribadi daripada BSN yang sedang diadakan?
BSN baru-baru ini melancarkan kempen pembiayaan peribadi BSN Happy Cash bagi menyokong pertumbuhan produk di bawah segmen berkenaan dan ia berlangsung dari 20 Ogos hingga 31 Oktober 2010 dan menawarkan kadar faedah yang terendah di pasaran untuk pelanggan. Kami juga menawarkan kadar serendah 3.15 peratus dan 100 peratus pengeluaran penuh.
Ini bererti, jika pelanggan hendak mendapatkan pembiayaan RM100,000, mereka akan menerima jumlah terbabit untuk digunakan secara penuh. Bagaimanapun, pembiayaan maksimum adalah sehingga RM200,000 dan tempoh pembiayaan selama 20 tahun. Selain itu, pakej ini turut didatangkan dengan hadiah hebat untuk dimenangi pelanggan.
Apakah objektif kempen ini dijalankan?
Di BSN, kami berusaha memenuhi keperluan semasa pelanggan dan kempen ini juga dikenal pasti sebagai salah satu medium berkesan untuk BSN mempromosikan pakej pembiayaan peribadinya dan juga sebagai salah satu kempen kesedaran kepada orang ramai terhadap produk kami.
Selain produk yang menarik dan berdaya saing, kami turut memberikan ganjaran kepada pelanggan. Pelbagai strategi pemasaran menarik sudah dirangka bagi menyokong kempen ini, sekali gus membantu pencapaian kempen ini.
Apakah syarat yang ditetapkan untuk BSN Happy Cash?
Di bawah kempen BSN Happy Cash ini, warganegara Malaysia berusia 21 tahun ke atas yang juga kakitangan kerajaan dan badan berkanun (organisasi terpilih) saja layak untuk memohon. Bagi kakitangan tetap, perkhidmatan mestilah tidak kurang daripada enam bulan, manakala kakitangan kontrak hendaklah berkhidmat tidak kurang 12 bulan.
Mempunyai gaji pokok minimum RM800 dan adalah pemegang akaun Giro/Giro-i BSN. Syarat istimewa, pelanggan yang berpendapatan melebihi RM5,000, urusan dokumentasi mereka dipermudahkan.
Hanya penyata pendapatan terkini dan borang kebenaran potongan gaji saja diperlukan dan lebih menarik, pembiayaan boleh diluluskan tanpa penyata penebusan dari bank lain semasa menandatangani surat tawaran.
Bagaimana sasaran yang dijangkakan ke atas kempen ini?
Sasaran pengeluaran pembiayaan sempena kempen ini adalah RM1.3 bilion. Jumlah ini mewakili 35 peratus daripada jumlah keseluruhan sasaran pengeluaran pembiayaan bagi tahun 2010.
Menerusi kempen ini, kami mahu terus mengukuhkan kedudukan dalam segmen pembiayaan peribadi yang ketika ini hampir 90 peratus di kalangan peminjam adalah kakitangan kerajaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: