
Malah kebanyakan artis dan selebriti tanah air ini juga tidak melepaskan peluang untuk meraikan golongan yang mulia di sisi Allah ini.
Bagi selebriti popular seperti Raja Azura, meraikan golongan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sesama insan. Malah menganggapnya sebagai sebahagian daripada ibadah di bulan puasa.
“Program seperti ini bagus kerana dapat mengingatkan kita pada golongan yang kurang bernasib baik. Tahun-tahun sudah, saya memang banyak terima tawaran seperti ini, tapi memandangkan tahun ini saya mahu penuhi tarawih inilah satu-satunya tawaran yang saya terima.
“Hati saya mudah tersentuh bila melihat mereka dan saya rasa betapa bertuahnya anak-anak saya yang masih ada ibu bapa dan hidup dengan serba mencukupi.
“Saya harap dengan kehadiran saya pada majlis ini, dapat membuatkan mereka gembira,” kata Raja Azura yang ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Limpahan Kasih Amal, anjuran pusat beli-belah terkemuka, The Curve.
Turut serta dalam majlis itu ialah, dua pelawak popular, Angah (Raja lawak), dan Mr Os, serta Pengurus The Curve, Adela D Flores bersama kakitangannya.
Sebelum majlis berbuka, sesi menghadiahkan baju raya sumbangan Little Haven dan The Curve kepada 20 anak-anak yatim dari Puchong itu dijalankan dengan penuh meriah dengan keletah anak-anak kecil mencuba baju.
Lebih istimewa, para selebriti dan kaki tangan The Curve turut membantu anak-anak ini mencari pakaian yang sesuai dengan saiz mereka.
Sejurus itu, anak-anak ini turut menjalani ujian mata di A-Look Eyewear dan bagi yang bermasalah turut menerima sumbangan cermin mata dari butik terkenal itu.
Selain itu, mereka turut menerima sumbangan berupa duit raya dari The Curve, Floor Depot, B-Ha Lingerie dan juga beberapa cenderahati dari ETC, The Chicken Rice Shop, Jingsaw Puzzle dan Metrojaya.
Bagi pelawak terkenal, Angah dan Os, mereka rasa sangat bertuah kerana dapat memenuhi undangan bersama anak-anak yatim. Sebagai artis, inilah masanya untuk mereka bermesra dan menghiburkan anak-anak ini secara dekat.
Jelas mereka, melihat kegembiraan yang terpancar di wajah anak-anak ini sudah membuatkan hati mereka berasa tenang, selain bersyukur dengan rezeki yang Tuhan berikan.
Sementara itu, Pengurus The Curve, Adele berkata, meraikan anak-anak yatim sudah menjadi tradisi tahunan The Curve setiap kali menjelang Ramadan dan Syawal.
“Majlis sebegini adalah sangat bermakna bagi kami semua kerana kita adalah sebahagian daripada masyarakat berbilang kaum dan bangsa. Kerana itu juga, kami menganjurkan majlis istimewa ini bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik,” katanya yang mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di The Chiken Rice Shop, The Curve.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: