SIAPA mampu mengerti gelodak jiwa penyampai Hot FM, Anne, yang bakal terbang ke bumi Doha di Qatar meninggalkan segala memori pahit manis hanya dua minggu sebelum Syawal - pada saat muslimin lain sibuk membuat persiapan hari raya bersama keluarga tercinta.
Biar di bibir sentiasa terukir senyuman, perasaan sayu pastinya berbaur dengan debaran bagaimana hidup di negara orang apatah lagi sejak lahir hingga usianya mencecah 29 tahun dan bergelar isteri, belum pernah dirinya berpisah jauh daripada keluarga, inikan pula beribu batu.Memang tidak mudah untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan yang banyak memberikan sokongan, apatah lagi kepada keluarga yang menjadi tempat bermanja.Ya... Saya sudah bersedia, ringkas empunya nama indah, Putri Adreanna Syigim Mohd Razalli itu membuka bicara. Suasana bungkam seketika, barangkali cuba meredakan rasa namun diakuinya emosinya semakin syahdu kerana tidak menyangka pemergiannya secepat ini terutama pada saat menjelang Aidilfitri.
Sebelum berkahwin memang saya dimaklumkan mengenai penghijrahan itu, tetapi bukan dalam tempoh terdekat. Saya dapat menerima situasi ini, cuma mungkin berjauhan dengan keluarga membuatkan keadaannya agak berbeza namun menjadi peneman suami ialah kewajipan seorang isteri.
Ini fasa baru dalam hidup kami suami isteri tetapi yakin, di Qatar nanti ramai kenalan baru terutama pendengar setia Hot FM yang sudah lama menetap di sana mula menghulur salam menerusi laman sosial Facebook dan menanti kedatangan kami 25 Ogos ini.
Sudah tentulah saya berasa sangat sedih terutama mahu meninggalkan ayah, cuma saya anggap penghijrahan ke tempat asing ini sebagai perjalanan ke dunia baru buat kami suami isteri sekali gus mengambil keberkatan Ramadan, katanya yang bergelar isteri kepada Nik Mahathir Nik Zainuddin, 33, Jun lalu.
Sibuk membuat persiapan akhir sebelum berlepas, Anne masih sempat menyumbangkan khidmat kepada stesen radio yang menaikkan namanya, Hot FM dengan bersiaran menerusi segmen Hot FM Zone bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.
Bagi wanita peramah itu, inilah kesempatan akhir untuknya melepaskan rindu bersama keluarga besar Hot FM dan pendengar selepas lebih empat tahun mengharungi suka duka bersama sekali gus mematangkannya di dalam dunia penyiaran.
Katanya, sepanjang berada di konti menyambung tugas tanpa teman gandingan, Ikhwan yang bercuti seminggu, mungkin itu sebagai kesempatan terbaik untuknya bersembang bersama pendengar dan bermesra sepuasnya dengan teman sekerja.
Kini, dalam kesibukan insan lain menyediakan kelengkapan untuk berhari raya, terutama persalinan baru buat seisi keluarga, Anne pula rancak membungkus segala keperluan yang perlu dibawa memandangkan mereka tinggal di Doha bukan untuk setahun dua.
Bagus juga pergi dalam bulan puasa ini sebab biskut dan rendang kering sudah tersedia di mana-mana. Boleh katakan selain pakaian, saya banyak membungkus bahan makanan kering termasuk rempah ratus dan biskut raya seperti batang buruk sebagai buah tangan kepada kenalan baru di sana.
Tip itu pun saya kongsi daripada rakan di alam siber yang sudah tinggal lama
di sana kerana rempah ratus memang mudah diperoleh, cuma mungkin selera kita tidak sama dengan masyarakat tempatan. Jadi lebih baik bawa bekalan yang banyak, katanya sambil tertawa kecil.
Cerita si kecil molek itu lagi, di sana nanti pasti kepakarannya dalam soal memasak akan teruji tambahan pula dia belum mempunyai sebarang rancangan sebaliknya hanya menjadi suri rumah, menjaga makan minum suami yang bertugas di bahagian grafik stesen TV Al Jazeera.
Setakat ini, hampir dua minggu berpuasa boleh dikatakan hanya sesekali saya berpeluang memasak untuk suami disebabkan bertugas malam dan suami pula tidak tentu jadual tugasnya. Waktu bersahurlah masa kami dapat bersembang dan makan bersama, katanya lagi.
Menyentuh soal hari raya yang bakal disambut di bumi asing, akui Anne dia belum dapat menjangkakan apa yang bakal dilalui nanti tambahan pula pada Syawal kedua, suaminya perlu bertugas dan meninggalkannya seorang diri di rumah.
Apa pun, tekadnya semua itu sekadar dugaan yang mengajarnya lebih menghargai semua insan tersayang di sekelilingnya malah paling pasti, talian telefon, internet, Facebook dan segala macam laman sosial lain tidak akan dipersiakan dalam mengeratkan hubungan dengan mereka yang ditinggalkan di bumi Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: