Sunday, October 24, 2010

Pemburu haram yang halal?


SEJAUH manakah kita menghormati haiwan-haiwan yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar?


AGAK lama Bidai tidak menulis di ruangan ini. Bukan disebabkan merajuk, tetapi disebabkan kekangan dan bebanan kerja hakiki yang terpaksa Bidai selesaikan dahulu sebelum mampu menukilkan apa-apa di ruangan ini.

Apa pun, sebelum memulakan bicara, Bidai ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan yang melibatkan dua bas, tiga kereta dan sebuah van di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.

Malapetaka berlaku disebabkan beberapa punca. Namun ingin Bidai ingatkan, jika kita berhati-hati dan mengikuti undang-undang, Insya-Allah, kita pasti akan selamat.

Berkisar tentang malapetaka juga, ingatkah lagi pembaca mengenai insiden bekas Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed tertembak rakannya yang juga seorang penolong pegawai RISDA Maran, Che Abdul Ghani Medon semasa memburu landak di Hutan Lanchang dekat Kemasul, Temerloh, bulan lalu?

Bidai menerima e-mel daripada Dana Hidupan liar Sedunia Malaysia - (WWF-Malaysia) yang agak gusar mengenai insiden itu dan juga beberapa insiden yang sama sejak akhir-akhir ini.

Di bawah Bidai siarkan secara penuh kenyataan media Pengarah Eksekutif/ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma mengenai insiden itu dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Janganlah kerana kita sibuk menyalahkan pemburu haram, pemburu halal pula melakukan kerja haram.

Fikirkanlah...

Saudara Pengarang,

WWF-Malaysia ingin merujuk kepada berita ‘Siasatan Untuk Tentukan Punca Kejadian Tembak yang disiarkan pada 23 September lepas mengenai insiden Ketua Polis Daerah Temerloh yang tertembak rakan sendiri ketika memburu di Hutan Simpan Kemasul, Lanchang, Temerloh.

Tragedi tertembak rakan semasa memburu ini bukan insiden pertama yang telah dilaporkan. Pada bulan Julai tahun ini, seorang korporal tentera telah tertembak mati rakannya semasa memburu di kawasan Hutan Simpan Temenggor, Perak.

Begitu juga dengan kejadian di Besut, Terengganu, di mana seorang pemburu ditembak rakannya sewaktu memburu babi hutan pada waktu malam.

WWF-Malaysia amat bersimpati dengan keluarga mangsa kemalangan-kemalangan ini tetapi kes-kes ini telah membangkitkan beberapa persoalan mengenai pemburuan hidupan liar di hutan simpan di negara kita.

Dalam kes di Hutan Simpan Kemasul, kumpulan pemburu yang dianggotai oleh bekas Ketua Polis Daerah Temerloh telah dikhabarkan masuk ke kawasan hutan untuk memburu landak.

Menurut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313 dan 314), selain daripada Orang Asli, setiap orang perlu mempunyai permit untuk memasuki sebarang Hutan Simpan.

Akta tersebut juga telah menyatakan dengan jelas pemburuan di dalam kawasan Hutan Simpan adalah dilarang sama sekali dan sesiapa yang didapati memburu di dalam kawasan Hutan Simpan boleh didenda.

Jika permit untuk memasuki hutan simpan tersebut telah dipohon dan diluluskan, apakah tujuan yang diberi untuk permohonan permit oleh kumpulan ini untuk memasuki hutan simpan tersebut?

Sesetengah hidupan liar termasuk landak ialah hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76).

Aktiviti pemburuan bagi hidupan liar yang dilindungi di bawah akta ini memerlukan permit daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Sesetengah haiwan juga hanya boleh diburu pada waktu-waktu atau bulan-bulan (musim) yang tertentu. Pada masa ini, lesen pemburuan rusa dan kijang telah dibekukan oleh Perhilitan akibat pengurangan drastik populasi rusa dan kijang di Semenanjung Malaysia.

Sebelum pembekuan ini, rusa dan kijang hanya boleh diburu dengan menggunakan senjata api yang sah pada bulan November, dan satu permit hanyalah untuk satu ekor rusa atau kijang.

Pengunaan jerat untuk memerangkap hidupan liar adalah diharamkan sama sekali dan pesalah boleh didenda menurut Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

Bagi kejadian-kejadian yang dinyatakan di atas, adakah lesen atau permit untuk memburu telah diperoleh daripada Jabatan Perhilitan?

Berikutan tragedi di Hutan Simpan Kemasul, Ketua Polis Pahang telah menasihati para pemburu untuk lebih berhati-hati ketika keluar memburu kerana kejadian seumpama ini kerapkali berlaku.

Nasihat yang diberikan oleh Ketua Polis Pahang amat berguna, akan tetapi terdapat aspek-aspek lain yang perlu diberi perhatian sebelum pergi memburu.

Sebagai contohnya, pemburu perlu mempunyai lesen sah untuk memegang senjata api daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan permit untuk memburu daripada Perhilitan.

WWF-Malaysia amat berharap siasatan lanjutan akan dijalankan oleh Perhilitan, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan PDRM untuk meneliti kes ini.

Untuk masa yang akan datang, pengawalan yang lebih ketat, terutamanya terhadap permit kebenaran, perlu dikuatkuasakan oleh Jabatan Perhutanan kepada sesiapa sahaja yang ingin memasuki kawasan Hutan Simpan.

Pihak polis juga berperanan dalam hal ini bagi memastikan senjata api yang digunakan adalah sah.

Perhilitan juga boleh melakukan pemeriksaan yang lebih ketat bagi memastikan hidupan liar hasil buruan menepati permit atau lesen yang telah dikeluarkan.

Perhatian dan pengawalan yang lebih ketat daripada pelbagai pihak dapat mengurangkan insiden-insiden yang tidak dikehendaki dan sekali gus menguran.gkan kes-kes pemburuan haram di kalangan masyarakat Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: