Sunday, September 26, 2010

Senapang meletup

MASJID TANAH: Beberapa pegawai dan petugas sebuah bank di sini gempar seketika apabila senapang ‘pump gun’ tiba-tiba meletup ketika seorang pengawal keselamatan hendak mengeluarkan peluru daripada larasnya, petang kelmarin.

CARI ... polis menjalankan siasatan berhubung tembakan dilepaskan melalui ‘pump gun’ pengawal keselamatan.
CARI ... polis menjalankan siasatan berhubung tembakan dilepaskan melalui ‘pump gun’ pengawal keselamatan.

Difahamkan, pengawal terbabit membuat tugas biasa menyelaraskan senjata terbabit sebelum menyerahkan kepada anggota lain sebelum tiba-tiba ia meletup dan menggegarkan ruang dalam bank.


Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Abd Rahman, 40-an, berkata ketika itu dia baru hendak memasuki sebuah kedai berdekatan bank dan terkejut mendengar satu das tembakan dari arah bank.


“Saya tersentak apabila terdengar satu bunyi tembakan yang kuat. Mulanya saya sangkakan bunyi mercun.


“Saya jengah keluar tapi tak nampak kelibat budak-budak bermain mercun sebelum melihat keadaan kelam kabut di dalam bank. Saya tak pasti apa berlaku sebab tak nampak apa-apa dari arah sisi dan masuk semula ke dalam kedai,” katanya.

Selepas beberapa ketika, katanya, dia terdengar suara riuh rendah di kawasan luar bank sebelum meninjau semula dan terkejut mengetahui bunyi letupan berpunca daripada senapang ‘pump gun’ milik pengawal keselamatan yang bertugas di situ.


“Saya bertanya seorang petugas bank dan mereka mengatakan senapang itu meletup tiba-tiba ketika seorang pengawal keselamatan membuat pelarasan senjata selepas habis bertugas,” katanya.


Beberapa petugas bank enggan mengulas lanjut kerana polis menjalankan siasatan mengenai kejadian itu.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.


“Kami menerima panggilan berhubung kejadian dan anggota polis bergegas ke tempat dimaksudkan dan didapati tiada kemalangan jiwa. Hasil siasatan mendapati ada satu kesan lubang besar dipercayai kesan tembakan yang dilepaskan.


“Akibat tembakan itu, cermin dinding mengalami kesan retak dan polis mengambil keterangan daripada pengawal keselamatan terbabit serta beberapa saksi. Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: