Wednesday, August 18, 2010

Sulaman untuk Lebaran


Liana menunjukkan corak-corak kain ela sulam yang dijual.


KAIN yang dihiasi dengan sulaman memang mudah menambat hati wanita. Tidak rugi membeli kain bersulam yang cantik kerana apabila sudah dijadikan baju, ia akan menjadi sepasang baju yang eksklusif dan boleh dipakai pada majlis-majlis eksklusif juga.

Menyedari minat ramai wanita yang menyukai kain bersulam, Liana Irawati Ahmad Saferi mendapat ilham untuk menjual kain yang dihiasi dengan pelbagai corak sulaman reben.

Kata Liana, semasa menghadiri majlis-majlis perkahwinan, pertunangan, resepsi di hotel dan majlis lain yang memerlukan seseorang wanita itu bergaya lebih, biasanya mereka akan mencari baju yang lebih cantik daripada kebiasaan. Lazimnya, baju bersulam akan menjadi pilihan.

Menurutnya yang baru tiga bulan berniaga kain bersulam reben yang diimport dari Indonesia, terdapat dua jenis fabrik yang menjadi pilihan iaitu fabrik syifon dan sutera Thai.

''Fabrik-fabrik ini dijahit tangan dengan sulaman bunga yang begitu halus dan teliti oleh pekerja-pekerja yang mahir.

"Sememangnya orang seberang mahir dalam jahitan sulaman seperti ini. Jika anda membeli kain kosong dan menempah sulaman pada tukang jahit pun kosnya memang mahal.

"Jadi adalah lebih mudah jika membeli kain ela sulam ini dan tidak perlu lagi diupah jahit sulam.

''Fabrik syifon dijual sebanyak empat meter sementara sutera Thai tiga setengah meter, cukup bagi sepasang baju untuk wanita Malaysia. Jika kita membeli di Indonesia, biasanya hanya tiga setengah meter sahaja. Jadi saya menempah untuk keperluan pakaian wanita Malaysia. Harga kain ini adalah daripada RM120,'' kata Liana yang ditemui di Batu Caves baru-baru ini.

Kata Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan pengkhususan Komunikasi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu lagi, kain ela bersulam boleh dijadikan baju kurung pesak, baju kurung pesak gantung, baju kurung moden, kebaya atau jubah.

Bagi yang sukakan fesyen baju labuh dan seluar panjang juga sesuai untuk fesyen sedemikian.

Katanya, setiap pasang kain ela itu adalah eksklusif kerana corak sulaman berbeza antara setiap helai kain.

Bagi baju kurung, sulaman bunga dijahit pada bahagian depan baju dan hujung lengan manakala bagi kebaya, sulaman dibuat pada kedua-dua bahagian depan baju serta hujung lengan.

Terdapat banyak warna yang cantik seperti kuning muda, kuning tua, merah hati, merah jambu, merah cili, biru, hijau lumut, krim, hitam dan sebagainya.

''Buat permulaan, saya menjual 150 pasang kain ela bersulam ini dan sambutan memang bagus sekali. Bila ada sahaja kain terbaru, saya akan menelefon kawan-kawan datang ke rumah dan setiap yang melihat pasti akan membeli,' kata Liana yang berniaga dari rumah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: