Saturday, August 14, 2010

Stafford kuasai Amazon


ED Stafford (kanan) dan Gadiel 'Cho' Sanchez Rivera sedang dalam perjalanan untuk menamatkan perjalanan merentasi Amazon.


SAYA telah buktikan bahawa jika kita mahukan sesuatu sebenarnya kita boleh lakukan. Perjalanan saya merentasi Hutan Amazon telah membuktikan bahawa saya boleh lakukan sesuatu walaupun orang lain mengatakan tidak," ujar bekas Kapten Tentera Darat British, Ed Stafford, 34.

Mungkin ramai yang tidak mengenalinya sebelum ini. Namun setelah Ed Stafford menamatkan perjalanan merentasi Amazon namanya kini terpahat sebagai manusia pertama berjalan beribu-ribu kilometer sepanjang sungai Amazon selama 859 hari.

Dia berkata, kejayaan melakar sejarah sebagai manusia pertama merentasi Amazon merupakan satu yang amat luar biasa baginya.

Beberapa jam sebelum menamatkan perjalanannya, Stafford pengsan di sebelah jalan beberapa kilometer dari destinasi penamat.

Tetapi selepas tiba di pantai Crispim untuk menamatkan perjalanannya, dia kelihatan seperti memiliki semua tenaga di dunia ini. Seolah-olah perjalanannya selama dua setengah tahun itu tidak memberi kesan kepadanya. Dia melompat masuk ke dalam laut dan memeluk sesiapa sahaja yang ditemui.

Dia berkata, ketika di penghujung jalan, dia berharap agar hasil yang mengagumkan itu akan menimbulkan kesedaran masyarakat mengenai kemusnahan yang berlaku kepada hutan Amazon.

"Jika siri pengembaraan ini merupakan pengembaraan biasa, sudah tentu ia tidak akan berjaya.

"Saya melakukannya kerana tiada siapa sebelum ini pernah melakukan perjalanan merentasi Amazon," katanya.

Untuk menjayakan misi itu, Stafford merentasi Andes di Peru, Colombia dan ke Brazil sejauh 6,760 kilometer.

Perjalanan sebenarnya bermula pada 2 April 2008 di pantai Peru selatan apabila Stafford dan seorang lagi rakannya dari Britian memulakan perjalanan merentasi Amazon.

Tetapi dalam masa tiga bulan, kawannya mengalah dan Stafford meneruskan perjalanan secara solo merentasi ratusan tempat di sepanjang perjalanannya.

Akhirnya, Stafford bertemu dengan pekerja perhutanan Peru, Gadiel 'Cho' Sanchez Rivera, 31, yang berminat untuk mengikutnya menuju ke Atlantik.

Stafford berkata, perjalanannya itu menelan belanja sebanyak AS$100,000 (RM350,000) yang dibayar oleh syarikat-syarikat penaja dan derma yang diterima daripada orang ramai.

Melalui misi itu juga, beliau kini lebih memahami Amazon dari segi peranannya dalam melindungi dunia daripada perubahan iklim dan kuasa-kuasa kompleks yang membawa kepada kemusnahannya.

Stafford hanya berbekalkan ikan pirana yang ditangkapnya, beras dan biji-bijian seperti kacang dan barangan yang dibelinya dalam perjalanan ketika bertemu dengan komuniti-komuniti tempatan di sepanjang sungai yang banyak membantunya.

Dalam perjalanan itu juga, Stafford dan Rivera telah berhadapan dengan pelbagai bahaya termasuk bertemu dengan buaya bersaiz kira-kira enam meter, ular anakonda, penyakit, kekurangan makanan dan ancaman lemas.

Perjalanan yang ditempuhi juga memerlukannya mendapatkan kebenaran daripada pemimpin setempat untuk berjalan melalui wilayah mereka.

Selepas mendapat kebenaran barulah mereka boleh bergerak. Jika tidak mereka akan dibunuh begitu sahaja.

Dalam perjalanan itu juga, dia bersama temannya pernah ditangkap ketika melalui kawasan masyarakat pribumi di sana.

Ketika dalam tahanan, ketua kepada masyarakat tersebut menawarkan kebebasan dan mereka dibenarkan berjalan di tanah itu, tetapi hanya jika mereka menyewa panduan dari kaum tersebut.

Stafford berkata, dia kini sedang merancang satu lagi ekspedisi pada September 2011 iaitu sesuatu yang tiada pernah dibuat sebelum ini.

"Ekspedisi ini telah menjadi kehidupan kita. Untuk dua setengah tahun kami hanya berjalan dan berjalan dan berjalan.

"Selain itu, ia juga merupakan satu perubahan besar dan kami akan cuba membiasakan diri untuk mencari cabaran baru," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: