Sunday, September 26, 2010

Tahan bot bawa barang seludup

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menumpas kegiatan penyeludupan yang beroperasi sejurus bilal melaungkan azan solat Jumaat, berikutan penahanan satu bot kargo sarat dengan muatan barangan seludup di perairan Kuala Perlis, dekat sini, kelmarin.

PERIKSA... Abdul Rahim (dua dari kanan) memeriksa pelbagai barangan yang dirampas daripada sekumpulan nelayan Thai di Kuala Perlis.
PERIKSA... Abdul Rahim (dua dari kanan) memeriksa pelbagai barangan yang dirampas daripada sekumpulan nelayan Thai di Kuala Perlis.

Bagaimanapun, modus operandi kumpulan itu dipantau pihak risikan APMMM yang mendapati bot kargo sepanjang 25 meter bernilai lebih RM100,000 itu kerap berlayar ke negara jiran ketika azan Jumaat dilaungkan di masjid berdekatan.


Hasil pemeriksaan, APMM menjumpai 28 tong plastik mengandungi 520 liter petrol, 60 tin cat jenama terkenal, 144 kilogram minyak masak dan 140 kilogram gula pasir yang bernilai RM11,788.


Ketua Penguatkuasa Maritim Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan anggota yang menaiki kilat APMM terserempak dengan bot kargo berkenaan yang sering berulang alik ke negara jiran, kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai Kuala Perlis.


“Kami bertindak memintas bot kargo yang berdaftar di Thailand berhampiran perairan negara jiran sebelum menjumpai barangan kawalan yang disorok di bahagian bawah bot itu.

“Seorang tekong bersama 10 awak-awak warga Thailand cuba mengaburi pihak berkuasa dengan meletakkan barangan kargo harian iaitu ikan di bahagian atas manakala bahagian bawah pula tersembunyi barangan seludup,” katanya di pejabat APMM Kuala Perlis, dekat sini, semalam.


Beliau berkata, bot kargo seberat lebih 40 tan bernilai lebih RM100,000 dirampas dan ditarik ke pangkalan APMM Kuala Perlis untuk pemeriksaan lanjut.


Abdul Rahim berkata, anggotanya terpaksa berkorban masa, terutama ketika umat Islam sibuk melakukan solat, bagi memastikan perairan negara bebas daripada ancaman penyeludupan.


“Sebelum ini penyeludup melakukan operasi ketika umat Islam berbuka puasa serta pada waktu solat Subuh. Bagaimanapun, kegiatan mereka sentiasa dipantau,” katanya.


Beliau berkata, 11 warga Thailand, termasuk tekong berusia 30 hingga 51 tahun berkenaan, akan didakwa mengikut seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu cubaan menyeludup keluar barangan larangan eksport.


Katanya, bagi bahan bakar, kes terbabit adalah rampasan ke-15 membabitkan APMM di perairan Kuala Perlis dan Langkawi bagi tempoh tahun ini sehingga semalam manakala gula dan cat membabitkan kes pertama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: