![]() |
| Beberapa babak menarik yang menghiasi drama bersiri Ahmad Durrah yang bersiaran setiap Jumaat di TV3 pukul 9 malam. |
TERBIASA dengan kepadatan jadual kerjaya sebagai pelakon membuatkan pelakon jelita, Siti Shahrizah Saifuddin tidak mampu untuk berenggang lama dengan dunia lakonan.
Biarpun tatkala melahirkan anak sulungnya, Nur Eishal Mohd. Silahuddin, setahun yang lalu pelakon tinggi lampai yang mesra di sapa Eja itu pernah terfikir untuk berehat bagi jangka waktu yang lebih lama, namun nalurinya meronta untuk kembali ke dunia lakonan.
Dari segi penghayatan watak, jelas Eja, sejak kembali aktif berlakon tiga bulan lalu dia kini baru merasai kemampuan sebenarnya sebagai pelakon apabila hampir setiap watak yang ditawarkan kepadanya mempunyai cabaran yang berbeza.
Empat drama yang dilakonkannya sejak tiga bulan lalu ialah Ramadan, Ya Puan, Hijab Di Kalbu dan Ahmad Durrah yang sedang bersiaran menerusi slot Zehra di TV3 setiap Jumaat pukul 9 malam.
"Selepas berehat lebih setahun, saya bersyukur kerana tawaran yang mendatang kepada saya semuanya mempunyai jalan cerita yang bagus.
"Ketika bercuti dahulu saya tidak pernah nak berhenti cuma hanya ingin berehat lebih lama menjaga sendiri anak saya tetapi saya tak mampu bertahan. Jiwa saya meronta-ronta kerana tidak bekerja sebab sebelum ini saya memang sudah terbiasa bekerja.
"Apabila kembali semula berlakon, watak-watak yang saya ambil memang banyak yang berlainan daripada apa yang pernah saya lakonkan dahulu. Inilah yang membuatkan saya rasa teruja dan seronok nak berlakon.
"Jika dahulu saya dikatakan cerewet berlakon tetapi sekarang saya menjadi lebih cerewet memilih watak-watak dalam lakonan," kata Eja tanpa berselindung.
Drama terakhir yang dilakonkan Eja sebelum mengambil keputusan berehat panjang menumpukan perhatian terhadap keluarga ialah Tasbih Cinta yang dilakonkannya dua tahun lalu.
Tak sanggup berjauhan dengan anak
Ke lokasi rantaian Ahmad Durrah di Pulau Pinang selama dua minggu awal Ogos lalu adalah tempoh yang paling lama Eja 'berpisah' dengan anaknya.
Selain Eja, drama 13 episod yang diarahkan oleh Raja Ahmad Alaudin itu turut dibintangi oleh Rusdi Ramli, Nabila Huda, Normah Damanhuri, Nelly dan Jalil Hamid.
Biarpun berat mengambil keputusan meninggalkan anaknya untuk tempoh tersebut, bagi Eja inilah pengorbanan yang dilakukan olehnya sebagai seorang ibu demi tugas yang di amanahkan.
"Saya sebelum ini memang tidak pernah tinggalkan anak saya untuk tempoh yang lama seperti itu.
"Memang masa mula-mula nak pergi hati saya berbelah bagi. Anak masih kecil, sebab itu apabila berpisah saya rasa tak sedap hati.
"Ada juga saya buat panggilan video dengan anak saya, tapi bila tengok dia sedih saya pula yang rasa tak sampai hati.
"Sekarang saya sudah boleh ke luar daerah untuk berlakon tetapi mengehadkan untuk tempoh yang tidak terlalu lama," kata Eja yang bakal ke Mekah dan Madinah awal tahun depan mengikuti penggambaran drama bersiri Dia Bukan Maryam arahan Erma Fatima.
Sungguhpun dia kini kembali aktif berlakon dan mula sibuk dengan jadual kerja namun, jelas Eja, dia bersyukur mempunyai suami yang begitu memahami kehendaknya.
Apatah lagi, katanya, sebagai seorang artis yang telah berkeluarga dia kini terpaksa berkira-kira dengan masa dan perlu bijak menyusun jadual harian agar tanggungjawabnya terhadap keluarga dan kerjaya tidak berkurang di mana-mana bahagian.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: