LONDON - Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair menyatakan bahawa beliau tidak menyesal menyertai operasi ketenteraan ke atas Iraq yang diketuai oleh tentera Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2003.
Walaupun sedih ekoran kematian sejumlah askar Britain dan orang awam Iraq, Blair tetap menyatakan keputusan untuk menceroboh serta menggulingkan Saddam Hussien yang menjadi Presiden Iraq ketika itu adalah satu tindakan yang dianggap betul.
Blair membuat keputusan kontroversi apabila bersetuju menyertai AS untuk menyerang Iraq atas alasan Saddam menyembunyikan senjata pemusnah besar-besaran.
Namun, setakat ini, senjata pemusnah besar-besaran itu tidak pernah ditemui.
"Saya simpati dengan mereka yang terbunuh. Walau sebanyak mana pun air mata yang tumpah, ia tidak mampu untuk menyembunyikan kesedihan," kata Blair dalam buku memoirnya, A Journey.
Buku itu yang mula dijual semalam turut mendedahkan mengenai tabiatnya meminum alkohol, hubungannya dengan Ratu Elizabeth II dan penggantinya, Gordon Brown.
"Berasaskan apa yang kita tahu sekarang, saya masih percaya bahawa membiarkan Saddam berkuasa adalah risiko yang lebih besar terhadap keselamatan Britain," tambah Blair.
Blair juga mendedahkan bahawa pesaing, rakan sekerja dan penggantinya, Brown merupakan seorang yang sukar, gila-gila dan tiada kebijaksanaan emosi tetapi bijak serta mampu mentadbir negara.
Beliau menyifatkan bekas Presiden AS, George W. Bush sebagai seorang bijak, idealis sebenar dan sangat berintegriti.
Buku A Journey berjanji memberikan pembacanya pandangan di sebalik tabir terhadap peristiwa-peristiwa penting termasuklah kematian Puteri Diana, serangan 11 September 2001 di AS dan pencerobohan Iraq.
Blair turut memperincikan hubungannya dengan Ratu Elizabeth II selepas kematian Puteri Diana semasa sokongan kepada monarki Britain merosot.
Berusia 57 tahun, Blair meletak jawatan pada Jun 2007 selepas sedekad mentadbir Britain.
Penggantinya, Brown dan Parti Buruh kalah dalam pilihan raya pada Mei lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: