Sunday, October 24, 2010

Aida selesa ditemani bunga


Norshaida Mohd. Yusof menunjukkan rimbunan bunga costus chili red.


LANDSKAP yang menarik bukan sahaja dapat menjadikan sesebuah kawasan itu lebih berseri tetapi juga memberi ketenangan dan kedamaian kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.

Malaysia mungkin tidak mempunyai sejarah seni landskap yang panjang berbanding negara-negara Eropah. Namun hari ini hiasan landskap semakin menjadi ikutan khususnya di kalangan pemilik-pemilik rumah di bandar bagi menjadikan kediaman mereka lebih cantik, menenangkan dan hijau.

Justeru tidak hairanlah ada orang sanggup berhabis duit menghias halaman kediaman mereka dengan pokok-pokok dan bunga-bunga mengikut konsep tertentu.

Menyedari prospek perniagaan yang cerah dalam bidang berasaskan bunga dan landskap itu, Norshaida Mohd. Yusoff, 40, nekad untuk melibatkan diri secara serius dalam perniagaan yang awalnya diusahakan oleh suaminya, Zainor Khalid Zainudin sejak 15 tahun lalu.

Ternyata pengorbanannya tidak sia-sia apabila perniagaan tersebut kian berkembang sehingga menjadi antara nurseri bunga terbesar di kawasan Janda Baik, Pahang.

Pelanggannya bukan saja daripada rakyat tempatan bahkan syarikat-syarikat dari luar negara.

Menariknya, Norshaida yang lebih mesra disapa Aida, tidak mempunyai kelulusan khusus dalam bidang pertanian terutama bunga. Sebaliknya hanya belajar daripada suami dan melalui Internet selain bersandar pada pengalaman.

Setiap pengunjung yang berpeluang menjejak kaki di Kalis Nursery & Landscaping di Lot 5359, Kampung Cherenging, Janda Baik, Bentong, pasti dipanjat rasa kagum menyaksikan pelbagai bunga eksotik yang kebanyakannya jarang dilihat dan mempunyai nilai yang tinggi.

Suasana nurseri berkeluasan 11.4 hektar itu cukup tersusun dan kemas bagai sebuah 'syurga bunga' membuktikan ia dijaga rapi oleh pemiliknya.

Malah kata Aida, nurseri tersebut dijaga umpama seorang ibu menjaga anaknya, yang dibelai dan dibelek tanpa rasa jemu.

Sengaja dia dan suami memilih bungabunga eksotik kerana setakat ini tidak ramai pengusaha bunga di Malaysia yang memilih untuk menanam bunga jenis itu apatah lagi menjadi pemborong dan pembekal.

Baginya bunga jenis itu amat unik dan karakternya berbeza serta agak pelik yang sukar dilihat berbanding bunga-bunga tempatan.

''Di Kalis Nursery & Landscaping ini, anda boleh melihat lebih daripada 100 jenis spesies bunga eksotik yang terdiri dari keluarga Heliconia, Ginger, Costus, Calathea, Musacea dan banyak lagi.

''Kesemua baka bunga ini diimport dari Hawaii, Costa Rica, Porto Rico, Venezuela, sedikit dari Yunan, China, Indonesia dan negara-negara di sekitar kepulauan Caribbean dan negara-negara yang beriklim tropika.

''Hari ini, bunga-bunga jenis eksotik menjadi pilihan untuk landskap mahupun menghias rumah kerana selain tahan lama, ia sememangnya cantik untuk tatapan umum dan sukar ditemui,'' ujarnya.

Selain memenuhi pasaran tempatan, bunga-bunga eksotik daripada ladangnya turut dieksport ke Dubai, Thailand, Jepun dan Singapura.

Menurut Aida, selain senang dijaga, bunga-bunga eksotik ini tahan lama dan sesuai dengan cuaca panas di negara ini.

Mempunyai 12 orang pekerja, jelas Aida, ladangnya kini yang sedang dalam proses pengubahsuaian akan tampil dengan konsep baru iaitu konsep kontemporari tropika.

Hari ini Aida serta suaminya bukan sahaja menjual pelbagai jenis pokok-pokok eksotik malah mereka turut menawarkan perkhidmatan nasihat serta melakukan kerja-kerja landskap.

''Selain menjadi pembekal bunga-bungaan eksotik, kami juga bersedia mereka bentuk landskap premis pelanggan dan menjual barang-barang untuk perhiasan kolam dan landskap termasuk bangku rotan, batu dan kayu.

''Kami akan cuba memenuhi permintaan serta cita rasa pelanggan dan lakukan sebaik mungkin,'' katanya.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan bunga-bunga eksotik di Kalis Nursery & Landscaping, boleh mengunjungi kebun bunga itu di Janda Baik atau menghubungi talian Aida di 019-6111361.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: