Wednesday, September 1, 2010

Pilih jenis kain sesuai

BAGI ibu bapa, persiapan untuk anak-anak menyambut Aidilfitri adalah lebih penting berbanding diri sendiri.

RIANG RAYA...ibu bapa harus memastikan keselesaan anak-anak ketika berhari raya.
RIANG RAYA...ibu bapa harus memastikan keselesaan anak-anak ketika berhari raya.

KASUAL...pakaian kasual diperbuat daripada fabrik kapas menjanjikan keselesaan kepada anak-anak lelaki dan perempuan. KELENGKAPAN...antara barang penting yang perlu dibawa ketika beraya. SELESA...untuk bayi di bawah enam bulan, padanan romper membuatkan bayi selesa dan dapat tidur lena walaupun bukan di rumah sendiri.


KELENGKAPAN...antara barang penting yang perlu dibawa ketika beraya.
Ini terutama bagi ibu yang baru melahirkan anak, pastinya tidak berpengalaman menyediakan keperluan si kecil terutama pemilihan pakaian serta barang yang perlu dibawa ketika menziarahi rakan dan saudara-mara.

Menurut kaunselor kekeluargaan dan pemilik butik Sarakids, Farah Farhan Abdul Fattah, pemilihan pakaian untuk bayi baru lahir sehingga 12 bulan amat penting kerana pada peringkat umur ini, kulit bayi masih terlalu lembut dan sensitif.
Ada pakaian yang dijual di pasaran nampak cantik, namun fabrik digunakan tidak sesuai.

Untuk Hari Lebaran, baju kurung dan baju Melayu boleh mula dipakai seawal usia enam bulan kerana pada masa ini, badan bayi sudah agak besar. Namun pakaian haruslah daripada fabrik kapas dan bukannya satin atau sutera yang akan membuat bayi panas dan rimas.

Untuk pakaian kasual, bagi bayi baru lahir, mereka sesuai dipakaikan romper daripada fabrik kapas untuk memberi keselesaan kepada bayi pada pagi Lebaran.

Jika ibu memilih untuk mengenakan gaun pastikan pakaian itu juga diperbuat daripada kapas dan bukannya campuran kapas dan poliester.Ini akan membuatkan bayi tidak selesa dan berasa gatal akibat peluh.


“Perhatikan tanda pada belakang pakaian di leher anak, pastikan pakaiannya tidak mudah terbakar dan elakkan memakai kain bulu yang hanya sesuai di negara sejuk, bukan di Malaysia,” katanya.


Untuk anak perempuan, pemakaian perhiasan akan menambah seri pada pagi raya. Klip rambut sedondon dengan baju kurung atau getah rambut dan cekak sepadan membuatkan anak kecil lebih bergaya.

Selain itu, rantai manik yang tidak terlalu sarat dipadankan gelang boleh dipakaikan kepada anak kecil berbanding emas kerana anak-anak pada waktu ini lasak dan gemar bermain bersama saudara-mara.

Bagi anak perempuan, gaun tanpa lengan sesuai dipakai ke mana-mana saja terutama ketika menziarahi saudara memandang­kan cuaca panas di negara ini.

Bagi anak kecil yang lasak, padanan baju daripada fabrik kapas bersama seluar denim boleh mengurangkan risiko kecederaan ketika terjatuh.

Untuk ibu bapa, bagi mengenali fabrik berkualiti tidak sukar kerana boleh didapati dalam rona yang lebih terang dan warna pastel. Paling penting, mutu jahitannya berbeza.

Bagi ibu bapa yang ingin memakaikan tudung kepada anak yang masih di bawah usia dua tahun, pertimbangkan keadaan cuaca dan keselesaan anak. Dikhuatiri anak meragam disebabkan tidak selesa dengan pakaian mereka.

Pilihan pakaian berkualiti juga penting bagi memastikan peluh tidak terperangkap kerana kebanyakan pakaian daripada fabrik murah seperti campuran poliester akan memerangkap peluh dan ini tidak sesuai untuk bayi yang menghidap ekzema.

Bagi ibu bapa yang gemar mengikut aliran gaya terkini, saya sarankan mereka memilih koleksi gaun terutama gaun smoking atau gaun korduroi, kemeja lengan panjang bersama skirt mini dipadankan sarung kaki panjang.

“Gaya kanak-kanak lelaki lebih terhad, kebiasaannya mereka lebih gemar memilih kemeja-T berlengan pendek dan seluar panjang. Penggayaan topi juga sesuai jika mereka gemar bermain di kawasan terbuka seperti taman permainan.

“Ibu bapa dinasihatkan memilih pakaian yang lebih besar sedikit ketika membeli baju baru untuk anak-anak kerana kanak-kanak cepat membesar,” nasihatnya.

Selain pakaian, ibu bapa juga harus menyediakan keleng­kapan ketika beraya. Ini bagi memastikan tujuan ibu bapa berziarah tidak terganggu terutama jika melawat tempat yang jauh. Antara kelengkapan yang perlu dibawa ketika berhari raya ialah:

1. Lampin (bawa lebih daripada biasa).

2. Baju tambahan - baju tidur (untuk bermalam), baju kasual sekiranya air tertumpah atau buang air besar.

3. Set mandian seperti bedak, sikat dan sabun (penting untuk membawa kelengkapan sendiri kerana ada jenis sabun yang tidak sesuai untuk kulit bayi).

4. Pam susu dan kelengkapan penyusuan (bagi ibu yang menyusukan anak sepenuhnya untuk mengelakkan payudara membengkak)

5. Perhiasan tambahan.

6. Tuala dan bantal.

7. Botol air masak dan peralatan makan - pastikan air masak anak dibawa sendiri dari rumah untuk mengelak air tidak bersih dan risiko keracunan makanan.

8. Biskut atau snek ringan berkhasiat - khuatir sekiranya anak lapar dan tidak mahu makan di rumah orang ketika beraya.

Keperluan ketika perjalanan jauh:

  • Bawa pakaian yang sesuai untuk anak-anak mengikut acara atau keadaan persekitaran. Jika ke tempat sejuk, bawa pakaian tebal untuk mengelak anak kesejukan manakala jika ke tempat panas, bawa pakaian yang lebih nipis.

  • Bawa seluar yang boleh dipadankan dengan semua jenis baju. Ini akan menjimatkan ruang dan ibu tidak perlu membawa satu seluar untuk setiap baju.

  • Bawa lebih kasut. Dinasihatkan membawa satu selipar dan satu kasut bertutup. Ini kerana jika salah satu kasut rosak, ibu bapa masih mempunyai kasut simpanan. Jangan lupa membawa sarung kaki.

  • Paling penting, bawa keleng­kapan makanan anak-anak kerana khuatir tiada tempat berhenti makan (jika melalui jalan biasa). Peralatan seperti termos air panas, biskut, snek, roti, susu dan ubat-ubatan mesti dibawa untuk memudahkan perjalanan.

  • Mainan atau buku kegemaran anak-anak harus dibawa untuk mengelak anak bosan. Jika ada skrin televisyen dalam kenderaan, pasangkan cakera padat video kegemaran mereka.

  • Kotak kecemasan dan ubat-ubatan sekiranya berlaku kemalangan kecil atau besar, sekurang-kurangnya ini boleh membantu. Pastikan juga tempat duduk bayi dan peralatan keselamatan dipasang di dalam kereta sekiranya perjalanan jauh.

    Farah Farhan yang berpengalaman setiap kali pulang berhari raya dari Kelantan ke Johor mengakui, dia menyediakan keperluan dua hari sebelum bertolak.
    Dia menyediakan keperluan anak-anak seperti baju yang diletakkan di dalam beg kecil termasuk peralatan mandi, baju kasual, baju tidur dan lampin supaya memudahkannya mengambil baju dan berhenti untuk mandi.

    “Saya juga menyediakan makanan dan air masak dari rumah bagi memastikan kebersihan terjaga. Snek seperti biskut diberi pada mereka sebagai alas perut berselang seli dengan makanan utama. Memandang­kan anak saya menyusu badan, saya tiada masalah untuk membuat susu kerana sudah tersedia,” katanya.

    Perjalanan jauh yang melebihi tujuh jam dari Johor ke Kelantan pasti membuatkan anak kecil bosan.

    “Justeru, kami memutarkan cakera padat video kartun kegemaran mereka di samping membawa permainan serta buku untuk melakukan aktiviti di dalam kereta.

    “Kami menyanyi bersama-sama dan kadangkala suami berhenti untuk memberi peluang mereka bermain dan berehat di luar kereta,” katanya.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: