
ISLAMABAD - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengesahkan kes pertama penyakit taun dikesan dalam banjir terburuk di Pakistan yang kini sudah mengorbankan lebih 1,600 orang, lapor sebuah akhbar semalam.
Kes tersebut dikesan di Lembah Swat dan ramai disyaki menghidapi penyakit maut bawaan air itu selepas pihak berkuasa Pakistan menganggarkan 20 juta rakyatnya hilang tempat tinggal dalam bencana terbesar itu.
Jurucakap operasi bantuan PBB, Maurizio Guiliano berkata, sekurang-kurangnya 36,000 orang dipercayai berpotensi dijangkiti cirit-birit turut menerima rawatan bagi membendung taun kerana dibimbangi berlaku penularan.
Kawasan banjir kini meliputi satu pertiga Pakistan termasuk wilayah barat laut sehingga ke Punjab dan Sindh yang menempatkan bandar raya terbesar dan pusat komersial negara itu, Karachi.
Menurut PBB, sumber air bersih amat penting terutama untuk enam juta penduduk yang terputus bekalan apabila mangsa banjir mengadu keadaan menjadi huru-hara dan ramai terpaksa merompak untuk meneruskan hidup.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon yang melakukan tinjauan di kawasan banjir lewat semalam turut merayu bantuan antarabangsa sehingga AS$460 juta (RM1.5 bilion) bagi memulihkan semula Pakistan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: