
KUALA LUMPUR - Bermula Januari tahun depan semua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan diterapkan dengan sub modul baru iaitu budaya kerja.
Ia bagi membentuk satu budaya yang diperlukan sebagai persediaan untuk menjadi negara maju pada tahun 2020.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, intipati utama sub modul itu ialah memberi penekanan khusus mengenai perubahan sikap, tahap kompeten, tanggungjawab dan integriti pelatih.
Katanya, budaya yang ada sekarang tidak mampu untuk melonjakkan hasrat bagi menjadi sebuah negara maju jika perubahan tidak dilakukan segera.
"Kita ingin kurangkan jurang perbezaan budaya yang ada pada masa kini dengan budaya yang diperlukan untuk tahun 2020.
"Perubahan perlu dilakukan merangkumi sikap, kompeten dan tanggungjawab. Ini termasuk tahap integriti terhadap diri dan organisasi," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Jantung Sedunia di Taman Tasik Titiwangsa di sini semalam.
Menurutnya, hasrat itu lahir daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin remaja di negara ini membuat persediaan secukupnya ke arah itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: