Sunday, October 24, 2010

Orang Kuantan memang rock!


AWIE (kiri) Ella dan Amy berkongsi satu pentas setelah 20 tahun tidak bersama.


PERJALANAN jauh yang dilalui bagaikan tidak terasa. Semuanya gara-gara mahu menyaksikan konsert Red On Black yang menggabungkan tiga ikon rock negara, Search, Wings dan Ella di satu pentas.

Hampir 20 tahun tidak beraksi bersama-sama, Amy, Awie mahupun Ella cukup berbangga apabila berpeluang beradu tenaga menghangatkan suasana malam, peluang yang tidak selalu datang.

Malam 15 Oktober yang lalu bandar Kuantan, Pahang sunyi sepi. Semuanya gara-gara konsert Red On Black yang julung-julung kalinya diadakan di sebelah Pantai Timur ini. Malah kehadiran penonton dari negeri Terengganu juga menambahkan lagi bilangan penonton pada malam tersebut.

Biarpun kehadiran penonton sebelum bermulanya konsert sedikit mendukacitakan, namun persembahan pembukaan oleh Ella berjaya menarik perhatian penonton yang masih berada di luar Stadium Darul Makmur itu.

Sedikit demi sedikit penonton mula memenuhkan ruang yang disediakan sehingga menjadi lautan manusia yang penuh sesak semata-mata mahu menikmati irama rock daripada legenda-legenda hebat tanah air.

Ada yang datang semata-mata mahu melihat dan merasai sendiri nyanyian live ketiga-tiga penyanyi popular tersebut dan tak kurang juga yang mahu mendengar ‘gorengan’ gitar oleh pemuzik kedua-dua kumpulan hebat itu.

Ella yang diiringi band Love & Begger begitu selesa mendendangkan lagu-lagu yang dipopularkan olehnya satu ketika dahulu.

Lagu Permata Biru yang menjadi lagu pembukaan begitu kuat menarik 7,000 penonton yang hadir untuk sama-sama menyanyi. Ia diteruskan dengan lagu Sembilu, Nuri, Sekuntum Mawar Merah, Pengemis Cinta dan disudahi dengan Kesal.

Penonton bagaikan tak keruan apabila melihat anggota-anggota Search dan Wings mula mengisi pentas pada malam tersebut.

Dengan pembukaan lagu Iron Maiden, Search dan Wing cukup bertenaga meneruskan penguasaan pentas dengan lagu Gemuruh yang dinyanyikan bersama-sama oleh Amy dan Awie.

Awie dan Wings yang meneruskan penguasaan pentas dengan lagu-lagu popular mereka seperti Lipas Kudung, Jerangkung Dalam Almari dan Sejati yang cukup menangkap sukma.

Sekali lagi Wings dan Amy bergabung tenaga menerusi lagu Balada Pemuzik Jalanan sementara Search dan Awie dengan lagu Opera Hidup.

Bagaikan disuntik dengan tenaga baru, lautan penonton yang hadir mula bersorak apabila Amy bersama Kid, Din, Nasir dan Ujang selaku pemain dram meneruskan kehangatan malam.

Biarpun tanpa kehadiran Yazit yang dimasukkan ke hospital beberapa hari sebelum konsert tersebut, persembahan mereka bagaikan tiada cacat celanya dengan himpunan lagu-lagu popular.

Isabela, Pawana dan Pelesit Kota berkumandang di segenap stadium sebelum masing-masing terpaku dengan kehebatan vokal Ella menerusi lagu Dua Insan Bercinta dan Baldu Biru.

Tidak mahu menghampakan peminat yang hadir pada malam tersebut, rangkaian lagu-lagu popular kedua-dua kumpulan ini dinyanyikan secara medley khusus untuk mereka yang hadir.

Peminat yang hadir turut bernyanyi lagu-lagu seperti Rozana, Semalam Yang Hangat, Gadisku, Taman Rashidah Utama, Meniti Titian Usang dan Misteri Mimpi Syakila yang cukup mengasyikkan.

Suasana stadium sunyi seketika apabila Kid dan Joe mengambil alih pentas. Petikan gitar kedua-dua gitaris hebat ini berjaya memukau seisi khalayak dengan rangkaian lagu-lagu pilihan mereka.

Tiga jam melihat mereka beraksi langsung tidak terasa. Memilih lagu Rock N Roll Lu Punya Suka dan Pasti sebagai lagu terakhir, Amy, Awie dan Ella sekali lagi berpadu tenaga di atas pentas.

Siapa kata rock sudah malap? Ternyata irama rock di Malaysia masih punya pengikut. Orang Pulau Pinang apa tunggu lagi? Nantikan kehadiran mereka di tempat anda hujung tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: