SELAMA ini, Lady Gaga tidak ambil pusing mengenai aktiviti berbaur politik, namun penyanyi berusia 24 tahun itu tidak kisah untuk tampil di pentas jika dia menyokong satu-satu isu yang hangat diperkatakan.
BERSEMANGAT...Lady Gaga ketika memberi ucapan menyokong pemansuhan undang-undang yang melarang gay dan lesbian menyertai tentera.
PATRIOTIK...Gaga berdiri di hadapan bendera Amerika ketika berucap.
Perhimpunan dianjurkan Anggota Perkhidmatan Rangkaian Pertahanan Awam di Portland, Maine itu bertujuan memberi tekanan kepada senator parti Republican, Olympia Snowe dan Susan Collins supaya mengundi untuk memansuhkan undang-undang berkenaan.
Gaga yang hadir dengan sut hitam lengkap bertali leher, berambut palsu putih dan berkaca mata hitam mengambil tempat di podium untuk menyampaikan ucapan.
Dengan pelbagai ekspresi wajah, Gaga bersemangat memberi ucapan ketika berdiri di hadapan bendera gergasi Amerika Syarikat.
Sambil melaungkan slogan ‘Persamaan hak nadi rakyat Amerika’, penyanyi pop itu menggesa dua senator AS supaya membantu pemansuhan larangan yang tidak membenarkan gay menyertai angkatan tentera.“Nama saya Stefani Joanne Angelina Germanotta dan saya warga Amerika,” ujar Gaga memulakan ucapannya. “Saya menggesa senator Collins dan Snowe supaya membenarkan hak sama rata diberikan kepada golongan gay dan lesbian dengan mengizinkan mereka menyertai angkatan tentera.”
“Bukankah setiap orang berhak untuk memakai uniform askar?,” tanya Gaga.
Dalam rakaman klip video selama tujuh setengah minit itu, Gaga meminta enam juta pengikutnya di Twitter supaya menghubungi senator di daerah masing-masing dan menggesa Dewan Senat AS memansuhkan undang-undang larangan yang digubal pada 1993 itu.
Gaga juga menyatakan penghargaannya kepada Pemimpin Dewan Senat AS, Harry Reid (Nevada) yang mengundang Gaga menziarahinya di Las Vegas bagi membincangkan isu itu.
“Sejak undang-undang 1993 itu digubal, 14,000 warga Amerika digugurkan daripada perkhidmatan dalam angkatan tentera walaupun mereka sudah menabur bakti kepada negara. Saya sudah menghubungi kedua-dua senator di daerah saya dan tidak akan berhenti selagi mereka tidak memberi maklum balas,” ucap Gaga.
“Saya berdiri di sini sebagai mewakili golongan belia daripada generasi saya. Kami tidak meminta anda bersetuju dengan implikasi moral seorang homoseksual tetapi meminta anda lakukan tugas anda untuk mempertahankan perlembagaan negara ini,” ucap Gaga.
“Undang-undang digubal secara tidak adil dan golongan gay yang menjadi mangsa. Bukan undang-undang saja tidak adil tetapi tidak dikuat kuasakan dengan saksama oleh kerajaan,” tambah Gaga lagi.
free mason..
ReplyDelete