Monday, September 27, 2010

Pereka jangan jadi lanun seni – Rizalman


RIZALMAN IBRAHIM


Sebagai pereka fesyen senior, apakah pandangan anda tentang perkembangan industri fesyen pada hari ini?

Industri fesyen di Malaysia sudah banyak berubah dalam masa 15 tahun ini apabila pantas berkembang. Permintaan terhadap rekaan fesyen terkini serta percambahan pereka baru menyemarakkan lagi senario fesyen tempatan. Bukan setakat itu, pendedahan terhadap barangan berjenama sekali gus memberi kesedaran terhadap mutu rekaan yang lebih tinggi. Kehadiran barangan serta jenama antarabangsa memberikan satu persaingan sengit serta sihat kepada masyarakat tempatan, pereka serta pengguna.

Tempoh 16 tahun berada dalam industri, adakah anda berpuas hati dengan sumbangan yang diberikan?

Pengalaman hampir dua dekad ini memang telah membawa saya ke platform yang berbeza tahun demi tahun. Kecuaian yang sedikit pun mampu menjerumuskan saya ke arah tidak sihat. Namun saya sedaya upaya sentiasa memperingati diri sendiri akan tugas serta tanggungjawab yang harus dipikul sebagai anak jati Melayu untuk memartabatkan nilai serta seni budaya bangsa supaya dipandang tinggi. Sebagai contoh, rekaan tradisional itu telah diperbaiki dan diolah untuk kesesuaian peredaran zaman dan mencari jalan untuk menjana ekonomi masyarakat Melayu.

Pandangan tentang pereka fesyen baru pada masa kini?

Ketika industri ini rancak berkembang namun terdapat juga pelapis pereka yang telah tersasar jauh dari landasan. In fashion,one day you are in, the next day you are out! jika kita tidak pandai membawa diri serta tidak menunjukkan identiti serta keaslian kita. Masyarakat akan cepat menghidu kelemahan seseorang pereka itu. Plagiat serta kurangnya mentelaah bahan rujukan akan menyebabkan rekaan kita kelihatan seperti mencedok dari pereka yang lain. Mengambil jalan pintas untuk berjaya serta terlalu enak dibuai dunia glamor juga menyumbang kepada kehancuran. Intipati kepada kejayaan seseorang pereka itu apabila menghasilkan sesuatu rekaan yang boleh diterima masyarakat serta dapat pula menghasilkan pulangan lumayan.

Adakah mereka sudah bersedia menggalas tanggungjawab sekiranya pereka fesyen seperti anda bersara tiba-tiba?

Inilah yang amat saya takuti. Pereka pelapis seakan belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini. Saya mungkin mempunyai rancangan yang besar selepas ini dalam bidang lain. Mungkin saya juga ingin bersara lebih awal jika melihat perkembangannya begini rupa. Rekaan fesyen yang dihasilkan rata-rata tidak mencerminkan identiti bangsa apatah lagi disogokkan untuk para pembeli untuk diguna pakai. Tiada elemen fashion forward diketengahkan. Idea masih di takuk lama sedangkan mereka sepatutnya hadir dengan idea-idea lebih bernas sebagaimana yang kita dapat lihat di Barat. Pereka juga kerap beranggapan bahawa sekiranya seseorang itu berada di luar negara, ia sudah cukup membuktikan seseorang itu berjaya sedangkan di tanah air kita sendiri it’s already a gold mine kalau kita bijak mengatur langkah. Bukankah itu sumbangan yang sepatutnya pada ada pada satu jiwa yang merdeka?

Pandangan anda apabila pereka fesyen baru ini tiada identiti sendiri dan masih mengambil jalan mudah meniru rekaan pereka fesyen senior?

Mengambil idea atau mencedok dari pereka yang lain tidak seratus peratusnya salah. Malah saya juga sentiasa meneliti hasil kerja orang lain untuk dijadikan panduan. Tapi apa yang digeruni apabila mencedoknya tanpa mengolahnya semula mengikut kesesuaian identiti seseorang pereka itu sendiri. Kesannya saling tidak tumpah terhadap apa yang terjadi pada industri muzik kita. Industri tidak berkembang malah pereka fesyen pula yang gulung tikar akibat ideanya diciplak.

Khabarnya pernah merajuk dengan industri fesyen tanah air?

Saya tidak merajuk apatah lagi untuk berlagak pandai. Kesan dari senario yang terjadi sekarang seolah-olah mencerminkan anak bangsa yang hilang arah tuju. Saya jenis orang yang suka menegur jika terdapat apa-apa yang kurang saya senangi berlaku terhadap bangsa sendiri. Masakan tidak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi idola saya. Saya khuatir jika ini dibiarkan berlarutan, kita mungkin akan hilang identiti bangsa kita yang memang terkenal dengan kesungguhan serta kesenian untuk berjaya. Saya berpendapat media masa juga harus memainkan peranan dalam menulis secara lebih terbuka dan tulus bagi menyedari kelompok ini bahawa ada sesetengah hasil rekaan itu mempunyai cacat cela. Dan pereka baru juga sudah tiba masanya untuk menerima kritikan dengan lebih terbuka bagi memperbaiki hasil kerja mereka. Masyarakat kini sudah pandai menilai dan bukan lagi rela untuk disogok dengan rekaan yang berbaur sampah.

Apa harapan dan nasihat kepada pereka fesyen baru?

Walau bagaimana hebatnya teknologi di zaman ini untuk meraih kejayaan, saya masih lagi percaya kepada pengalaman yang ditimba. Bukannya hari ini kita keluar dari institusi, esok kita sudah bergelar pereka. Sebarang kejayaan harus di daki dan segala pengetahuan harus dicari kerana cita-cita harus datang bersama kepayahan dan kesabaran. Mungkin kita sudah cukup senang dengan pujian dari rakan sekeliling tentang kehebatan kita tapi kayu pengukur sesuatu kejayaan itu masih lagi pada diri kita sendiri. Tepuk dada dan tanya sama ada kita sudah cukup berbakti pada ibu bapa yang menghantar kita menimba ilmu atau pun pada negara yang meminjamkan segala kemudahan kepada kita. Juga tanyalah pada diri kita sendiri adakah kita sudah bersedia untuk bergelar seorang pereka?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: