Monday, September 27, 2010

Siswa UUM 'berkursus' di Unit Kecemasan


Unit Smart Team Universiti Utara Malaysia (UUM) bersiap sedia untuk membantu mangsa kemalangan jalan raya dan pesakit.


Kemahiran mengenai pertolongan cemas amat penting dalam kehidupan seharian terutama dalam memberi bantuan kepada mangsa dan pesakit kemalangan.

Menyedari ia amat penting dalam kehidupan seharian, Smart Team Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil inisiatif mengikuti latihan sukarelawan di Unit Kecemasan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Star, Kedah baru-baru ini.

Menurut ketuanya, Quek Chieh Kai, 21, selama ini latihan mempelajari ilmu pertolongan cemas dan membantu mangsa atau pesakit dilakukan secara teori sahaja.

"Dengan latihan amali ini kami dapat mengalami keadaan sebenar merawat mangsa nahas jalan raya dan pesakit di hospital. Jadi inilah peluang bagi kami untuk mencari pengalaman," katanya.

Seramai sembilan pelajar Smart Team UUM ditempatkan di unit kecemasan hospital (HSB) di sini.

Menurut Chieh Kai, peluang sebegitu jarang diberi kerana inilah masanya pihak hospital memerlukan ramai petugas terutama ketika di musim perayaan.

Sementara itu, Low Chee Keong, 21, berkata, walaupun pelajar universiti diberikan cuti selama dua minggu tetapi beliau memilih untuk menyertai pasukan sukarelawan itu kerana peluang seperti itu jarang diperolehi.

"Saya rasa inilah masa yang sesuai untuk membantu kakitangan hospital, mangsa nahas jalan raya dan pesakit-pesakit," katanya.

Seorang mahasiswa, Ch'ng Chee Keong, 21, berkata, penyertaan itu amat dinantikan setiap tahun.

"Kita dapat bekerjasama dengan pihak hospital, badan bukan kerajaan (NGO) seperti St. John Ambulans," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kesihatan UUM, Dr. Mohamad Sanuri Rahamad berkata, pasukan Smart Team yang dihantar itu terdiri dari kalangan mahasiswa universiti yang berminat dalam pertolongan cemas.

"Kita berterima kasih kepada pihak HSB kerana memberi peluang kepada siswa UUM untuk bersama kakitangan hospital bertugas dalam membantu mangsa nahas jalan raya dan pesakit semasa musim perayaan," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: