Wednesday, August 4, 2010

Bukan Cerewet Tapi Teliti

Samsiah Abu Bakar

BUKAN cerewet tetapi teliti. Itu pendapat ‘anak didik’ Datuk Sutinah Sutan iaitu Datuk Samsiah Abu Bakar mengenai persepsi masyarakat bahawa wanita sebagai ketua sangat cerewet dan garang.

Bagi Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini, persepsi demikian tidak tepat untuk menggambarkan secara keseluruhan wanita sebagai ketua hanya kerana perempuan dilihat suka memperbesarkan perkara remeh-temeh dalam menjalankan tugas mereka.

“Perempuan bukan cerewet tetapi teliti. Itu adalah ayat yang sesuai untuk menggantikan perkataan cerewet itu.

“Amanah dan tanggungjawab yang diberikan adalah besar, jadi kita perlu lebih teliti terutamanya dalam membuat keputusan,” katanya yang telah berkhidmat dengan SPRM sejak tahun 1983.

Berkelulusan dalam bidang Sains Politik daripada Universiti Sains Malaysia, beliau berkata, seperti di SPRM, ketelitian dalam menjalankan tugas amat penting kerana suruhanjaya itu banyak melibatkan proses seperti mengambil keterangan saksi, siasatan dan pembentangan bukti sebelum sesuatu pendakwaan dilakukan di mahkamah.

“Bayangkan jika kita lalai dan sambil lewa dalam menjalankan tugas, sudah pasti orang yang bersalah terlepas daripada hukuman,” katanya yang bermula sebagai pegawai penyiasat di SPRM di bawah Sutinah.

Menurut Samsiah, cerewet dan teliti dalam menjalankan tugas bukan sahaja berlaku kepada wanita tetapi turut kepada lelaki kerana tanggungjawab besar yang harus dipikul sebagai ketua adalah besar.

“Siapa kata tugas ketua adalah senang dan hanya duduk goyang kaki mengarah orang bawahan buat kerja mereka?

“Sebagai ketua kita perlu tegas dalam menjalankan tugas pada masa yang sama bersikap terbuka dan relevan kepada semua orang bawahan kita,” katanya yang pernah memegang jawatan sebagai Pengarah di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sebelum ke jawatannya kini.

Pernah mengalami pelbagai insiden buruk sepanjang bertugas di SPRM, beliau berkata, perkara itu telah menjadi lumrah baginya dan menjadikannya lebih kuat untuk terus menegakkan keadilan terutama ketika bertugas sebagai Pegawai Penyiasat.

“Saya percaya kepada prinsip apabila kita melakukan sesuatu kebaikan dan cuba menegakkan keadilan, Insya-Allah kita pasti akan dilindungi.

“Segala perkara yang buruk berlaku kita anggap sebagai cabaran dan peringatan supaya lebih berhati-hati,” katanya.

Merujuk Sutinah sebagai mentornya dalam menyumbang kepada kejayaannya hari ini, Samsiah berkata, beliau banyak didorong oleh semangat rakan baiknya itu sehingga meletakkan dirinya pada tahap hari ini.

Katanya, walaupun bekas ketuanya itu seorang yang tegas dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas tetapi beliau seorang yang jujur dalam mencurahkan ilmu.

“Datuk (Sutinah) memang garang, tetapi oleh kerana ketegasannya itu membuatkan saya terus berusaha untuk menjadi lebih baik darinya.

“Sifatnya yang tidak jemu dalam memberikan ilmu adalah kualiti terbaik yang membuatkan beliau menjadi wanita nombor satu di SPRM,” ujarnya ketika ditanya mengenai rakannya, Sutinah.

Pernah beberapa kali gagal dalam beberapa perbicaraan di mahkamah untuk mendakwa tertuduh, beliau berkata, dirinya sering mencari ruang untuk memperbaiki diri mengikut etika yang telah ditetapkan.

“Yang paling saya ingat satu kes pada awal bertugas. Saya kalah kepada peguam Karpal Singh hanya kerana kesilapan teknikal, tapi itu memberikan saya pengalaman yang amat bermakna,” ujarnya.

Tidak mudah berputus asa, beliau akan mengambil kekalahan itu sebagai pengajaran dan belajar daripada pihak lawan untuk mempersiapkan diri untuk menentang gejala rasuah.

Kini menerajui Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, beliau berkata, misinya kini adalah untuk mendidik orang ramai untuk menentang rasuah dan mendapatkan sokongan orang ramai dalam memerangi rasuah.

Menurutnya, SPRM sedang mempergiatkan pelbagai kempen anti- rasuah di seluruh negara bagi memastikan suatu hari nanti Malaysia daripada gejala itu.

“SPRM sedang mempergiatkan kempen ‘Don’t Ask, Don’t Offer’ melalui risalah, ceramah dan sebagainya sebagai langkah pencegahan rasuah dan Alhamdulilah kempen ini dilihat sebagai berjaya kerana telah menurunkan kadar kes rasuah di negara ini,” katanya yang turut menjadi tulang belakang penubuhan Agensi Anti Rasuah Malaysia (MACA).

Penuh semangat dan kecekalan, wanita besi ini mempunyai satu impian untuk melihat semua kaum wanita di negara ini bekerja kuat dan meningkatkan disiplin bagi mencapai kejayaan sekaligus membuktikan kepada semua bahawa kaum wanita juga boleh berjaya seperti kaum lelaki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: