Friday, August 20, 2010

Wanita larikan kereta dipenjara


NOOR FADHILAH (kiri) dijatuhi hukuman penjara 36 bulan kerana melarikan dua buah kereta di Mahkamah Majistret di Melaka semalam.


MELAKA - Seorang wanita yang pernah mencetuskan kacau-bilau kerana melarikan kenderaan milik pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Mei dan Julai lalu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Tertuduh Noor Fadhilah Mohd. Derus, 26, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muzila Mohamed Arsad.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu ditangkap khalwat didakwa mencuri sebuah Toyota Avanza dengan nombor pendaftaran MBR 5140 di Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Palah di sini pukul 5 pagi pada 14 Mei lalu.

Tertuduh turut didakwa dengan sengaja mengadakan tentangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana melarikan diri dari tahanan.

Bagi pertuduhan ketiga Noor Fadhilah mencuri sebuah kereta Proton Waja, nombor pendaftaran WRL 5672 milik Ketua Pegawai Keselamatan JPM di Jalan Jasa Merdeka, Batu Berendam di sini pukul 9 malam pada 5 Julai lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: