LOS ANGELES: Bintang Hollywood bermasalah Lindsay Lohan (gambar) diperintah untuk hadir ke mahkamah minggu ini berikutan kegagalan ujian air kencing, menurut kenyataan beberapa pegawai mahkamah, Isnin.
Dalam insiden terbaru itu, penyanyi berusia 24 tahun itu dijangka akan ke penjara sekali lagi untuk tempoh sebulan selepas didapati positif ujian air kencing berkala yang dijalankan dua minggu lalu.
Menurut kenyataan itu, Hakim Elden Fox di Mahkamah Tinggi Beverly Hills, Isnin, telah membatalkan tempoh pemerhatian dengan ikat jamin terhadap Lohan dan mengeluarkan waran tangkap sehingga Jumaat ini kepada penyanyi itu untuk hadir ke mahkamah.
Pada 6 Julai lalu, Lohan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 90 hari dan 90 hari lagi di dalam pusat pemulihan atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.
Ekoran kesesakan dalam sel penjara, penyanyi itu bagaimanapun hanya ditahan di dalam penjara selama 13 hari, sebelum dipindahkan ke pusat pemulihan bagi masalah ketagihan dadah.
Pada minggu lalu, laman web selebriti TMZ dan People Magazine melaporkan penyanyi itu mengakui telah gagal ujian air kencing, di mana dia disahkan positif dadah jenis kokain.
"Dengan kesalnya dimaklumkan saya telah gagal ujian air kencing yang dijalankan baru-baru ini. Ia sekali gus melambatkan lagi proses hukuman ke atas saya.
"Namun, saya akan bertanggungjawab di atas tindakan saya ini dan bersedia untuk menghadapi sebarang akibat... Penyalahgunaan bahan terlarang adalah satu penyakit yang tidak akan lenyap dalam tempoh yang singkat," demikian menurut kenyataan Lohan di laman Twitter.
Kejatuhan karier seni Lohan dikatakan bermula sejak tahun 2005 selepas dikaitkan dengan isu perundangan, dimasukkan ke pusat pemulihan, selain karier lakonan yang terus merudum.
Pada tahun 2008, pelakon filem The Parent Trap, Mean Girls dan Bobby itu telah dianugerahkan dua Anugerah Razzie iaitu sebuah acara anugerah yang mempersendakan prestasi buruk para bintang Hollywood dalam karier masing-masing.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: