Sunday, September 26, 2010

Kahwin ?




STATUS janda beranak satu yang terpikul di bahu bukanlah batu penghalang untuk dirinya daripada didampingi lelaki. Malah, sejak perkongsian hidupnya dengan Rizal Ashram Ramli berakhir dua tahun lepas, Nora Danish tidak pernah menganggap pintu hatinya untuk sang lelaki sudah terkunci.

Punya pakej lengkap dengan paras rupa yang comel dan kulit putih gebu, tidak salah rasanya kalau dikatakan orang secantik Nora bisa sahaja memiliki putera idaman.

Tetapi perlu diingat, itu pun jika hatinya benar-benar mahu dan sudah bersedia.

Kalau disorot kembali, anak kelahiran Kuala Terengganu ini pernah dicuit kontroversi apabila digosipkan dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh.

Reda kisah itu, kini timbul pula cerita yang mengaitkan pelakon utama drama bersiri popular Puteri itu dengan seorang jejaka kacak yang didakwa sebagai cinta baru Nora.

Tidak terhenti di situ, Nora juga dikatakan bakal menamatkan zaman jandanya dengan jejaka yang hanya dikenali sebagai S tersebut yang didakwa sering menemani Nora sehingga ada yang berani mengesahkan bahawa S benar-benar merupakan teman istimewa wanita itu kini.

“Saya hairan bagaimana cerita ini boleh timbul. Bila masa pula saya akan berkahwin? Mengarut! Macam manalah perkara baik itu hendak berlaku jika saya sendiri belum menemui calonnya yang tepat?” jelas Nora dengan riak wajah sedikit terkejut.

“Siapalah yang tidak mahu kahwin, jangan risau, Insya Allah saya akan naik pelamin lagi cuma tahun bila saya tidak tahu, paling penting calonnya masih dalam pencarian,” ujarnya dalam nada gurauan.

Mengiyakan bahawa dirinya kini didampingi S, Nora mengakui hubungannya dengan jejaka yang dikatakan berasal dari negeri Che Siti Wan Kembang itu tidak lebih dari sekadar teman meskipun kerap dilihat keluar bersama.

“Saya kenal S baru dua bulan dan kami berkenalan pun melalui kawan masing-masing. Tapi, saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia adalah penghuni hati saya kini sebab hubungan kami tidak lebih dari itu.

“Mungkin perkara ini timbul gara-gara gambar kami yang disebarkan di Internet. Jujurnya, saya tidak pasti macam mana gambar itu boleh tersebar dan disalahertikan,” katanya.

Jelas Nora lagi, gambar itu diambil daripada telefon Black Berry S dan ia tidak pernah disiarkan dalam laman sosial Facebook masing-masing sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.

Nora juga tidak menolak isu itu mungkin telah dicetuskan oleh segelintir pihak yang kurang senang dengannya.

“Kadang-

kadang timbul juga rasa marah tetapi apakah upaya saya untuk menghalang. Biarlah apa orang mahu kata, yang penting saya tahu saya masih solo dan tentunya tidak akan berkahwin dalam masa terdekat.

Malas untuk memikirkan siapa dalang di sebalik isu ini, ibu kepada Putera Rayqal Rizal Ashram ini memberitahu bahawa fokusnya kini hanya terarah kepada putera tunggalnya yang berusia setahun lapan bulan selain kerjayanya sebagai pelakon, pengacara dan duta produk kosmetik SaSa.

Saat penulis melayangkan pertanyaan mengenai pakej calon suami yang diinginkan, Nora pantas mengukir senyuman sambil memberitahu dia mahukan lelaki berkualiti dan bertanggungjawab sebagai teman hidupnya kelak.

Namun kata Nora, senarai paling utama ialah lelaki berkenaan perlu menyayangi Rayqal sepenuh jiwa raga dan bukan dirinya semata-mata.

Mungkin juga dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Ya, siapa tahu bukan?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: