Monday, October 4, 2010

Belum sampai tahap bercinta

PERNAH mencetuskan kontroversi dengan penampilan seksi pada awal kemunculan sebagai artis, kini pelakon jelita, Diana Amir mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada imej itu. Bagi pemilik nama sebenar Nurdiyana Amir Hashim ini, pemikiran yang semakin matang dan dewasa menyebabkan dia berubah ke arah yang lebih baik sesuai dengan peningkatan usia.

pix_middle



Maklum sajalah, sekarang ada seorang jejaka yang banyak memberi bimbingan kepadanya. Berkenalan pada April lalu, lelaki yang dimaksudkan itu adalah naib juara Raja Lawak musim pertama, Zizan, 26. Selain sama berkecimpung dalam seni, Zizan juga adalah sahabat kepada Affendy iaitu abang kandung Diana. Justeru, atas sebab itu mereka saling mengenali.

Menurut Diana, dia selesa berkawan dengan Zizan kerana anak muda kelahiran Terengganu dan pelawak popular itu seorang yang matang. Ujarnya, Zizan sentiasa suka memberi teguran kepadanya jika dia melakukan kesalahan. Justeru Diana sangat menyenanginya kerana ada seorang insan yang sudi memberi perhatian dan boleh membimbing dirinya.

“Apapun, hubungan kami belum sampai tahap bercinta kerana baru berkenalan dan dalam proses mengenali hati budi. Namun, saya akui suka pada Zizan kerana perangai dan kematangan fikirannya. Biarpun, suka berlawak dan kelakar orangnya, saya dapati Zizan juga seorang lelaki yang berpendirian dan mempunyai matlamat dalam hidup.

“Malah, dia juga seorang yang mesra dan menghormati ibu bapa. Apapun, saya tak pernah berkecil hati dengan sikap tegas Zizan itu. Ini kerana, sebagai pelakon baru dan rakan sesama artis, saya menerimanya dengan perasaan hormat dan memandang positif. Setakat ini, saya belum lagi berasa terhiris hati dengan setiap teguran diberikan Zizan.

“Saya harap pengakuan ini takkan disalah erti. Ini sekadar penjelasan daripada saya dan selebihnya jika mahukan keterangan lanjut tanyalah Zizan. Bagaimanapun, Zizan pernah menyuarakan kepada saya dia enggan dikenali sebagai artis berpaksikan gosip dan kisah peribadi. Baginya, peminat harus menilai berdasarkan bakat seni yang dimiliki.“Zizan memang mengambil berat terhadap kecemerlangan karier seninya. Justeru, dia sentiasa berusaha mempertingkatkan hasil kerjanya menjadi lebih baik. Sekalipun tahu, media banyak membantunya, Zizan tak mahu cerita yang menjurus kisah peribadi,” katanya turut mengakui sudah berkenalan dengan ibu Zizan dan pernah keluar bersama.


Menyentuh soal kehadirannya bersama Zizan pada majlis pelancaran portal Skodeng Artis Ramadan lalu, Diana berkata, ia secara kebetulan. Katanya, pada hari terbabit dia ada program di Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Zizan juga. Namun, ketika perjalanan pulang kereta Zizan mengalami masalah dan perlu dihantar ke bengkel.“Jadi, ketika itu, saya juga berada di Finas dan Zizan meminta bantuan menghantarnya ke majlis pelancaran itu. Atas dasar persahabatan, saya membantu Zizan kerana cuaca pun hujan. Sebaik kami tiba, sudah hampir berbuka puasa dan Zizan mempelawa menyertai majlis itu. Apapun, saya memang tak sangka ramai juga wakil media yang menghadirinya.


“Saya dapat rasakan, pasti ada rakan media beranggapan saya teman wanita baru Zizan. Hakikatnya, apa yang boleh dikatakan saya memang selesa, tenang dan serasi bersama Zizan, tetapi hubungan kami belum sampai tahap yang lebih serius. Ia boleh diumpamakan sebagai hubungan persahabatan dan kini masing-masing dalam proses berkenalan.

Ditanya mengenai dirinya yang masih dicop seksi, Diana berkata, penampilan dengan imej seperti itu sudah lama ditinggalkannya. Sekarang, usia pun sudah meningkat matang serta dia bijak memilih mana baik dan buruk.

Katanya, imej seksi itu disebabkan baru meningkat remaja dan dia tidak berfikir panjang. Kini, semua itu sudah berlalu dan berubah.

“Saya pun tidak mahu lagi muncul dengan penampilan seksi. Bagi saya, apa yang terjadi dulu itu adalah pengaruh rakan dan gelodak jiwa remaja. Pada ketika itu, saya hanya impikan keseronokan semata-mata. Jadi, daripada aspek pakaian saya tidak beri keutamaan asalkan ringkas dan bergaya. Lagipun, pada saya istilah seksi itu perkara subjektif.

“Seksi tidak boleh dikaitkan dengan cara pemakaian saja kerana ada juga individu yang melihat seksi itu daripada bibir dan mata seseorang. Jadi, usah labelkan saya insan yang seksi sesuka hati kerana manusia sentiasa berubah. Siapa yang tidak mahu berubah menjadi baik dan lebih terurus seiring dengan peningkatan usia serta kematangan fikiran.

“Bagi saya, diri kini meniti frasa perubahan hidup dan masyarakat seharusnya memberi peluang. Usah terus menghukum berdasarkan persepsi dulu.

“Seingat saya, muncul dengan penampilan seksi dulu pun dalam jangka masa yang singkat. Tetapi biasalah, mulut tempayan boleh ditutup tapi mulut manusia kita tak mampu. Mahu atau tidak, saya harus sedia menerimanya.

“Ia tanggungjawab saya terhadap kesilapan lalu. Apa yang pasti, saya tahu diri sudah berubah dan kini memang sangat berhati-hati soal pakaian.

“Biarpun memilih gaya ringkas dan kemas, saya akan pastikan pakaian itu sesuai dan menutup semua imej seksi. Saya harap diri ini takkan dikaitkan lagi dengan imej seksi selepas ini,” katanya mesra.

Bernaung menjadi residen artis MIG Production Sdn Bhd selama lima tahun, Diana berkata, dia sudah membuat keputusan tepat. Ini kerana sejak diuruskan pengurusan bakat MIG Production, karier lakonannya kini semakin stabil dan sibuk. Selepas menjayakan beberapa filem seperti Aku Masih Dara, Senario Ops Pocot, Diana kini di lokasi penggambaran Sekali Lagi.

Filem arahan Hashim Rejab itu yang terbaru dibintangi Diana selepas terbabit dalam drama Jalan Pinang Sebatang arahan Azhari Zain atau Zack. Menurut Diana, tawaran berlakon yang banyak diterimanya kini menyebabkan masanya untuk diri terhad. Apapun, sebagai pelakon baru dan meningkat naik, dia sangat gembira dan bersyukur dengan apa yang diraihnya.

PROFIL
NAMA PENUH: Nurdiyana Amir Hashim
PANGGILAN: Diana Amir
TARIKH LAHIR: 22 Jun 1986
USIA: 24 tahun
TEMPAT LAHIR: Birmingham, England
ASAL: Johor Bahru, Johor
KELUARGA: Anak keempat daripada tujuh beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda, Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang
DRAMA BERSIRI: Antaranya Impian, Impian 2, Sari Maya, Adam Maya, Laila Asyikin dan Jalan Pinang Sebatang.
TELEMOVIE: Aloy dan Lu’Lu
FILEM: Antaranya V3 (Samseng Jalanan), Aku Masih Dara, Senario Ops Pocot dan Sekali Lagi.
PENGACARAAN: Life Can’t Wait (TV8)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: