SEPANJANG pembabitannya sebagai anak seni, sudah dua kali Tiz Zaqyah diuji.
Ketika namanya sedang mengharum dengan drama paling popular Nur Kasih, pelakon berkulit putih gebu ini dikejutkan dengan penyebaran gambar aksi hangatnya sedang bersosial dengan rakan-rakan.
KAMI SOKONG...ahli yang baru mendaftar dengan TZR FC diberikan sijil penghargaan.
Kontroversi berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan nama gadis berusia 22 tahun ini di mata peminat sehingga menyaksikan Tiz dinobatkan sebagai Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 09).
Jelas, aura Nur Amina, gadis bertudung dengan watak lemah-lembut dan tabah dalam Nur Kasih begitu kuat mempengaruhi minda peminat setia drama ini.
Baru-baru ini Tiz terpalit dengan kontroversi lagi.
Ketika sibuk menjalani penggambaran filem Nur Kasih The Movie, Tiz dikejutkan dengan dakwaan Fasha Sandha yang mendakwa Tiz menggoda kekasihnya, Rizal Ashram.Tiz juga dikatakan cuba memikat Fizz Fairuz. Sekali lagi dirinya menjadi buruan pihak media dan selepas kenyataan demi kenyataan dikeluarkan kedua-dua belah pihak, barulah isu itu senyap.
Tidak dinafikan perkara sebegini kadangkala boleh memberi tekanan dan impak kepada kerjayanya.
Namun, Tiz yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran kelab peminatnya, Tiz Zaqyah Razak Fan Club (TZR FC) berkata, ia adalah asam garam yang perlu dihadapinya apabila melangkah kaki ke bidang seni.
“Saya bersyukur keadaan sudah kembali tenang seperti sedia kala. Tak dinafikan, ketika isu ini sedang panas saya terpaksa menjawab pertanyaan pelbagai pihak yang ingin tahu perkara sebenar.
“Pergi ke mana-mana pun, peminat akan bertanya. Saya tak mengelak, beritahu perkara sebenar dan akhirnya mereka faham.
“Bukan orang luar saja, malah keluarga pun nakkan kepastian daripada saya sendiri. Saya tak tertekan dan jawab dengan jujur kerana buat apa nak berselindung. Alhamdulillah, ibu bapa kenal siapa saya dan faham cabaran yang saya perlu lalui sebagai anak seni. Mereka menyokong penuh impian saya untuk jadi pelakon.
“Matlamat saya menceburi lakonan hanya kerana minat dan untuk bekerja. Saya tak ambil peduli gosip yang tak berasas sebegini. Kalau diambil berat sangat, memang boleh susah hati dibuatnya. Untuk itu, saya sematkan unsur-unsur positif dalam diri agar tabah berdepan ujian sebegini.
“Kalau nak dikatakan tak tercalar dengan apa yang berlaku, memanglah ada kesannya. Tapi ia hanya bersifat sementara kerana apabila bakat saya digilap semula menerusi kualiti lakonan yang ditunjukkan, peminat akan menerimanya dengan baik.
“Saya pun sebenarnya rimas dikaitkan dengan isu remeh-temeh berbanding tumpuan terhadap karier.
“Saya mengaku kurang publisiti dalam media massa kerana kalau keluar dengan cerita tak berasas pun peminat tak suka. Saya lebih suka menjalani kehidupan tenang tanpa kecoh-kecoh. Biasalah, sesekali dugaan akan ada, tapi ia bersifat sementara dan selepas itu akan senyap,” katanya.
Tiz yang tampil dengan imej segar dengan rambut baru turut menimbulkan persoalan mengenai kelibatnya yang jarang muncul dalam drama.
Kata Tiz, dirinya masih dianggap hijau dalam lakonan dan dia berpegang kepada nasihat beberapa orang lama dalam industri yang mahukannya menjaga prestij supaya peminat tidak cepat jemu.
“Mereka kata kalau terlalu kerap keluar di televisyen boleh sebabkan saya hilang daya komersial. Jadi, apabila sesekali saya keluar dalam drama, orang pasti akan tertunggu-tunggu lakonan saya.
“Selepas siapkan filem Nur Kasih, saya hanya berlakon watak kecil dalam telefilem raya Tujuh Lagu dan Kuih Makmur.
“Banyak tawaran filem dan drama lain yang datang, tapi saya tak berani ambil selagi filem Nur Kasih belum menemui peminat. Saya bukanlah memilih watak ataupun mengada-ngada, tapi biarlah setiap watak yang diambil meninggalkan kesan di hati peminat.
“Kadangkala ada juga watak yang ditawarkan agak menarik, tapi terpaksa ditolak kerana bertembung dengan jadual lain.
“Saya begitu teruja menantikan tayangan filem Nur Kasih yang difahamkan pada Mac tahun depan. Saya akui ceritanya memang menarik.
“Pengarahnya, Kabir Bhatia masukkan pelbagai elemen supaya ceritanya mantap dan lebih padat. Ada kejutan yang menunggu dan peminat perlu menonton sendiri untuk mengetahui jalan ceritanya,” katanya yang merahsiakan jalan cerita filem itu.
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini hanya ketawa apabila diajukan persoalan jodoh kerana baginya soal itu terlalu awal untuk difikirkan.
Dia mahu mencapai lebih banyak kejayaan dalam karier sebelum memikirkan untuk berkahwin.
“Banyak lagi benda saya nak fikirkan daripada fikir mengenai perkahwinan. Tambah lagi saya belum ada teman istimewa.
“Saya nak tumpukan perhatian pada karier kerana kalau boleh saya nak berlakon sampai bila-bila. Bagaimanapun, dalam tempoh itu saya juga ada perancangan nak menceburi bisnes dengan membuka butik atau galeri lukisan. Harapnya impian saya jadi kenyataan,” katanya yang gemar melukis.
Tiz dianggap bertuah kerana biar apa kontroversi melanda, peminat yang bernaung di bawah TZR FC berdiri kukuh di belakangnya.
Buktinya, majlis berbuka puasa yang dianjurkan meriah apabila dihadiri 50 peminat yang turut datang dari luar Kuala Lumpur. Majlis diadakan sebagai meraikan ulang tahun pertama kelab peminatnya yang ditubuhkan pada 28 Ogos tahun lalu.
“Saya terharu dengan sokongan mereka yang tak berbelah bagi. Terima kasih saya ucapkan kepada Presidennya, Bibi Barizah Ahkau, Naib Presiden, Norhaslinda Sharudin serta semua ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus menganjurkannya.
“Mereka aturkan semuanya dan saya bersedia luangkan masa untuk datang kerana begitu menghargai sokongan yang diberikan. Tahun lalu mereka raikan ulang tahun saya yang ke-21 pada 21 November dalam majlis yang meriah.
“Tak sangka pejam celik pejam celik TZR FC sudah setahun. Sebelum ini macam-macam orang kata yang kelab peminat sebegini takkan mampu bertahan lama, tapi mereka sudah membuktikannya.
“Walau sesibuk manapun, saya tetap luangkan masa untuk menjalinkan hubungan dengan ahli TZR FC. Saya bersyukur ada yang sudi kendalikannya kerana nak urus kelab peminat sendiri memang susah,” katanya yang akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur bersama keluarga.
Beberapa acara menarik turut diadakan pada majlis itu antaranya memotong kek, penyampaian sijil kepada ahli, penyampaian duit raya kepada anak-anak ahli, cabutan bertuah dan pakaian terbaik lelaki dan wanita.
Tidak ketinggalan Tiz juga didera menyanyikan lagu hari raya. Walaupun mulanya enggan, dia akhirnya mengalah dan ‘sporting’ menyanyikan lagu Selamat Hari Raya nyanyian Fazidah Joned dan Suasana Hari Raya nyanyian Anuar dan Ellina.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Tiz Zaqyah Abdul Razak
TARIKH LAHIR: 25 Oktober 1988
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak bongsu daripada dua beradik
STATUS: Bujang
PERWATAKAN DIRI: Mesra dan ceria
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
KARIER: Pelakon
MULA BERLAKON: 2006
DRAMA: Gol & Gincu, Impian Illyana & Nur Kasih
TELEFILEM: Bernafas Dalam Lumpur & Puaka Topeng Putih
FILEM: Nur Kasih
WATAK IMPIAN: Seram, psiko dan gila
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: