Monday, September 27, 2010

Kembar tiga dapat keputusan cemerlang


Pasangan kembar tiga menunjukkan pingat yang diterima kepada ibu bapa serta adik-beradiknya pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 26 Sept. - Tiada perkara menggembirakan bagi pasangan kembar tiga yang berasal dari Kuala Lumpur apabila mereka dapat meraikan hari konvokesyen bersama.

Malah, pasangan Nadiah, Nadirah dan Nadrah Kamarudin, 23, boleh berbangga apabila berjaya meraih keputusan cemerlang iaitu kepujian kelas pertama dan kelas kedua atas Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik pada majlis konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Nadiah dan Nadirah mendapat kepujian kelas pertama dengan mencapai purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.79 dan 3.74 manakala Nadrah memperoleh kepujian kelas kedua atas dengan CGPA 3.54.

Bagi Nadiah, kejayaan yang dikecapi itu bukan kerana usaha mereka sahaja malah ia berkat doa semua pihak terutama keluarga, rakan seperjuangan dan pensyarah.

Menurutnya, mereka tidak mempunyai rahsia khusus untuk berjaya melainkan mengulang kaji pelajaran dan sentiasa bertanya kepada pensyarah sekiranya terdapat kemusykilan mengenai subjek yang dipelajari.

"Ini adalah rezeki yang dikurniakan Allah kepada kami. Alhamdulillah kami mendapat universiti sama, jurusan sama dan meraikan majlis konvokesyen pada hari sama. Itu adalah pengalaman indah yang akan dikenang.

"Kami tidak pernah berpisah, malah keputusan memilih jurusan ini pun dibuat berdasarkan persetujuan bersama. Kami juga berkongsi cita-cita untuk menjadi jurutera," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Nadrah yang merupakan adik bongsu sedikit terkilan kerana tidak dapat 'setanding' dengan dua kakaknya yang mendapat ijazah kelas pertama.

"Namun, saya terima keputusan ini dan percaya ada hikmah di sebaliknya. Sekurang-kurangnya saya melakukan yang terbaik, mungkin rezeki saja yang tidak berpihak kepada saya kali ini.

"Bagaimanapun, saya tumpang gembira dengan kejayaan dua kakak dan kejayaan itu sekali gus mengubat kekecewaan saya," katanya.

Bagi ibu kembar tiga berkenaan, Shabarinah Mohd. Sidik, 52, dia tidak mempunyai sebarang resipi istimewa dalam mendidik anak-anaknya selain mengamalkan sikap toleransi, berdisiplin dan tegas.

Menurutnya, dia sering menasihati anak-anaknya supaya mengamalkan persaingan yang sihat terutama dalam bidang pendidikan kerana tidak mahu wujud unsur negatif dalam keluarga mereka.

"Sejak kecil memang saya tidak pernah membezakan mereka dalam segala perkara termasuk hal pelajaran, malah dua anak lain dapat pendidikan sama serta mengecapi kejayaan yang mereka inginkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: