Friday, August 27, 2010

Dididik berdikari sejak kecil

DI sebalik kelembutan dan kecantikan wajahnya tersembunyi sifat tegas serta semangat tidak kenal erti putus asa. Tidak hairanlah mengapa gadis berdarah campuran Melayu dan Cina ini berada pada tahap sekarang.

pix_middle
pix_topright
Malah, dia yang berkelulusan ijazah dalam bidang perniagaan dari Universiti State of California ini meletakkan syarat tiga tahun lagi untuk memegang jawatan penting dalam bidang penyiaran. Menurut Adriana Aris, sebelum memegang jawatan sebagai Pengarang Eksekutif Hal Ehwal Semasa ntv7, ia bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana dia perlu bekerja keras bagi membuktikan wanita juga mampu memegang jawatan penting dalam syarikat.


"Sebagai ketua saya perlu berusaha berlipat kali ganda berbanding lelaki. Selain membuktikan kepada diri sendiri, saya juga perlu memikul tanggungjawab serta membuktikan kepada masyarakat, wanita juga mampu melakukannya," katanya.


Menceritakan pengalaman pertama sebagai wartawan, menurut Adriana, dia mula bertugas sebagai wartawan penyiaran di meja bisnes pada 1994 serta pernah bekerja di belakang tabir sebagai jurugambar. Malah, dia mempelbagaikan kebolehannya sebagai penyampai berita untuk segmen bisnes dan berita malam. Empat tahun menimba pengalaman di meja bisnes, akhirnya Adriana tidak mampu menyembunyikan minat dalam bidang sukan yang sudah diasah sejak sekolah rendah lagi. Akhirnya anak bongsu dua beradik ini meminta ditukarkan ke meja sukan. "Sebenarnya saya seorang yang lasak. Sejak kecil saya meminati sukan dan aktif menyertai acara padang di sekolah. "Malah, selepas tamat persekolahan dan bekerja, saya masih aktif bermain tenis, futsal dan golf. "Apabila melihat rakan mengendalikan segmen sukan, hati saya meronta-ronta untuk menyertainya," kata Adriana yang menjadi penyampai sukan ntv7 selama tiga tahun.


Kebolehan ditunjukkan serta komitmen yang tidak berbelah bagi menyebabkan pihak atasan melantiknya sebagai pengarang sukan termuda di ntv7 dan bidang penyiaran di Malaysia. "Ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan. Saya ditugaskan mengendalikan pekerja yang kebanyakannya lelaki. Walaupun ramai mempertikaikan pelantikan saya sebagai pengarang, saya pekakkan telinga dan menjalankan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh. "Saya tahu lama-kelamaan mereka boleh menerima saya bukan disebabkan peribadi, tetapi kebolehan bekerja," katanya. Namun Adriana menyedari ketua wanita mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding lelaki. Ini kerana kebanyakan pekerja adalah lelaki dan biasanya lelaki 'alah' kepada wanita. "Jadi saya menggunakan peluang yang ada untuk berbaik-baik dengan mereka dan lama-kelamaan segalanya berjalan lancar. "Malah, keakraban kami seperti satu keluarga menyebabkan persekitaran menjadi lebih ceria," katanya. Walaupun bertugas sebagai pengarang, sesekali Adriana masih menjadi penyampai berita sukan dan berita berbahasa Inggeris. Bahkan, dia dilantik mengetuai bahagian rancangan berbahasa Inggeris untuk lima tahun serta menukar berita 6 petang kepada Edisi 7 dan mencetuskan idea untuk program Breakfast Show. Jawatan yang sentiasa bertukar setiap tahun adalah cabaran bagi Adriana. Ini kerana dia perlu mempelajari sesuatu yang baru serta berdepan dengan pekerja berbeza. Justeru, keistimewaan ini digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki kelemahan diri serta membawa pembaharuan kepada syarikat. Kesungguhan serta kecemerlangan ditunjukkan Adriana menyebabkan sekali lagi pada 2007 dia dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Eksekutif Hal Ehwal Semasa ntv7, serta mengendalikan program Edisi Siasat, Captains, Biz Briefcase dan Rugbi Piala Dunia 2007. Pada 2008, Adriana kembali menerajui meja berita sebagai pengarang eksekutif serta diberi tugas mengendalikan berita utama setiap hari dan membuat liputan F1 pada 2009.


Pada 2010 pula, Adriana diberi tanggungjawab memegang jawatan baru sebagai Pengarang Eksekutif Berita, Pembangunan Perniagaan dan Hal Ehwal Semasa. Bagaimanapun, Adriana masih menjalankan rutin hariannya seperti biasa sebagai penyampai berita serta membuat liputan program khas seperti F1 serta Piala Dunia 2010.


Sebagai pengarang eksekutif, bidang tugasnya semakin bertambah dan mencabar. Paling penting Adriana harus memantau semua bahagian dan sering mewakili syarikat dalam mesyuarat namun dia mengakui kecintaannya pada bidang sukan masih mendalam. "Sejak menjawat jawatan baru ini masa saya semakin terbatas. Setiap hari saya memperuntukkan lebih 11 jam di pejabat, selebihnya saya gunakan untuk bermain tenis dan golf, menulis lirik lagu dan bermain drum," jelasnya yang sangat meminati muzik dan ingin menyumbangkan lirik kepada mana-mana penyanyi di Malaysia.


Adriana bersyukur dengan didikan ibu bapa yang menyebabkan dia berada pada tahap sekarang. Walaupun dilahirkan dalam keluarga mewah, bapanya Aris Othman tidak pernah memanjakannya, malah mengajarnya berdikari. Begitu juga ibu, Sherina Aris yang dulunya bertugas sebagai pensyarah bahasa Inggeris.


"Sejak kecil saya diajar berdikari. Apa yang saya mahukan mesti perlu diusahakan dulu. Misalnya dengan membasuh kereta, saya diberi upah. Walaupun mempunyai pembantu rumah, saya membasuh baju dan mengemas rumah sendiri. "Akhirnya selepas melanjutkan pelajaran di California, baru saya tahu apa yang dilakukan ibu bapa mempunyai maksud yang sangat baik dan berharga.


"Malangnya ibu bapa pada masa sekarang terlalu memanjakan anak-anak dengan kemewahan menyebabkan mereka merasakan tidak perlu belajar dan berusaha bersungguh-sungguh kerana semuanya sudah diberi," katanya.


Tambah Adriana, untuk melihat sikap bapanya, lihatlah dirinya sekarang kerana kebanyakan perlakuannya dipengaruhi bapanya yang sangat kuat bekerja serta tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dimilikinya kini. Malah, dia akan memastikan apa sahaja yang dilakukan akan diberi perhatian 110 peratus. Melihat dirinya yang sangat merendah diri serta masih menjadi penyampai, Adriana mengakui walau di mana dia berada dia tetap tidak akan melupakan asal usul serta apa yang pernah dilakukannya dulu."Saya tidak meletakkan jurang yang besar dengan orang bawahan. Apa yang mereka lakukan saya turut lakukan bersama mereka selain mewujudkan persekitaran menggembirakan di tempat kerja. "Lagipun keluarga ntv7 sangat kecil, kami tiada masalah daripada segi perhubungan. Persekitaran yang baik ini menyebabkan saya masih bertahan walaupun mendapat tawaran yang baik daripada syarikat lain," jelasnya yang sangat berterima kasih kepada ketuanya Pengurus Besar Operasi Berita untuk ntv7, 8tv dan tv9, Sofwan Mahmood yang banyak memberikan galakan dan tunjuk ajar kepadanya sejak mula sehingga sekarang.


Pada masa akan datang, Adriana berharap dapat menambah pelbagai program terutama bahasa Melayu dan Mandarin. Selain itu, dia memberi masa tiga tahun lagi bagi menilai kemampuan dirinya.


Bercerita mengenai sambutan Syawal, wanita kelahiran Selangor ini tidak pernah bersedih apabila terpaksa beraya di pejabat. Pada tahun ini, sekali lagi Adriana bekerja pada hari raya pertama dan kedua, hanya pada hari raya ketiga baru dia berpeluang beraya bersama keluarga. "Saya sudah biasa beraya di pejabat. Beraya di mana sekalipun sama sahaja asalkan kita mewujudkan suasana persekitaran yang ceria. Seperti biasa selepas menunaikan solat Aidilfitri, saya akan menziarahi kubur kemudian pulang ke rumah bermaaf-maafan sesama keluarga. "Kemudian, baru saya ke pejabat. Di pejabat masing-masing memakai baju raya serta membawa juadah raya seperti rendang, lemang, ketupat, nasi himpit dan kami akan makan bersama-sama seperti sebuah keluarga," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: