Thursday, August 19, 2010

Yasmin nekad pertahan hak

JIKA pada awal kemunculan Yasmin Hani Ismail Richardson lebih cenderung menjadi pengacara kini, jelitawan itu ligat pula berlakon. Bukan saja mendapat tawaran untuk drama tetapi juga membintangi filem.

YASMIN...jadi pengacara dan pelakon.
YASMIN...jadi pengacara dan pelakon.
JELITA...Yasmin selesa bernaung di bawah pengurusan Aquila Emas.
JELITA...Yasmin selesa bernaung di bawah pengurusan Aquila Emas.
Itulah yang dikatakan rezeki. Tambahan pula dia kini bernaung di bawah syarikat pengurusan artis, Aquila Emas Sdn Bhd yang mengendalikan segala jadual seninya.
Malah Yasmin juga dibantu mendapatkan keadilan untuk menuntut baki bayaran lakonan yang tidak diterima.

Pada 18 Mac lalu, anak jati Kuala Lumpur ini memfailkan saman terhadap syarikat penerbitan filem, Second Life Picture Sdn Bhd di Pejabat Pendaftar Mahkamah Majistret kerana gagal membayar baki wang lakonan berjumlah RM12,000 seperti yang dijanjikan.

Selepas dua tahun menunggu bayaran yang tak kunjung tiba itu, Yasmin nekad menuntut keadilan haknya. Justeru, ketika ditanya mengenai perkembangan kes itu, dia sekadar memaklumkan biarlah semuanya ditentukan mahkamah.

“Saya sudah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mempertahankan hak diri dan selebihnya biar undang-undang yang tentukan. Saya bersyukur dan berpuas hati kerana tidak berhadapan dengan masalah ini seorang diri.

“Mujur ada syarikat pengurusan yang membantu saya mengendalikannya. Kalau ikutkan saya sendiri, tidak tahulah hendak buat macam mana. Apa yang berlaku mematangkan saya dan membuatkan saya lebih berhati-hati.“Oleh itu, sekarang ini sebelum menerima sesuatu tawaran berlakon, saya teliti membaca kontrak dan berbincang dengan syarikat pengurusan. Ini kerana, saya tak mahu pisang berbuah dua kali.


“Apapun, dugaan itu tidak mematahkan sema­ngat saya untuk terus maju sebagai insan seni. Apatah lagi, takut untuk menerima tawaran berlakon. Bagi saya, perkara itu baru kali pertama dilalui dalam hidup dan ia juga membawa
pengajaran,” katanya.Yasmin akui dia sangat berharap pengajaran sama turut dirasakan pihak produksi terbabit.

Berbicara mengenai Ramadan, Yasmin setiap tahun akan menjual kuih raya. Jadi, adakah tahun ini dia mendapat banyak tempahan. Hanya tersenyum, Yasmin Hani berkata Ramadan kali ini, dia tidak berniaga pun.

“Saya tak boleh berniaga kuih tart nanas tahun ini kerana ibu saya patah tangan. Insiden itu berlaku beberapa minggu lalu di kawasan rehat dan rawat (R&R) ketika kami sekeluarga dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur dari bercuti di Port Dickson.

“Nampaknya, Aidilfitri ini saya sekeluarga mesti rindukan tart nanas ibu. Selama ini pun, setiap kali lebaran menjelma, tart nanas ibu adalah juadah istimewa kami. Ia memang sedap dan tiada tandingan,” katanya.

Berbual lanjut soal kariernya, tidak dinafikan kebanyakan program televisyen dihoskan Yasmin Hani adalah terbitan Astro. Justeru, apakah dia turut tersenarai dalam pilihan artis ‘wajah ekslusif Astro’ seperti Erra Fazira, Aznil Nawawi dan Anita Sarawak?

Jawab wanita kacukan Melayu - Inggeris ini semua itu hanya dua tahun saja kerana selepas itu kontraknya tidak disambung lagi.

“Setakat ini, saya seronok dengan bidang pengacaraan dan lakonan yang diceburi. Justeru, saya sentiasa bertekad mahu membuat yang terbaik demi penonton. Malah, saya amat berterima kasih dengan sokongan diberikan kerana itulah pembakar semangat.

“Selain itu, pihak pengurusan yang banyak membantu saya menyusun jadual dan menyelesaikan masalah dihadapi. Justeru, saya yakin artis memang perlukan syarikat pengurusan,” katanya.

PROFIL
NAMA: Yasmin Hani Ismail Richardson
PANGGILAN KOMERSIAL: Yasmin Hani
TARIKH LAHIR: 11 Jun 1979
USIA: 31 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
STATUS: Bujang
KARIER: Pengacara dan pelakon
PROGRAM TV: Dua Dunia, Disney Clubs, Muzik@Ria, Ria Sentral, Keynote
DRAMA: Antaranya Dilema, Astana Idaman, Chili Jus Pedas, Skuad Elit, 3+1, Campus Rock, Neon, Cinta Tak Bertepi, Ampang Medikal dan Ibu Mi Segera.
FILEM: Bilut (2005), Cicak-Man (2006), Duyung (2007), Gentayangan, Dua Hati Satu Jiwa (2008) dan Suaka (2009).
Mengenai nyanyian, Yasmin tanpa berselindung berkata, bidang nyanyian tidak sesuai dengan dirinya. Lebih baik dia menjadi pengacara dan berlakon dengan sepenuh hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: