AMPANG: Sindiket curi motosikal yang digelar geng Wan Tonggek yang bermaharajalela menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu ditumpaskan dalam serbuan di Kampung Ampang Indah, Sabtu dan Ahad lalu.
BUKTI...Abdul Jalil (kiri) menunjukkan motosikal curi yang dirampas daripada geng Wan Tonggek.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata hasil maklumat awam, polis menahan dua lelaki tempatan yang menunggang motosikal curi kira-kira jam 4 petang, Sabtu lalu dan susulan itu, pihaknya menahan sembilan saki-baki anggota kumpulan itu termasuk sepasang suami isteri dan seorang warga asing di Ampang, keesokan harinya.
“Penahanan 10 lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 24 tahun itu membawa penemuan 10 motosikal pelbagai jenis, tiga rangka dan beberapa komponen yang dileraikan.
“Siasatan mendapati kumpulan terbabit bergiat aktif dalam kegiatan curi motosikal sejak awal tahun lalu dan dua daripada anggota kumpulan itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya ketika sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, dengan tertumpasnya sindiket terbabit polis menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes curi motosikal di Ampang sejak awal tahun lalu.
“Tiga ahli kumpulan itu mempunyai peranan masing-masing sebagai tukang curi dan jual, manakala anggota lain meleraikan motosikal itu sebelum dijual pada harga murah.
“Semua mereka yang ditahan bekerja sebagai mekanik, posmen dan selebihnya penganggur. Suspek direman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Jalil berkata, tiga lelaki termasuk seorang ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang ditahan kerana terbabit pergaduhan ‘ala kongsi gelap’ di Kampung Kuala Ampang, Isnin lalu, dibebaskan dengan jaminan polis, petang semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: