Wednesday, August 4, 2010

Tiga Tunjang Utama SPRM

WANITA hari ini merupakan sumber tenaga manusia yang penting dan berupaya menjana pembangunan negara. Golongan ini memainkan peranan dan tanggungjawab besar yang semakin mencabar saban hari.

Di Malaysia sahaja, separuh daripada penduduk negara ini adalah wanita iaitu kira-kira 12.8 juta dan daripada jumlah itu, empat juta daripada mereka berada dalam kumpulan bekerja.

Perkara 8(2) Perlembangaan Persekutuan yang dengan jelas tidak membenarkan diskriminasi berasaskan gender jelas menunjukkan keperluan pembangunan yang saksama di negara ini.

Jadi tidak hairanlah jika golongan ini setanding dengan kaum lelaki dalam menyumbang kepada negara.

Contoh terbaik ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan.Gender bukan alasan

Kejayaannya menjadi wanita pertama memegang jawatan kedua tertinggi dalam suruhanjaya itu hasil daripada usaha keras dan azam mahu berjaya dalam hidup.

Ketika wawancara eksklusif bersama Mingguan mStar baru-baru ini beliau menegaskan bahawa kejayaan tidak akan datang dengan sekelip mata tanpa usaha dan kerja keras.

Baginya dilahirkan sebagai wanita bukan alasan untuk berpeluk tubuh dan berserah kepada takdir.

“Gender bukan faktor penentu untuk kita berjaya dalam hidup. Tambahan pula dalam dunia yang serba mencabar hari ini, persaingan adalah terbuka sama ada kita wanita atau pun lelaki.

“Jangan nilai kaum wanita melalui jantinanya tetapi nilaikan mereka sebagai individu,” katanya.

Bermula sebagai pegawai penyiasat di SPRM, beliau berkata, kedudukannya hari ini adalah kerana kesungguhan dan sifat kepimpinan yang tinggi dalam menjalankan tugas.

Jatuh cinta pada kerjaya

Wanita cekal berusia 54 tahun itu berkata, cabaran bertugas di SPRM telah mengajarnya untuk menjadi lebih tegas, lasak dan teliti dalam menjalankan amanah yang diberikan.

“Bukan mudah untuk menjadi ketua tambahan pula di SPRM lebih banyak kakitangan lelaki daripada wanita. Jadi sebagai ketua dan kebetulan saya adalah seorang wanita, kita perlu lebih tegas supaya semua anak buah menghormati dan menjalankan tugas dengan baik,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah SPRM di beberapa negeri seluruh negara.

Tidak mendabik dada dengan kejayaan yang dikecapinya kini, Sutinah berkata, untuk berjaya, seorang wanita perlu bijak membahagikan masa dan pada masa yang sama sentiasa memupuk rasa cinta terhadap apa jua yang dilakukan.

Penuh semangat dan teruja apabila membicarakan mengenai kerjayanya, beliau berkata, rasa cinta terhadap sesuatu yang dilakukan adalah kunci kepada kejayaan sebenar kerana apabila melakukan sesuatu dengan sungguh-sungguh ia pasti membuahkan hasil yang dapat memberi kepuasan kepada diri.

“Bagaimana hendak berjaya dalam apa jua keadaan jika sesuatu perkara itu dilakukan tanpa rasa cinta dan keseronokan?” tegasnya yang telah berkhidmat dengan agensi penguat kuasa itu selama 30 tahun.

Galas tanggungjawab besar

Bercerita lanjut mengenai kerjayanya, Sutinah berkata, banyak pengalaman manis dan pahit sepanjang menjalankan tugas yang banyak mengajarnya mengenai erti kesabaran dan ketabahan dalam menajalani kehidupan seharian.

“Saya pernah diugut dan kereta saya di langgar oleh orang tidak dikenali ketika membawa bukti pendakwaan ke mahkamah. Pada mulanya memang takut, tetapi lama-kelamaan perkara itu telah menjadi biasa.

“Niat saya hanya satu iaitu menegakkan keadilan dan membawa orang yang bersalah ke muka pengadilan,” katanya.

Masih mempunyai baki kira-kira empat tahun sebelum bersara, Sutinah bagaimanapun masih bersemangat dalam menjalankan semua tugasan yang diamanahkan dan memunyai perancangan sendiri dalam membawa SPRM terus maju dalam membanteras jenayah rasuah di negara ini.

“Saya masih menjadi orang pertama awal datang dan paling lambat balik. Tidak pernah ada perkataan merungut dalam kamus hidup saya kerana saya sukakan kerjaya saya.

“Saya cuba memberikan contoh yang baik kepada semua orang bawahan saya dan pada masa yang sama cuba berkompromi dengan setiap masalah yang mereka hadapi,” katanya.

Menurutnya, bekerja dalam pasukan amat penting di SPRM kerana ia melibatkan banyak perkara.

Beliau gembira apabila semua pegawai SPRM mempunyai sikap bekerja dalam pasukan yang tinggi.

“Sebagai seorang ketua wanita, itu adalah cabaran utama saya untuk menyatukan semua pegawai saya supaya dapat bekerjasama dengan baik dan ia bukan satu tugas yang mudah,” katanya.

Harapan beliau supaya lebih ramai wanita dalam SPRM mampu mencapai kejayaan sebagaimana yang beliau perolehi lebih-lebih lagi dalam dunia dan tugas sekarang lebih mencabar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: