SIKAP saling mempercayai di antara satu sama lain menjadi pegangan utama pasangan pelakon romantis Vanidah Imran dan Rashidi Ishak dalam melayari bahtera rumah tangga.
Pasangan selebriti ini menyambut ulang tahun ke-10 perkahwinan mereka lebih awal iaitu pada Isnin lalu.
Mereka berkahwin pada 1 Oktober pada 2000.
Kedua-dua mereka begitu bersyukur kerana perkahwinan yang dibina atas dasar cinta berkekalan sehingga ke hari ini.
Menurut Vanidah atau lebih mesra disapa Vee, sejak mendirikan rumah tangga, mereka tidak pernah mempunyai sebarang rahsia.
"Alhamdulilah, perkahwinan kami berkekalan hingga kini. Seperti pasangan suami isteri lain perkara utama dalam rumah tangga ialah sikap saling mempercayai. Sebagai artis perkara ini adalah yang paling utama sebab kita lebih terdedah dengan bahan gosip dan dugaan dari luar.
"Setakat ini saya dan abang (Rashidi) sentiasa bercerita tentang setiap yang berlaku di set penggambaran. Pernah ada kru produksi yang cuba untuk dekat dengan saya tetapi saya terus beritahu perkara tersebut kepada abang," ujarnya.
Selain itu, Rashidi mengakui sikap kontra antara dia dan Vanidah menjadikan hubungan mereka saling melengkapi antara satu sama lain.
"Vee seorang yang terlalu pentingkan kesempurnaan. Setiap perkara yang dilakukan perlu teliti dan terancang manakala saya pula sebaliknya. Jadi selepas 10 tahun ini banyak yang kami pelajari dan saya lebih berdisiplin.
"Dari segi emosi juga sama, dia seorang yang cepat panas baran tapi saya lebih tenang. Bila dia marah saya tahu bagaimana nak kawal keadaan supaya kembali stabil," ujar Rashidi.
Bagaimanapun, pasangan ini mengakui mereka juga tidak pernah terlepas dari dugaan dalam perkahwinan. Namun perkara tersebut dilalui dengan tabah.
"Setiap perkahwinan pasti ada ombaknya, pada tahun pertama perkahwinan kami dugaan utama ialah dari segi kewangan. Ketika itu masing-masing belum stabil dan sebagai artis kami tidak ada pendapatan yang tetap.
"Saya pula ketika itu tujuh bulan tiada sebarang undangan nyanyian sehingga Vee mengandung anak pertama, saya ditawarkan untuk iklan makanan segera. Alhamdulilah selepas itu rezeki kami tidak pernah putus.
"Sebelum berkahwin lagi kami juga sudah berjanji tidak akan bergaduh fasal duit," kata Rashidi yang bakal keluar dengan album EP kedua bersama kumpulannya Dead Mushroom tidak lama lagi.
Mengimbau kenangan lalu, pasangan yang dianugerahkan dua cahaya mata ini iaitu Mikail Aimran,7, dan Mariyam Rashika,6, ini mengakui jatuh cinta pandangan pertama mereka apabila berlakon bersama dalam drama Athirah.
"Saya dan abang kenal ketika kami berlakon bersama dalam drama Athirah dan ketika itu juga kami masing-masing mempunyai kekasih. Tapi gerak hati saya kuat mengatakan dia merupakan pasangan hidup saya.
"Dua minggu selepas itu dia terus melamar saya dan kami mendirikan rumah tangga dalam tempoh setahun perkenalan," jelasnya Vee.
Majlis ulang tahun perkahwianan ke-10 yang diadakan di sebuah restoran di PNB Darby Park itu turut dihadiri oleh ahli keluarga, peminat dan beberapa rakan artis seperti AC Mizal, Emilia Rosnaida, Sofea Jane, Syarifah Aleya dan Syarifah Amani.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: