|
|
BESI yang digunakan sebagai pakaian pengantin, cermin pecah yang dikaitkan dengan kisah cemburu dan kaki palsu yang pecah - itu antara antara barangan yang dipamerkan di sebuah muzium baru di Croatia.
Pada peringkat awal memang susah hendak kaitkan barangan ini dengan sebuah muzium. Tetapi bahan-bahan yang dipamerkan di muzium putus cinta atau Museum of Broken Relationships di Zagreb, Croatia mempunyai satu persamaan - ia menceritakan mengenai kisah cinta tidak kesampaian.
Bahan-bahan daripada cinta yang kecundang yang bertahun lamanya ada yang kelihatan biasa, ada pula yang aneh, kadang-kadang lucu, sedih atau di luar kelaziman.
Kaki palsu yang terletak di atas pelapik putih adalah milik seorang tentera di zaman perang Croat yang menjakin hubungan dengan pekerja amal.
“Kaki palsu ini tahan lebih lama dari cinta kita. Ia diperbuat daripada bahan yang kuat,” kata keterangan yang terdapat di bawahnya.
Bahan lain yang dipamerkan termasuk kapak yang digunakan untuk mengapak perabot bekas teman wanita, rambut palsu berwarna merah dari New York dan tali pinggang dari Sarajevo.
“Saya tidak pernah memakainya. Hubungan tentu bertahan lebih lama jika saya memakainya,” ratap penyumbangnya.
Idea untuk menubuhkan muzium itu muncul lima tahun lalu apabila artis Olinka Vistica dan Drazen Grubisic yang berpisah selepas empat tahun bersama berbincang bagaimana untuk memulihara peninggalan daripada hubungan yang terputus.
“Diilhamkan daripada situasi kami sendiri, kami berbincang idea ini bahawa sesuatu yang pernah manis satu ketika dan kemudiannya berubah tidak sepatutnya dimusnahkan tetapi di simpan dengan cara tertentu,” kata Vistica.
“Jadi pada 2006 kami melancarkan projek ini, menamakannya Museum of Broken Relationships, di mana orang ramai boleh ‘menyimpan’ perasaan mereka.
“Konsep ini ialah, mereka yang memiliki pengalaman sedih dan mahu menghilangkan beban akibat cinta yang putus di tengah jalan dengan menderma barang-barang daripada kisah peribadi mereka,” katanya.
Walaupun ada yang tidak mendedahkan perkara yang terlalu peribadi, Grubisic percaya motif utama penderma yang tidak mahu dikenali ialah sebagai simbol menutup satu bab dalam hidup mereka.
“Semua perkara penting dalam hidup kita seperti berkahwin atau pengkebumian diiringi upacara tertentu. Cuma apabila hubungan terputus sahaja kita sendirian.
“Ini merupakan satu cara untuk menyedia upacara untuk mereka yang putus cinta. Melalui sumbangan kepada muzium objek itu berubah konteks dan menjadi sesuatu yang lain,” katanya.
Muzium yang baru dibuka di Zagreb itu telah menarik minat penduduk Croatia dan juga pelancong yang datang.
Untuk tempoh empat tahun lepas , ia telah menjelajah sekitar 20 lokasi di Eropah, Amerika Utara, Asia dan Afrika.
“Projek asal ini telah berkembang di luar dugaan kami, sebab itu sebaik sahaja menemui lokasi tetap yang sesuai kami terus membuka pameran tetap,” kata Vistica.
Semua bahan pameran diletakkan dalam bilik yang ada tema masing-masing seperti kemarahan dan sakit hati’ dan kerenah dan kehendak.
Setiap satu diiringi dengan keterangan seperti tempoh hubungan, tempat asal dan penerangan penderma.
Lain-lain bahan pameran termasuk doa oleh seorang gadis Filipina untuk tunangnya selepas tunangnya itu cedera parah akibat satu kemalangan dan surat cinta yang ditulis oleh budak lelaki berusia 13 tahun yang lari meninggalkan Sarajevo sebaik perang meletus pada 1990-an.
Menurut Vistica dan Grubisic, penyumbang kebanyakannya wanita kecuali yang datang dari Turki di mana banyak disumbangkan oleh lelaki.
Melalui laman sesawang muzium itu www.brokenships.com seseorang itu boleh melakukan sumbangan secara maya dengan menghantar e-mel, gambar atau pesanan ringkas (SMS).
Tetapi kata Grubisic, pada masa ini orang ramai lebih suka menderma objek sebenar.
“Ini merupakan konsep yang hebat. Saya menyukainya sejak ia memberi tumpuan kepada kisah manusia dalam bentuk pameran artistik. Sebuah kisah benar boleh menjadi satu seni,” kata seorang pelawat Domagoj Blazevic, 31.
“Pada masa yang sama ia lucu dan puitis, tetapi saya juga boleh merasakan keperitannya,” kata penyanyi Ivanka Mazurkijevic.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: