BOSAN dan tiada masa sering dijadikan alasan untuk mengelak melakukan senaman meskipun berat badan mula bertambah lalu menyebabkan kesihatan terjejas.
TERSUSUN...Lose Big juga tekankan semangat setiakawan untuk bantu peserta dapatkan berat badan ideal.
Justeru, program Lose Big yang direka dan diperkenalkan Pengurus Serantau Fitness First (Asia) merangkap pelatih kecergasan kumpulan biru dalam siri televisyen kecergasan popular, The Biggest Loser Asia musim pertama (TBLA1), Dave Nuku, baru-baru ini, disifatkan antara program senaman menarik untuk menurunkan berat badan berlebihan.
“Ini adalah program penurunan berat badan berstruktur selama 13 minggu dengan mensasarkan golongan yang mengalami masalah berat badan berlebihan.
“Mereka juga mempunyai indeks jisim badan (BMI) melebihi 25 atau peratus lemak badan keseluruhan lebih 35 peratus.
“Konsepnya seakan-akan TBLA di mana peserta dibahagikan kepada dua kumpulan - merah dan biru - dengan maksimum 16 peserta bagi setiap program bersama dua pelatih kecergasan yang membimbing sekurang-kurangnya lapan peserta bagi setiap kumpulan.
“Ini bermakna peserta akan bersenam bersama-sama peserta lain bermula pada titik awal hingga akhir sesi dan hanya mereka yang faham dengan keperluan latihan sesama sendiri, di samping bertindak memberi motivasi antara satu sama lain,” ujar Nuku dalam laman web rasmi program itu, http://timetolosebig.com.
Nyata program yang dilancarkan sejurus tamat TBLA1 itu memperlihatkan hasil mengagumkan di kalangan peserta seperti yang berlaku kepada pasukan bimbingan pelatih kecergasan Fitness First, Firdaus Abdullah Sani. Ada pesertanya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 28 kilogram.
Firdaus juga sebelum ini pernah membantu salah seorang calon peserta TBLA1, Farrah Zenny Lyn Salihuddin menjuarai cabaran saingan di rumah.
Menurutnya, program Lose Big ini hanya memerlukan peserta bersenam tiga kali seminggu selama satu setengah jam bagi setiap sesi.
Latihan yang dijalankan juga tidaklah 100 peratus seperti yang dilihat dalam TBLA1 kerana kebanyakan pelatih mengikut pelan program yang disusun Nuku berdasarkan kemampuan berbeza setiap peserta.
“Program ini lebih menekankan kaedah penurunan berat badan yang selamat dan dijalankan mengikut masa fleksibel setiap ahli kumpulan.
“Tiga hingga empat kali sesi sudah memadai, tapi peserta perlu mengharungi semua empat fasa latihan untuk mendapatkan hasil yang diingini.
“Selain mendidik peserta melakukan senaman dengan cara selamat, Lose Big turut menekankan semangat setiakawan di kalangan peserta. Menariknya, andai seorang ahli kumpulan tidak hadir pada hari yang mereka sendiri tetapkan, mereka akan ‘didenda’ dengan latihan tambahan.
“Beberapa peserta TBLA1 juga sesekali hadir memberi semangat kepada peserta dengan menyertai sesi senaman bersama mereka,” ujarnya.Jelasnya, fasa pertama adalah minggu orientasi atau Courage di mana peserta diberi penerangan terperinci oleh pelatih kecergasan mengenai program itu.
Ini termasuk bengkel seminar membabitkan isu pengambilan makanan serta jenis latihan yang akan dilakukan sepanjang program itu berlangsung.
Fasa kedua pula, Determination, menjurus kepada perkara asas dalam latihan bagi membolehkan peserta membiasakan diri dengan format latihan termasuk latihan permulaan kardiovaskular, latihan kekuatan dan fleksibiliti sepanjang minggu kedua hingga kelapan.
Program ini diteruskan ke fasa ketiga, Momentum pada minggu kesembilan, di mana peserta sudah boleh melihat keberkesanan latihan yang dijalani.
Tubuh makin fleksibel dengan setiap rentak latihan yang diberi dan tahap kelajuan latihan ditingkatkan bagi memperbaiki jumlah pengambilan kalori, sekali gus menganjalkan tubuh.
Program itu diakhiri dengan fasa Take Control iaitu peserta sudah mampu merancang pelan senaman masing-masing bersama pelatih kecergasan dan boleh digunakan secara individu sejurus tamat minggu ke-13.
Sepanjang berlangsungnya program ini, peserta akan ditimbang untuk menilai tahap susutan berat, sama seperti yang dilakukan dalam TBLA1. Di samping itu, peserta turut diberikan keahlian percuma untuk laman web http://thebiggestloserclub.asia bagi memantau jumlah pengambilan kalori dalam diet seharian, panduan masakan menyihatkan serta merancang pelan latihan tambahan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: