
ADA apa dan kenapa dengan Raja Azmi? Itu dua persoalan utama yang memecah masuk ke akal apabila nama penerbit filem wanita berusia 51 tahun itu menggelegak ke suhu tertinggi.
Tidak sudah-sudah dengan kepanasan yang diciptanya menerusi filem ...Dalam Botol terbitannya, dia dikaitkan pula sebagai orang ketiga dalam perceraian pertama dan kedua jaguh badminton, Roslin Hashim, 35, yang masih berkemelut.
Meletupkan lahar seorang Raja Azmi, petang Khamis lalu, dia terseret dan merengkok semalaman di lokap polis atas satu waran tangkap kerana tidak hadir ke satu prosiding kes sivil pada 21 Julai lalu.
Dia yang juga isteri kepada bekas pemain badminton negara, Jalani Sidek, 47, itu kemudian ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000, keesokan harinya (Jumaat).
Memperkatakan episod hitam Raja Azmi Raja Sulaiman, semuanya seperti berlaku dalam sekelip mata.
Bayangkan, ketika dia berusaha mahu membersihkan namanya dengan membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya, sejurus kemudian dia ditahan dan dihantar ke lokap tahanan wanita di Balai Polis Pandan Indah.
Dia menjadi tidak ubah seperti sang pesalah yang menanti untuk dihukum.
Raja Azmi seperti burung terbang menyerah diri ke perangkap yang dipasang sang pemburu. Apa yang boleh dikatakan, kes penangkapan polis ke atasnya adalah angkara kealpaan sendiri.
![]() |
| ROSLIN HASHIM |
Walaupun tidak hadir ke mahkamah seperti yang didakwa dan waran tangkap juga telah dikeluarkan, dia masih boleh mengelak perkara itu jika ada peguam yang mengendalikan kesnya.
Sebelum ditahan pada sebelah petang, dua kali rumahnya dikunjungi pihak polis pada waktu sekitar tengah hari bagi memaklumkan waran tangkap berkenaan.
Malangnya, perkara itu tidak diendahkan. Saya percaya dia masih ada waktu mengelak daripada bermalam di lokap sekiranya menjejakkan kaki ke balai polis sebelum pukul 4 petang.
Sebagai informasi, pada 12 Julai lalu, penerbit filem Black Widow Wajah Ayu itu dikenakan tindakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana gagal hadir perbicaraan kes sivil pelanggaran pembelian saham bernilai RM4.9 juta yang membabitkan sebidang tanah seluas 14 hektar (35 ekar) di Balakong, Selangor pada tahun 1995.
Dalam laporan polis yang dibuatnya sebelum ditahan, Raja Azmi mendakwa diugut dan difitnah bekas isteri Roslin, Nurhayati Othman yang membuat dakwaan khalwat ke atasnya kerana berdua-duaan dengan Roslin di Hotel Corus, Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu, sehingga menyebabkan perceraian pasangan berkenaan.
Ini bukan kali pertama bekas pramugari MAS itu dituduh sebagai orang ketiga dalam perceraian Roslin. Perceraian Roslin dengan isteri pertamanya, Faizah Mohamad yang hanya bertahan selama 12 hari pada awal tahun lepas juga dikatakan berpunca daripada Raja Azmi.
Kes itu masih belum membersihkan nama Raja Azmi.
Perceraian terbaru Roslin bersama Nurhayati pula berlaku selepas 28 hari mereka bergelar suami isteri sebenarnya lebih kronik.

Kali ini, Raja Azmi seolah-olah terang-terangan dilihat sebagai wanita yang dambakan cinta lelaki muda sedangkan masih punya Jalani yang sudah 26 tahun hidup berkelamin dengannya.
Dari sisi peribadi, Raja Azmi yang sebelum ini ditohmah dengan banyak cerita kurang enak sedang berdepan hukuman moral.
Ke tahap mana hubungan istimewanya dengan Roslin yang didakwa sebagai adik angkatnya itu masih menjadi tanda tanya.
Seteguh mana pula cinta Jalani terhadap Azmi, wanita yang selama ini dilihat mempunyai satu 'kegilaan' yang sukar difahami ramai itu. Semua itu menunggu masa untuk meleraikan persoalan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: