
Hal ini berlaku setelah Almy gagal hadir ke majlis pra tonton filem terbaru arahan Razak, 4 Madu, meskipun sudah dua bulan awal dimaklumkan oleh pihak pengurusan Line Clear Motion Pictures.
Kecewa dengan tindakan Almy, Razak menyifatkannya sebagai artis yang tidak berdisiplin dan profesional. Malah juga seperti ‘kacang lupakan kulit’ kerana beliaulah yang mula memperkenalkan Almy dalam industri.
Ketika dihubungi, Almy pada mulanya enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu memperbesarkan hal itu. Dia yang masih terkejut dengan tindakan Razak itu bagaimanapun cuba menjelaskan situasi sebenar.
“Saya sedikit pun tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak. Saya memang tidak dapat hadir ke majlis tersebut kerana pada hari tersebut saya ada penggambaran di Melaka.
“Bukan majlis itu sahaja yang tidak dapat hadir, malah jemputan ke majlis-majlis berbuka puasa pun saya tidak dapat penuhi kerana terikat dengan penggambaran ini,” katanya dengan nada yang terkilan.
Pelakon Nana Tanjung ini juga nampaknya lebih selesa mengunci mulutnya, walaupun diasak dengan pertanyaan tentang perselisihan yang pernah berlaku bersama pengarah itu.
“Hal dahulu tidak perlu dibesar-besarkan kerana apa yang telah berlalu biarlah berlalu,” tegasnya.
Apabila menyentuh mengenai reputasinya kelak, dengan tenang Almy menjawab dia tidak takut reputasinya terjejas kerana sesiapa yang mengenali dirinya dan pernah bekerjasama dengannya pasti tahu cara dia bekerja.
“Kalau saya lambat pun saya akan pastikan sudah bersiap di rumah malah tidak akan menyusahkan orang lain,” katanya.
Meskipun dilanda kontroversi, buah hati kepada aktor Fizz Fairuz ini tetap teruja menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Almy berkata, persiapan raya sudah pun dibuat secara sederhana. Katanya, sebagai kakak sulung kepada empat beradik, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menyediakan persiapan raya untuk adik-adiknya.
“Setiap tahun, saya mesti beli baju raya untuk adik-adik. Begitu juga dengan kedua orang tua saya.
“Saya pula, semuanya sederhana. Cukuplah apa yang ada. Yang penting persiapan keluarga,” katanya yang akan pulang beraya lebih awal ke kampung halamannya di Pulau Pinang.
Seperti tahun-tahun sudah, Almy juga bercadang untuk beraya ke rumah kekasihnya, Fizz Fairuz, di Bentong, Pahang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: