Monday, September 27, 2010

Nilai perabot antik




HANYA jauhari mengenal manikam. Begitu perumpamaan yang sesuai menggambarkan pemilik Kaz Timeless Decor, Azman Anas yang meminati barangan antik sejak dulu lagi.

Bagi sesetengah daripada kita mungkin menganggap barang lama tiada nilai. Namun bagi lelaki ini, barang lama atau lebih biasa disebut antik mempunyai nilai tersendiri.

Apatah lagi andai ia digilap cantik dan disusun kemas, kehadirannya pada sesebuah ruang cukup memberi impak tersendiri.

Demi minat yang mendalam terhadap barangan tersebut, Azman bersama isterinya, Kani ingin berkongsi dengan peminat barangan ini dengan membuka galeri antik di restoran miliknya, Salero Negori yang terletak di Persiaran Gurney.

Malah, empat buah lagi cawangan restorannya yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Subang Jaya, Amcorp Mall dan Kelana Jaya turut dihiasi barangan serta perabot antik sebagai tanda apresiasi beliau terhadap barangan tersebut.

Kata Azman, kesukaran mendapatkan barangan merupakan antara cabaran pengumpul barangan antik. Namun tatkala berjaya mendapatkannya, kepuasan yang tidak terkira sukar untuk diungkapkan.

“Dari segi harga memanglah agak tinggi, namun jika hati sudah berkenan, mana boleh tahan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan barangan antik yang dimilikinya diperolehi dari pelbagai sumber dan hanya sebahagian kecil merupakan warisan keluarga.

“Adalah sedikit set pinggan mangkuk dan teko peninggalan nenek, selebihnya saya perolehi dari pelbagai sumber,” katanya.

Kaz Timeless Decor memiliki pelbagai jenis perabot antik, koleksi grammaphone (pemain piring hitam), alat muzik lama, pinggan mangkuk dan pelbagai lagi barangan lama.

Antara koleksi tersebut tidak dijual kerana menjadi koleksi kesayangan dan sukar dicari ganti. Misalnya sebuah seksofon berwarna putih yang berusi lebih 50 tahun dari England. Bahagian peniupnya diperbuat daripada gading gajah dan ia masih berfungsi hingga kini.

Menurut Azman lagi, ramai peminat barangan antik yang ingin membeli seksofon tersebut malah menawar harga sehingga melebihi RM20,000. Namun beliau tidak sanggup menjualnya kerana kesukaran mendapatkannya.

Satu lagi koleksi menarik, congkak berukir burung kasawari yang diperbuat daripada kayu tembusu dari Terengganu. Ianya berusia 60 tahun dan sangat berat serta utuh.

Begitu juga dengan koleksi pemain piring hitam yang masih berfungsi hingga kini. Lebih menarik lagi, Azman turut memiliki piring hitam lagu Dendang Perantau nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menjadi buruan ramai penggemar barang antik.

Tatkala piring hitam tersebut diputar, kita berasa seakan kembali berada di zaman 60-an apatah lagi dikelilingi perabot lama.

Himpunan pelbagai jenis telefon antik cukup menarik perhatian. Begitu juga dengan kamera lama jenama Walls dan Yashica.

Azman turut memiliki koleksi pinggan mangkuk, bekas dan peralatan dapur tembaga, pasu dari China dan Eropah.

Menariknya memiliki barangan perabot kata Azman, bukan sahaja ia bernilai untuk dijual, kadangkala barangan tersebut disewa bagi tujuan penggambaran filem, majlis tertentu dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: