
SEDEKAD yang lalu, suram adalah perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi gelap dan genting industri batik negara.
Dengan persepsi batik adalah fabrik untuk busana orang tua, selain persaingan dengan fabrik import seperti sutera Korea dan Thailand, industri batik hampir mati.
Pahit, memang pahit tetapi itulah hakikatnya apabila satu demi satu pembuat dan pelukis batik terpaksa melupakan proses mencantingkan lilin di atas kain putih.
Kemudian mujur bekas Wanita Pertama negara, Allahyarham Tun Endon Mahmood lekas menghidu kemelut itu lantas menggerakkan usaha mengangkat kembali batik ke pentas dunia menerusi Piala Seri Endon dan kempen Batik Ekstravaganza.
Sejak itulah, industri batik kembali menghijau dengan banyak nama syarikat, pelukis dan pereka fesyen baru terbit dalam industri tersebut.
Butik Karyaneka adalah antara butik yang sehingga kini tidak pernah jemu untuk menerusikan legasi yang ditinggalkan Allahyarham.
Di Butik Karyaneka, anda akan teruja apabila melihat keseluruhan barangan yang dijual diperbuat daripada fabrik batik. Pandangan pertama anda akan menuju ke arah gantungan helaian batik yang mendapat sentuhan corak cukup halus dan kreatif.
Sinonim dengan ketulenan corak batik, ia dihasilkan menggunakan teknik canting iaitu sejenis alat melukis batik tradisional.
Warna yang dipilih pula lebih kepada rona terang seperti merah, jingga, biru, hijau dan kuning. Seterusnya suntikan elemen moden seperti corak jarum emas, embun, renjis, retak dengan gabungan warna-warna pastel telah menembusi pasaran golongan moden.
Dari segi fesyen pula, batik boleh dijadikan pelbagai potongan busana yang menarik terutamanya kaftan. Jika diingat kembali kaftan batik sebenarnya bermula sebagai pakaian tidur sahaja.

Disebabkan arus fesyen berubah dengan pantas dan tenaga pereka yang sentiasa mencari idea menarik, salah satu fesyen yang melalui revolusi mendadak ialah kaftan.
Busana tersebut diterjemahkan menjadi sepasang kaftan mewah dan elegan dengan menggunakan fabrik sifon batik.
Selain itu, anda yang menggemari fesyen kebaya juga boleh mencuba kelainan. Biasanya untuk mendapat gaya lebih anggun, fabrik batik dijadikan selendang dan kain untuk busana kebaya pendek.
Baju pula cukup sekadar menggunakan fabrik kosong yang telah disulam tebal atau tampalan manik mengikut kesesuaian fesyen yang anda mahukan.
Begitulah kehebatan signifikan batik yang masih berjaya menambat hati penggemarnya. Lukisan corak kontemporari menjadi pilihan utama wanita masa kini yang mementingkan gaya eksklusif.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: