
KUALA LUMPUR – Kosmo! menjadi akhbar yang paling pantas berkembang di Malaysia apabila berada di kedudukan kedua bagi kategori akhbar berbahasa Melayu yang paling banyak edarannya di negara ini.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin berkata, mengikut angka Audit Bureau of Circulations (ABC) sehingga Disember 2009, edaran Kosmo! di seluruh negara ialah 172,000 naskhah sehari, manakala Kosmo! Ahad pula mencatatkan jumlah edaran sebanyak 175,000 naskhah.

“Kosmo! adalah akhbar yang dianggap sebagai berjaya kerana begitu pantas berkembang meskipun baru berusia enam tahun.
“Dalam tempoh tersebut juga, sudah banyak kejayaan yang diraih oleh para petugasnya melalui pelbagai anugerah seperti dua kali memperoleh Anugerah kewartawanan Kajai,” katanya pada majlis meraikan ulang tahun keenam Kosmo! yang diadakan di pejabat Kosmo! di sini semalam.
Menurut Mohamed Hashim, Kosmo! juga telah mencatatkan keuntungan bersih operasi sebanyak RM7.9 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini antara Januari sehingga Julai lalu.
Katanya, pihak pengurusan berharap agar sasaran purata edaran Kosmo! sebanyak 200,000 naskhah sehari dapat dicapai pada tahun ini.

Kosmo! merupakan sebuah akhbar terbitan Kumpulan Utusan yang mula diterbitkan pada 31 Ogos 2004 dan dilancarkan oleh Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pada awal penerbitannya, ia dijual pada harga RM1.20 sen tetapi kemudian diturunkan kepada 80 sen senaskhah.
Sejak tahun 2007, harganya dinaikkan semula kepada RM1 senaskhah dan kekal hingga sekarang.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dalam ucapannya berkata, akhbar Kosmo! mampu menjadi akhbar masa depan berdasarkan kejayaan berada di tempat kedua ABC dalam masa singkat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang 1, Datuk Zaini Hassan dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin.
Dua bekas editor kanan Kosmo!, Saharudin Mustafa dan Tengku Khalidah Tengku Bidin yang masing-masing kini menjawat jawatan Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia mengacarakan majlis itu.

Majlis itu mendapat tajaan daripada Hotel Legend Kuala Lumpur, TV3, Hotel Pan Pacific KLIA, Resort World Genting, 8TV, Astro, Lancome dan Mid Valley Megamall.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: