Saturday, August 14, 2010

Tiada golf di bulan Ramadan?


BUKAN setakat hujan ribut, puasa juga tidak menghalang kaki golf untuk terus beraksi.


LEPAS ini balik cuci set golf dan simpan sebulan." Itu luahan seorang kawan selepas bermain golf sehari sebelum menyambut Ramadan.

Aksi pada hari itu adalah penutup sebelum 'bercuti' sepenuhnya dari golf sepanjang bulan puasa.

Realitinya, sepanjang bulan puasa kelab-kelab golf di seluruh negara pasti lengang. Ketika ini pihak pengurusan akan tampil dengan pelbagai tawaran istimewa termasuk potongan harga menarik.

Tetapi, kebiasaannya semua kelab golf kekal lengang. Ini kerana sebahagian besar mereka yang bermain golf di negara ini beragama Islam.

Jadi Ramadan merupakan masa untuk mereka beristirehat sebentar daripada aktiviti tersebut.

Tetapi benarkan sepanjang Ramadan ini semua kaki golf 'menggantung' set masing-masing? Benarkan seperti kata kawan tadi bahawa dia akan simpan set selama sebulan.

Bagi sesetengah pemain, Ramadan merupakan bulan tanpa golf. Golf dilupakan buat seketika pada bulan yang mulia ini.

Namun bagi pihak pengurusan lapangan golf pula, mereka akan melakukan pelbagai cara untuk menggoda kaki-kaki golf supaya turun beraksi.

Kalau mereka turun beraksi sembilan lubang pun sudah memadai untuk memberikan sedikit pendapatan kepada kelab.

Biasanya pada bulan ini pendapatan kelab golf terutama kelab-kelab golf awam akan merudum. Ini jelas menunjukkan bahawa permainan golf di negara ini didominasi oleh mereka yang beragama Islam terutama Melayu.

Sebab itu apabila tiba bulan Ramadan lapangan golf di seluruh negara lengang. Tetapi hakikat itu tidak mahu diakui terutama oleh agensi-agensi pengiklanan yang tetap memilih medium bukan Melayu sebagai ruang untuk mengiklankan pelbagai produk dan perkhidmatan golf pelanggan mereka.

Untuk memastikan kelab-kelab golf terus meriah pada bulan Ramadan pelbagai promosi dilakukan.

Selain yuran green yang rendah antara yang menarik ialah promosi bermain golf dengan pakej buka puasa.

Antara yang sering dijual ialah pakej sembilan lubang bersama dengan berbuka puasa. Pakej ini dikatakan memadai untuk kaki golf melepaskan gian mereka di bulan puasa.

Biasanya tee off dilakukan sekitar pukul 5 petang dan selesai sekitar waktu berbuka.

Walaupun menjelang Ramadan terdengar suara-suara yang mahu menggantung set selama sebulan, tetapi biasanya ia tidak lama.

Diakui ada yang betul-betul gantung set pada bulan puasa, tetapi ada juga yang hanya bertahan untuk seminggu atau dua minggu.

Biasanya masuk minggu kedua Ramadan, apabila badan sudah boleh mengadaptasi persekitaran tidak makan pada siang hari maka tangan pun mula gatal hendak menghayun kayu golf.

Sebab itu apabila masuk minggu kedua puasa sudah kelihatan aksi pemain golf yang beragama Islam di padang.

Bermain sembilan lubang merupakan kebiasaan. Tetapi ada juga yang bersemangat beraksi 18 lubang. Tidak ketinggalan juga yang hanya berpuasa separuh jalan semata-mata hendak bermain golf.

Ada yang sepanjang Ramadan ini hanya turun ke driving range selepas terawih untuk memastikan permainan tidak berkarat.

Maknanya, Ramadan sebenarnya bukan bermakna tidak ada golf bagi mereka yang beragama Islam. Ia bergantung kepada keupayaan masing-masing. Tetapi meninggalkan puasa semata-mata mahu bermain golf tentunya sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: