MASJID TANAH: Lebih 500 penduduk Taman Kuala Permai, Kuala Sungai Baru, dekat sini, mendakwa dihantui kebimbangan berikutan kedudukan tasik buatan yang terbiar sejak beberapa tahun lalu dikhuatiri mengundang kecelakaan terutama membabitkan kanak-kanak.
TERBIAR...Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kuala Permai, Ahmad Bachik (kiri) melihat tasik buatan di Taman Kuala Permai, Kuala Sungai Baru yang terbiar.
Tasik itu yang terbiar dan tiada penyelenggaraan sehingga dipenuhi semak-samun pernah meragut dua nyawa.
Penduduk, Siti Jamilah Mad Nor, 33, berkata kedudukan tasik berdekatan dengan taman perumahan sungguh merisaukan kerana jaraknya hanya lima meter daripada rumah penduduk dan amat merbahaya kepada kanak-kanak yang bermain di situ.
“Saya risau kerana kanak-kanak sering bermain di kawasan itu pada waktu petang dan ada yang memancing disebabkan kawasannya terlalu curam selain tidak berpagar dibimbangi mengundang malapetaka.
“Saya pernah menegur remaja dan kanak-kanak yang sering mandi di kawasan itu, tetapi mereka patuh seketika sebelum kembali bermain di situ.
“Berikutan itu, saya memohon pihak terbabit mengambil tindakan segera termasuk memasang pagar keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.
Katanya, pada setiap hujung minggu, kanak-kanak akan bermain di tasik itu dan remaja pula sibuk memancing, malah ada yang berani menggadai nyawa dengan mandi tanpa mempedulikan aspek keselamatan diri.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kuala Permai, Ahmad Bachik, 70, berkata keadaan tidak terbela di sekitar tasik terbiar termasuk tidak berpagar di sekelilingnya menyebabkan ia mudah dicerobohi.
Katanya, penduduk yang tinggal berdekatan tidak dapat memantau keselamatan kanak-kanak pada setiap masa.
“Sesuatu perlu dilakukan pihak terbabit kerana kanak-kanak suka bermain di kawasan itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa,” katanya.Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Ismail Othman berkata, perkara berkenaan perlu diadukan kepada pihak pemaju terdahulu selain Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) perlu membuat pemantauan.
Beliau berharap, pihak terbabit memasang pagar keselamatan di sekeliling kawasan itu walaupun pernah merancang untuk menjadikan tasik buatan itu sebagai tempat rekreasi, tetapi berdepan beberapa masalah.
“Saya pernah memaklumkan kepada penduduk taman kawasan tasik itu bakal dijadikan tempat riadah untuk orang ramai, tetapi disebabkan masalah tertentu maka cadangan itu ditangguhkan.
“Sebelum ini pernah dikejutkan apabila berlaku kematian membabitkan dua remaja ketika bermandi-manda di kawasan itu beberapa tahun lalu dan berharap perkara sama tidak berulang,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: