Monday, September 27, 2010

Signatur kucing Jane




TIDAK jemu memandang raut wajah dan sosok tubuhnya yang kecil molek, hakikatnya insan bernama Jane Yap mempunyai jiwa dan prinsip yang besar. Mahu memastikan hidupnya sentiasa indah bak sekuntum bunga mekar, Jane tidak pernah berhenti untuk mempelbagaikan bakat dan kebolehannya.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga kecil dengan bilangan adik-beradik cuma dua orang, Jane tidak pernah sesekali dipaksa untuk memilih kerjaya masa depannya.

Sebaliknya kebebasan untuk menentukan hala tuju kerjaya bergantung sepenuhnya kepada minat beliau sendiri.

Bagaimanapun, dibesarkan dalam sebuah keluarga yang kaya dengan bakat seni lukis terutama bapanya, Yap Hong Ngee, 67, pepatah Ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi, mungkin sesuai menggambarkan kecenderungan minat Jane.

Kecenderungan melihat peralatan lukisan yang ‘berselerak’ di rumah membuatkan wanita berusia 35 tahun itu memberanikan diri mencuba pelbagai jenis lukisan dengan mendapat tunjuk ajar bapanya sendiri.


LUKISAN kreatif Jane dizahirkan di atas beg yang menyerlahkan nilai eksklusif.


“Ayah saya banyak membantu mengajar pelbagai teknik lukisan supaya saya dapat menghasilkan lukisan yang bagus dan cantik. Bagi saya lukisan tidak boleh dipisahkan dalam hidup ini.

“Apa yang saya pandang dan ada di sekeliling akan diluahkan dengan menerbitkan satu lukisan indah,” katanya sambil tersenyum manis.

Disebabkan sudah sebati dengan dunia lukisan, Jane tidak pernah menceburi bidang profesional yang lain. Setelah menamatkan pengajian selama dua tahun dalam jurusan seni halus di Takasaki Art Centre College, Jepun dan Kalakshetra Art & Craft Centre, India, maka bermula episod kerjaya wanita itu.

Serius menggalas tugas sebagai pendidik seni lukis, Jane turut menjadikan hobi dan bakatnya sejak kecil itu sebagai punca pendapatan yang tetap.

Walaupun sukar untuk meramal jumlah pendapatan bulanan yang diterimanya, wanita yang mempunyai perwatakan ringkas itu tidak sesekali patah semangat meneruskan perjuangan seni lukis.


TAS tangan dengan lukisan kucing feminin ini anggun dijinjing wanita yang dambakan kelainan dalam berfesyen.


Ini kerana Jane mengakui seorang pelukis perlu berusaha memperluaskan minda menghasilkan lakaran lukisan menawan untuk menambat hati orang ramai.

“Hendak beli lukisan bukannya seperti mahu membeli baju dan sebagainya. Sebuah lukisan dilihat dari sudut yang berbeza-beza,” jelasnya sambil menunjukkan beberapa lukisan yang tergantung rapi di dinding kediamannya.

Lukisan di atas beg tangan

Tidak terlalu mengongkong kebolehannya sebagai pelukis, Jane kemudian berjaya menemui cabang baru untuk mencipta label sendiri dalam dunia fesyen.

Wanita itu memilih untuk menghasilkan beg tangan dengan lakaran-lakaran lukisannya yang ringkas dan comel.

Pada awalnya, rakan-rakan Jane terkejut apabila dia menyatakan hasrat untuk mengembangkan kebolehan ke arah pereka tas tangan.

Ini kerana Jane sebelum ini begitu aktif menghasilkan lukisan, malah gigih bergerak sendiri mengadakan pameran solo.

“Walaupun saya juga terfikir impian itu amat memerlukan fokus yang tajam, tetapi terdetik di hati saya bahawa tidak ada salah sekiranya mencuba sesuatu yang baru,” terangnya jujur.


JANE khusyuk meluahkan idea lukisannya di atas sebuah beg.


Sambil membelek koleksi buku lakaran lukisan tangannya, Jane memberitahu, idea untuk menghasilkan beg tangan mula lahir apabila dia ingin sekali melihat lebih ramai orang memiliki dan membawa ke mana sahaja karyanya itu.

“Kebanyakan lukisan boleh dilihat di galeri, rumah atau muzium sahaja. Sebagai salah seorang peminat beg tangan dan mempunyai signatur lukisan berunsur kucing, apa salahnya jika ia dilaksanakan di atas beg tangan,” ujarnya mengimbau detik awal idea itu tercetus.

Mula memasarkan koleksi beg tangan New Plain Jane sejak 21 November 2009, di pusat beli-belah Isetan, KLCC, Jane menerima respons dan reaksi mengagumkan daripada para peminatnya.


TIDAK mengongkong kebolehannya melukis, Jane mengembangkan kemahiran itu dalam dunia fesyen.


Meskipun masih baru, Jane tidak sesekali meletakkan koleksi beg tangan tersebut mengikut musim tertentu. Sebaliknya dia lebih suka mengetengahkan seberapa banyak mungkin lukisan untuk dijadikan beg tangan.

Kesemua koleksi New Plain Jane mempunyai identiti tersendiri iaitu kucing. Setiap lukisan tersebut memaparkan riak wajah kucing yang berbeza-beza.

“Suka duka kehidupan akan terpancar di raut wajah kucing. Bila anda teliti, gambaran lukisan itu pastinya terdapat seekor kucing tidak kira di mana sahaj,” terangnya yang mengakui lukisan di atas kanvas dan beg memerlukan kreativiti berlainan.

Beg tangan koleksi New Plain Jane boleh didapati mengikut saiz tertentu seperti beg silang dan tas tangan dengan gaya lebih feminin.

“Setiap beg mempunyai elemen kulit dan warna yang pelbagai. Beg silang yang bersaiz besar sesuai untuk pencinta gajet kerana ia boleh memuatkan komputer riba,” jelasnya yang meletakkan harga serendah RM288 hingga RM568 untuk koleksi eksklusif itu.

Lebih membanggakan Jane turut mendapat pengiktirafan daripada jenama kosmetik Shu Uemura, apabila karyanya itu dipilih menghiasi beg eco dan beg kosmetik jenama tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: