Wednesday, September 1, 2010

Dua lelaki ditahan bantu siasatan


SEORANG pelayar Internet melihat laman sosial Facebook mengandungi komen-komen terhadap pemiliknya yang menyamar sebagai TMJ baru-baru ini.


JOHOR BAHRU – Teka-teki siapa dalang yang menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim di laman sosial Facebook baru-baru ini semakin terungkai apabila polis menahan dua lelaki di sebuah rumah di Taman Sri Amar, Majidee di sini bagi membantu siasatan semalam.

Bagaimanapun, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff enggan mengesahkan salah seorang daripada dua lelaki terbabit ialah Miky, yang sebelum ini dipercayai dalang utama di sebalik penyamaran TMJ di laman sosial itu.

Berdasarkan komen-komen orang ramai yang menentang tindakan suspek sebelum ini, rata-rata daripada mereka mendakwa Miky adalah seorang pondan. Mohd. Mokhtar bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen mengenai dakwaan itu.

Menurut beliau, kedua-dua lelaki berusia 31 dan 33 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di sebuah rumah di taman tersebut pukul 1.30 pagi.

“Satu pasukan khas yang melakukan siasatan secara menyeluruh berjaya menjejaki kedua-dua lelaki terbabit sebelum menahan mereka sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: