Thursday, September 2, 2010
Ramadan, Syawal paling bermakna
Tiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai pengikat kasih yang tidak akan putus.
Malahan, kehadiran orang baru juga akan tambah bermakna apabila kedatangan disambut pada dua bulan mulia bagi umat Islam iaitu Ramadan dan Syawal.
Ramadan dan Syawal kali ini pastinya membawa tuah berganda buat Lan Kristal atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yosof setelah isterinya, Nor Sheila Hassim atau mesra disapa Ain, selamat melahirkan puteri sulung mereka seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan.
Malah Lan mengakui kelahiran Nur Amna Qaleesya kini, menjadi pelengkap kehidupannya setelah bergelar suami dan ketua keluarga.
“Lan rasa sangat teruja, terlalu seronok kerana Syawal yang bakal tiba ini Lan dapat merasa memegang gelaran suami dan ayah untuk kali pertama,” kata Lan yang juga vokalis kumpulan Kristal.
Ketika ditanya mengenai persiapan raya apatah lagi dengan kehadiran orang baru, Lan mengakui walaupun masih teruja dengan kehadiran orang baru, dia masih mengambil sikap berbelanja secara sederhana dan tidak mahu membazir.
“Persiapan yang Lan lakukan memang sederhana tetapi meriah. Meriah kerana dengan kehadiran orang baru jadi bila mahu buat persiapan rasa semangat itu lebih dari biasa.
“Walau bagaimanapun Ain telah membuat persediaan dari awal dengan menempah dengan menempah dua helai baju raya berwarna kuning dan merah jambu.
“Tetapi kami masih belum memutuskan warna apa yang akan digayakan pada pagi raya. Tumpuan kami sekarang hanya pada Amna,” katanya yang akan membawa isteri dan anaknya beraya di rumah keluarga Lan di Kuala Lumpur terlebih dahulu dan kemudian baru pulang ke Taiping, Perak.
Apabila ditanya mengenai juadah kegemarannya ketika di pagi raya, Lan tanpa berselindung mengakui sambal sotong tetap menjadi pilihannya tidak kira raya atau tidak.
“Mesti pelik orang lain suka lemang, ketupat tetapi Lan suka sambal sotong kerana apabila kita gaulkan dengan lauk yang lain di pagi raya rasanya sangat sedap,” katanya.
Manakala kuih kegemarannya yang wajib ada pada hari raya adalah tart nanas, semperit dan almond london.
Sementara itu ketika ditanya mengenai perkembangan kumpulannya pula, Lan berkata Kristal sekarang di dalam proses untuk membuat sebuah album yang memuatkan sepuluh lagu.
Sepuluh lagu tersebut memuatkan lima lagu saduran dan lima lagu baru. Manakala komposer untuk lagu-lagu tersebut juga merupakan campuran komposer baru dan lama. Kristal juga tidak ketinggalan menyumbangkan idea untuk beberapa buah lagu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: