Sunday, August 22, 2010

Ramadan bersama Abu Yah




PORTFOLIO wanita manis bernama Jue Aziz berbekam banyak kisah kontroversi. Dilemparkan dengan pelbagai pandangan tidak enak, playgirls mahupun perempuan nakal, realitinya, sampai ke hari ini, dia masih gagah membawa sekeping tubuh yang penuh tekad.

Umpatan orang ditelan menjadi ubat dan sampai ke satu tahap, dia kalis dan mengambil jalan untuk menyendiri, sedikit jauh daripada publisiti. Tidak lagi menghambat sensasi atau cerita diri sebagai promosi.

Jue sedikit cuak saat diajak bertamu ke Sensasi Bintang, barangkali bimbang, ada cerita kelam yang mahu dikembalikan, seperti ada kegusaran sedang bersarang di jiwa.

"Benar, sama ada ada yang perasan atau tidak, sebenarnya agak lama juga saya menghilang. Bukan membawa diri daripada industri, cuma jarang tampil untuk publisiti sekerap dahulu.

"Saya penuhkan diri dengan jadual penggambaran dan kalau ada ruang, saya akan pergi bercuti. Bagusnya, saya tidak dengar lagi kontroversi yang tidak baik tentang saya," basah kedengaran suara yang terpacul daripada bibir wanita kelahiran Ampang, Selangor ini.

Terkait kisah cinta lamanya, penama Zuliana Abd Aziz, 27, itu semakin sedar dengan bakat dan nilai seni yang ada padanya.

"Sebenarnya, saya sedikit terkejut. Dulu orang kata saya menumpang populariti orang lain untuk berada di sini.

"Fikir-fikir semula, rupa-rupanya sudah tiga tahun saya berpisah dengan dia (Jehan Miskin). Sebenarnya saya boleh berdiri sendiri dengan hanya berbekalkan bakat serta komitmen yang tinggi.

Lewat hipnosis yang dibentuk sendiri, Jue mencari satu keseimbangan, kata putus dicapai dan ia berbunyi, 'publisiti biarlah bertempat'. Biarpun sunyi seketika tidak bermakna hari mukanya kosong tanpa tawaran.

"Betul, saya sibuk dengan kerja, saya sangat sibuk," ulang pelakon putih gebu yang akan muncul dalam siri Lagenda Budak Setan itu berkali-kali.

Menerpa hatinya dengan label 'si seksi' yang diraih sejak awal berpijak ke daerah lakonan, keningnya berkerut melimpahkan rasa. Dan Jue sebagai pemilik tubuh, dia sebenarnya sudah 'terlebih masak' dengan jolokan 'mahal' itu.

Kikis imej seksi


JUE AZIZ mahu selangkah mengembangkan lagi bakat lakonannya. Biarpun sedikit lambat berbanding pelakon wanita lain, Jue yakin buah tangan terbarunya, Abu Yah akan memperkenalkan dirinya ke layar lebar.


"Saya harus akui dengan pendapat ramai. Terima kasih jika itu perkara pertama yang khalayak terfikir bila nama saya disebut.

"Tapi kalau boleh, saya semakin mengelak untuk berpenampilan seksi. Jika ada yang masih beranggapan yang sama, saya kena akur dengan hakikat.

"Saya teringatkan satu pendapat, ada yang kata, seorang perempuan itu tetap kelihatan seksi walaupun berbaju kurung.

"Memanglah letih apabila asyik itu sahaja pandangan orang terhadap saya, tapi saya tak boleh mengelak," lirihnya spontan berselang tawa.

Bagi saya, selain rambut mengurai panjang yang menjadi mahkotanya, satu lagi aset seksi milik Jue terletak pada tona suaranya yang serak-serak basah.

Pastinya mudah hati rapuh sang lelaki mencair saat berbalas tutur dengannya. Ditokok lagi dengan lentok manjanya, itu anugerah milik Jue Aziz.

"Saya hanya boleh berhati-hati bahkan dalam lakonan juga saya jarang mengenakan pakaian yang seksi atau menjolok mata.

"Cuma untuk watak Karina menerusi Janji Kekasih, ada juga saya diminta untuk memakai singlet, bukan untuk menonjolkan aset yang saya ada tetapi untuk memenuhi karakter Karina sebagai gadis liar.

"Saya harap ia boleh diterima dan saya terharu dengan penerimaan peminat yang boleh membezakan antara lakonan dan realiti," getusnya yang kini sibuk di lokasi penggambaran filem berkenaan di utara tanah air.

Memulakan penggambaran sejak 13 Ogos baru-baru ini, Abu Yah bakal melakar sejarah peribadi buat anak bongsu daripada lima orang adik beradik itu.

Abu Yah, sebuah filem yang berkisarkan kehidupan ketua penganut ajaran sesat menjadi pintu pertama yang membuka laluan kepada Jue Aziz untuk bergelar aktres filem.

Aksi berani Jue


SEKSI dan nakal. Itu dua perkara yang meletakkan Jue sebagai artis panas.Hari demi hari, pelakon wanita ini mahu mengikis imej itu demi kepentingan karier. Dia mahu dilihat sebagai pelakon, bukan penghias.


Bertahun-tahun mengasah bakat sebagai dramatis, menjelang tarikh tayangan yang dijangka sekitar Mac 2011, Jue melangkah setapak lagi mengembangkan sayap seni miliknya.

Bicara tentang filem Abu Yah yang mempersembahkan aktor berkaliber, Faizal Hussien sebagai peneraju watak utama itu, Jue meluahkan kegusaran yang tidak mampu dibendung lagi.

Dalam keterujaan menyempurnakan lakonan pertama ke layar lebar, perasaan Jue berbelah dua. Dia bimbang, risiko besar akan dihadapi dan sekali lagi, hari mukanya bakal berdepan dengan kontroversi.

"Dalam filem itu, saya diminta untuk menyampaikan aksi dan emosi yang agak 'berani'. Saya harus melakonkan watak sebagai salah seorang isteri kepada Abu Yah dan saya isteri yang paling muda.

"Sebagai isteri kepada lelaki bernama Abu Yah, saya kena memberikan banyak ekspresi. Yang paling saya takut apabila ia menyentuh tentang hal-hal berhubung pergaulan zahir antara suami dan isteri.

"Saya menjadi seorang perempuan dan isteri yang pandai menggoda. Saya pasti, ada risiko sedang menanti," katanya yang menerima watak berkenaan sebagai satu tanggungjawab yang sangat besar.

Merelakan diri dengan risiko dan tekanan yang sudah nampak di depan mata, Jue ada alasan peribadi, untuk apa filem bergenre drama dan kemasyarakatan itu disahut olehnya.

"Saya akur, hiburan juga memerlukan satu bentuk pengajaran dan perkara itu ada dalam filem berkenaan.

"Saya lakukannya bukan kerana suka-suka, tapi itulah komitmen saya, demi pengajaran yang mahu dikongsikan dengan masyarakat.

Lerai Jue, dia percaya ada ruang untuknya sedang menanti pada kemudian hari. Katakanlah apa sahaja, sebagai anak seni, dia sedia berjuang dalam nada dan jalan sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: