Tuesday, October 5, 2010

Tetamu rumah terbuka UP&D


BARISAN tetamu VIP Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd menjamu selera di sebuah bilik khas.


MESKIPUN bulan Syawal sudah hampir ke penghujungnya, namun kemeriahan menganjurkan rumah terbuka masih dirasai di kebanyakan tempat terutama di bandar-bandar.

Anak syarikat Kumpulan Utusan, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) juga tidak ketinggalan untuk menganjurkan majlis hari raya di pejabat mereka di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.

Majlis Ramah Raya 2010 yang berlangsung Jumaat lalu disambut meriah dengan kehadiran lebih 200 tetamu yang terdiri daripada kakitangan, penulis, pencetak dan pengedar yang telah banyak menyumbang kepada kejayaan UP&D.

Dr. Amaludin Ad. Rahman, 50, salah seorang penulis yang banyak berkolaborasi dengan UP&D, mengakui banyak pengalaman yang diperoleh sepanjang bekerjasama dengan syarikat tersebut.

“Sepanjang 24 tahun menjadi penulis di bawah penerbitan UP&D, banyak buku saya dipasarkan dengan baik.

“Sambutan yang diterima juga menggalakkan. Justeru, saya amat berterima kasih kepada pihak UP&D yang telah banyak membantu menerbitkan hasil tulisan saya,” ujar Pensyarah Kanan, Unit Pendidikan Luar & Latihan Industri, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sepanjang tahun 2010, lima buah buku Amaludin yang diterbitkan ialah Zuriat Penghubung Kasih, Melangkah Ke Alam Keusahawanan, Kaunseling Remaja: Tip & Panduan Ke Arah Satu Kaunselor Satu Keluarga, Hidup Sebumbung Tidur Sebantal dan 19 Langkah Untuk Berubah.

Memenuhi undangan

Kepada Prof. Madya Norani Sidek, 59, pula beliau sudah bekerjasama dengan UP&D sejak tahun 1997. Bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu, Norani memberitahu, beliau sering meluangkan masa menghadiri majlis sambutan hari raya anjuran UP&D.

“Boleh dikatakan hampir setiap tahun saya akan datang memenuhi undangan tuan rumah (UP&D) sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang tidak jemu menerbitkan buku-buku saya.

“Alhamdulillah, setakat ini semua buku berorientasikan masakan dan resipi yang saya hasilkan menerima respons yang memberangsangkan,” kata penulis yang popular dengan buku Pastri, Kek & Roti; Enjoy Baking, Cake & Cookies, Taste & Flavours of The World, Keraian Rancangan Penyediaan & Resipi serta Menghias & Mewarna itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar berkata, program tersebut bertujuan merapatkan silaturahim sekali gus menjalin kerjasama lebih erat pada masa akan datang.




“Saban tahun kita tidak ketinggalan mengadakan majlis sebegini untuk bermaaf-maafan dan mengenali lebih dekat antara satu satu sama lain.

“Istimewanya, majlis pada tahun ini turut meraikan kejayaan UP&D meneroka pasaran buku dalam talian melalui laman web www.mybooks.com.my,” ujar Ahmad Hairi sambil menambah pihaknya merancang banyak penerokaan segmen pasaran dalam talian.

Jualan dalam talian

Jelasnya , melalui sistem dalam talian, pembelian buku boleh dilakukan 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. Kemudahan itu secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan harian pengguna terutama yang tinggal di luar bandar.

Hingga kini terdapat lebih 2,000 judul buku yang diterbitkan oleh UP&D sejak tahun 1976. Menerusi laman web tersebut, setiap buku akan memaparkan sinopsis ringkas, tajuk, tarikh penerbitan dan harga.

Apa yang pasti, penganjuran majlis rumah terbuka mampu menjadi wadah untuk para tetamu bertukar-tukar fikiran di samping menikmati keenakan juadah yang disediakan.

Antara menu istimewa yang dinikmati para hadirin pada majlis Ramah Raya UP&D 2010 itu adalah laksa Johor, sate, lemang, rendang, nasi himpit, air batu campur dan sebagainya.

Selain menikmati hidangan, kakitangan UP&D yang mempunyai bakat terpendam berpeluang menyerlahkan kehebatan diri masing-masing dalam sesi santai karaoke sepanjang majlis berlangsung.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Pengurus Besar Pentadbiran dan Pemasaran UP&D, Rozita Yusof.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: