Sunday, October 24, 2010

Akhirnya bertunang juga


HATI Ayu berbunga bahagia setelah menjadi tunangan Zaquan.


SETELAH beberapa bulan berteka-teki tentang tarikh lamaran, akhirnya dramatis Ayu Raudhah mengikat tali pertunangan dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak pada malam 17 Oktober lalu, di USJ Subang Jaya, Selangor. Cuma dihadiri oleh adik-beradik dan sanak saudara terdekat, tiada acara besar-besaran.

Upacara merisik dilakukan terlebih dahulu oleh wakil keluarga Abdul Razak Salleh dan isterinya, Azizah Arshad yang membawa rombongan tiga kereta dari Seremban, Negeri Sembilan. Turut dibawa tiga dulang hantaran berisi dua bentuk cincin dan buah-buahan.

''Kami disambut baik oleh keluarga Ayu. Perbincangan tidak lama untuk mendapatkan kata persetujuan mengenai tarikh perkahwinan dan belanja wang hantaran," kata salah seorang keluarga Abdul Razak kepada Pancaindera.

Demi menghormati permintaan kedua-dua belah pihak, jumlah belanja mas kahwin dirahsiakan.

Alasannya, bimbang sekiranya pendedahan itu boleh dianggap riak oleh sesetengah pihak.

Kenduri sebelah Ayu di Alor Star, Kedah bakal diadakan pada 21 atau 22 Januari tahun depan diikuti dengan Seremban pada 29 Januari 2011 di Pusat Dakwah Islam di Paroi, Negeri Sembilan.

Bercerita tentang hal pertunangan, Ayu sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk mengadakan majlis bertunang sama pada hari perkahwinan. Namun, ia tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor.

Tak mengapalah Ayu, itu cuma rancangan awal sahaja. Tidak perlu kecewa kerana apa yang penting sekarang, Ayu sudah selamat menjadi tunang orang.

Kesempatan untuk mengorek rahsia hatinya, ternyata Ayu benar-benar gembira dengan status yang baru seminggu disandangnya itu.

''Hati berbunga-bunga kerana gembira sangat. Dan Ayu berharap akan sabar, reda dan kuat menempuh segala dugaan. Insya Allah, Ayu percaya untuk mengecapi impian, kita terpaksa mengorbankan sesuatu," soalnya sambil menyatakan kesyukuran apabila majlis merisik bertukar terus kepada upacara pertunangan.

Pelakon drama Dilema Wanita dan Dari Mata Arisa turut menyatakan bahawa pertunangan tersebut cukup bermakna. Bagi keluarga Abdul Razak, ini adalah kenduri perkahwinan yang terakhir dalam keluarganya. Sebab Zaquan anak paling bongsu dan sedikit sebanyak, mahu kesempurnaan agar majlis tersebut dapat dikenang sepanjang hayat.

Begitu juga dengan keluarga Zabedah Saat, ibu Ayu yang turut berdoa agar upacara meraikan anak bongsu perempuannya itu berjalan lancar dan meriah tanpa sebarang masalah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: