PENGASAS laman sembang facebook, Mark Zuckerberg mendedahkan kehidupan peribadinya secara sepintas lalu kepada masyarakat umum di televisyen, baru-baru ini.
BERWAWASAN...Zuckerberg (kanan) bersama Oprah, Christie dan Booker.
Program temu bual itu menyiarkan beberapa babak dalam kehidupan Zuckerberg antaranya ialah menyambut mesra kekasihnya, Priscilla Chan dengan ciuman di luar kediaman mereka yang disewa di Palo Alto, California.
Kediaman bersaiz sederhana itu mempunyai bilik bacaan yang memuatkan sebuah meja, tiga kerusi dan dua unit rak kayu. Bahagian dapur pula dibina secara terbuka dan dilengkapi kabinet kayu berwarna cerah.
Zuckerberg memberitahu dia belajar bahasa Mandarin di meja makan setiap pagi sebagai persediaan untuk bercuti ke China bersama Priscilla pada hujung tahun ini.
Zuckerberg seorang yang kuat bekerja dan dia jarang berada di rumah kerana kebiasaannya akan menghabiskan selama 16 jam di ibu pejabat facebook.Pejabatnya pula mempunyai sentuhan santai dan kreatif apabila ada pekerja yang dilihat menggunakan papan selaju ketika bekerja. Dinding pejabat dipenuhi ungkapan yang memberi inspirasi seperti ‘Apa yang akan anda lakukan jika anda tidak pernah takut?’ ataupun ‘Usah bimbang untuk gagal’.
Dalam satu babak rakaman yang disiarkan program Oprah, Zuckerberg dilihat sedang bekerja bersebelahan seorang kakitangannya di meja tulis yang berselerak.Sementara itu, Zuckerberg diundang sebagai tetamu dalam program temu bual Oprah untuk mengumumkan bantuan AS$100 juta (RM320 juta) yang disumbangkannya kepada projek sekolah di Amerika Syarikat.Menurut sesetengah pengkritik, Zuckerberg sengaja membuat pengumuman itu serentak dengan tayangan perdana filem ‘The Social Network’ yang mengisahkan cerita mengenai penemuan laman sembang facebook untuk mencari publisiti.
Bagaimanapun, Zuckerberg mendakwa dia tidak merancang semua itu kerana ia berlaku secara kebetulan sambil menambah filem ‘The Social Network’ mempunyai jalan cerita yang menarik.
“Kebanyakan jalan cerita dalam filem itu adalah fiksyen dan saya pasti penerbit filem akan bersetuju dengan saya. Namun, mereka menghasilkan satu filem yang baik. Bukankah ia mengenai kehidupan saya?...tetapi hidup saya tidaklah begitu dramatik seperti dipaparkan filem itu,” kata Zuckerberg.
Zuckerberg yang menyertai Datuk Bandar Newark, Cory Booker dan Gabenor New Jersey, Chris Christie dalam program temu bual Oprah turut mengumumkan rancangan bestari untuk menjadikan bandar Newark sebagai model bagi Amerika Syarikat.
“Saya amat komited untuk memulakan rancangan itu dan sebagai permulaan akan menyumbangkan RM320 juta untuk penubuhan Yayasan Pendidikan,” ujar Zuckerberg.
Rancangan pengerusi facebook itu yang menjadi bilionair paling muda di dunia pada usia 23 tahun menerima sokongan padu Oprah dan penonton sebaik dia mengumumkan cadangannya.
Apabila ditanya mengapa dia memberi tumpuan utama kepada pendidikan, Zuckerberg berkata, setiap kanak-kanak berhak untuk mendapat pendidikan yang baik tetapi itu tidak berlaku pada masa kini.
“Saya mempunyai banyak peluang dalam hidup ini kerana saya mempunyai pendidikan yang baik sejak kecil, oleh itu, saya ingin memastikan setiap orang mempunyai peluang itu dalam hidup mereka,” kata Zuckerberg lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: